[Nafsiyah] Menghilangkan Kegelisahan
Penulis: Ustaz Arief B. Iskandar
Pasti setiap orang termasuk diri anda pernah mengalami kegelisahan atau kebimbangan. Sekiranya tidak diatasi segera, terkadang ianya akan berakhir dengan tekanan emosi dan kemurungan. Sebagai seorang mukmin sejati, tidak patut membiarkan perasaan gelisah ini menyelubungi diri secara berterusan. Oleh itu, apakah cara untuk mengatasi masalah kegelisahan ini?
Pertama, sentiasa beristiqamah dalam keimanan dan ketakwaan. Asasnya terdapat dalam firman Allah SWT, “Sesungguhnya orang-orang yang berkata, ‘Tuhan kami adalah Allah’, kemudian mereka istiqamah (meneguhkan pendiriannya), maka malaikat akan turun kepada mereka (dengan berkata), ‘Janganlah engkau merasa takut dan jangan pula bersedih hati. Bergembiralah dengan syurga yang telah dijanjikan kepada kamu.’” [TMQ al-Fussilat (41) : 30].
Kedua, perbanyakkan istighfar. Asasnya terdapat dalam sabda Nabi Muhammad SAW, “Barangsiapa yang melazimi (sentiasa) istighfar, Allah SWT menjadikan untuknya bagi setiap kesempitan itu jalan keluar, setiap kebimbangan itu kelapangan dan Allah juga mengurniakan kepadanya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka” [HR Abu Dawud].
Selain itu, Sayyid al-Jalil Ibrahim al-Khawwas memberikan penawar hati untuk mengatasi penyakit gelisah iaitu dengan memperbanyakkan membaca al-Quran serta merenungi maknanya, memperbanyakkan berpuasa dan melakukan amalan sunnah, sering bangun tahajjud dengan merendahkan diri kepada Pencipta, Allah SWT, serta perbanyakkan pergaulan dengan orang-orang soleh dan terpilih.[An-Nawawi, Al-Adzkâr, I/107].
Semoga dengan melakukan semua langkah-langkah diatas kita semua sentiasa terhindar daripada perasaan gelisah dalam melayari kehidupan ini.
Wa mâ tawfîqî illâ billâh wa ’alaihi tawakkaltu wa ilaihi unîb.
Sumber: ariefbiskandar[dot]com