[ISTIMEWA ZULKAEDAH] Perjanjian Hudaibiyah – 6H
Perjanjian Hudaibiyah adalah perjanjian damai antara kaum muslimin Madinah dan kaum Quraisy Mekah. Perjanjian ini berlaku pada bulan Zulkaedah tahun 6H. Orang-orang Quraisy mengirimkan Suhail bin Amr untuk melakukan perjanjian ini.
Antara Isi kandungan perjanjian Hudaibiyah adalah gencatan senjata selama 10 tahun, dan orang-orang Quraisy yang pergi ke Madinah tanpa kebenaran hendaklah dikembalikan ke Mekah manakala orang-orang Madinah yang pergi Mekah tidak dikembalikan ke Madinah. Umat Islam juga hanya dibenarkan melakukan umrah pada tahun berikutnya dan dibenarkan umrah hanya selama 3 hari.
Isi kandungan perjanjian yang dilihat berat sebelah kepada orang Quraisy ini membuatkan Umar bin Khattab RA tidak berpuas hati namun Rasulullah SAW bersabda, “Aku hamba Allah dan Rasul-Nya, aku tidak menentang perintah Allah dan Dia tidak akan menelantarkanku”.
Dalam perjalanan pulang ke Madinah selepas termeterai perjanjian Hudaibiyah, Allah menurunkan Surah Al-Fath yang menjanjikan kemenangan kepada Rasulullah SAW.
Firman Allah SWT:
“Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadamu kemenangan yang nyata” (Surah Al-Fath [48]:1)
Az-Zuhri berkata, “Sebelum penaklukan Mekah, tidak ada penaklukan yang lebih agung daripada perjanjian Hudaibiyah. Perjanjian Hudaibiyah dipanggil perang kerana kedua pihak bertemu di sana. Ketika gencatan senjata terjadi, perang dihentikan, mereka saling memberikan jaminan keamanan kepada yang lain dan mereka bertemu, mengadakan perbincangan, perdebatan dan tidak ada seorang pun yang membicarakan Islam melainkan ia masuk ke dalamnya. Dalam jangka waktu dua tahun tersebut, jumlah orang yang masuk Islam sama banyak dengan jumlah orang yang masuk Islam sebelumnya atau bahkan lebih banyak“. Ini terbukti pada penaklukan Mekah 2 tahun berikutnya, Rasulullah SAW berangkat bersama 10 000 orang.