[ISTIMEWA ZULKAEDAH] Keistimewaan Zulkaedah, Bulan Menggandakan Ibadah
Alhamdulillah, Syukur kepada Allah SWT kerana telah memberikan kesempatan kepada kita memenuhi ibadah Ramadhan dan Syawal. Setelah 2 bulan yang barakah itu, memasuki bulan Zulkaedah bukanlah bermakna momentum ibadah menjadi luntur, bahkan Allah SWT memberikan lagi semangat kepada hambanya untuk sentiasa beribadah kepadaNya.
Firman Allah SWT:
إِنَّ عِدَّةَ الشُّهُورِ عِندَ اللَّهِ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا فِي كِتَابِ اللَّهِ يَوْمَ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ ۚ ذَٰلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ ۚ فَلَا تَظْلِمُوا فِيهِنَّ أَنفُسَكُمْ ۚ
Maksudnya: “Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah SWT ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi, antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar larangan-Nya).”
(TMQ At-Taubah [9]:36)
Sebagaimana yang kita ketahui, selain daripada Muharram, Rejab, dan Zulhijjah, Zulkaedah adalah bulan yang dihormati atau dikenali sebagai bulan haram.
Keistimewaan bulan Zulkaedah ialah, berdasarkan kenyataan Ibn Abbas. Al-Hafiz Ibnu Kathir di dalam tafsirnya telah menukilkan pendapat Ibn Abbas yang menyatakan bahawa setiap kezaliman yang dilakukan di dalam bulan-bulan Haram ini, dosanya adalah lebih besar berbanding bulan-bulan lain. Begitu juga, amal soleh yang dilakukan adalah lebih besar (pahala) berbanding bulan-bulan yang lain. (Tafsir Ibn Kathir)
Ayuh perbanyakkan amal ibadah, melaksanakan perkara yang disyariatkan dalam kehidupan dan teruskan menjauhi perkara maksiat!