[ISTIMEWA ZULKAEDAH] Tamatnya Perang Khandaq – 5H
Pada 7 Zulkaedah pada Tahun 5H, telah tamat perang Khandaq atau dikenali sebagai perang Ahzab. Peperangan ini bermula pada 5 Syawal dan telah berlangsung selama sebulan.
Perang ini berakhir dengan pertolongan Allah SWT menghantar ribut pasir yang mencabut semua khemah-khemah musuh dan memporak-perandakan gerakan mereka. Allah S.W.T juga menyusupkan perasaan takut di pihak musuh dan menyebabkan mereka lari. Rasulullah SAW menghantar wakil untuk melihat keadaan musuh dan ternyata tiada seorangpun dalam kalangan mereka yang tinggal melainkan kesemuanya telah melarikan diri ke Mekah, meninggalkan harta yang dibawa.
Khandaq bermaksud parit, iaitu parit yang digali oleh Rasulullah dan para sahabat mengelilingi Kota Madinah, manakala Ahzab pula adalah dirujuk kepada tentera Ahzab yang terdiri daripada Kafir Quraisy dan Yahudi. Tentera Ahzab seramai 10 000 orang, 600 tentera berkuda dan 1500 penunggang unta diketuai oleh Abu Sufyan. Pihak tentera Islam pula pimpinan Nabi Muhammad S.A.W pula dianggotai seramai 3000 orang.
Sepanjang perang ini berlangsung, tiada pertempuran besar berlaku melainkan lebih kepada perang saraf dan pertahanan Rasulullah dalam Kota Madinah. Setelah 27 hari pengepungan oleh tentera Ahzab disekeliling parit, Allah SWT telah memberikan pertolongan kepada umat Islam.
Firman Allah SWT:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱذْكُرُوا۟ نِعْمَةَ ٱللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ جَآءَتْكُمْ جُنُودٌۭ فَأَرْسَلْنَا عَلَيْهِمْ رِيحًۭا وَجُنُودًۭا لَّمْ تَرَوْهَا ۚ وَكَانَ ٱللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرًا
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, kenangkanlah nikmat Allah yang dilimpahkanNya kepada kamu. Semasa kamu didatangi tentera (Al-Ahzaab), lalu Kami hantarkan kepada mereka angin ribut (yang kencang) serta angkatan tentera (dari malaikat) yang kamu tidak dapat melihatnya. Dan (ingatlah) Allah sentiasa melihat apa yang kamu lakukan. (TMQ Al-Ahzab [33]: 9)
Laa Haula Wa Laa Quwwata Illa Billah. Tiada daya dan kekuatan selain dari Allah SWT. Pertolongan Allah akan sentiasa ada kepada Umat Islam. Oleh itu, Umat Islam tidak perlu takut dalam melaksanakan Islam Kaffah dan tidak perlu gentar untuk menghantar kekuatan ketenteraan melangsungkan jihad ke atas Kafir Laknatullah yang membunuh Umat Islam di Gaza, Palestin.