[TSAQAFAH] Bilakah Allah SWT. Akan Menghancurkan Kezaliman?
Penulis: K.H. Hafidz Abdurrahman
Sejarah umat manusia tidak terlepas dari kezaliman yang dilakukan oleh manusia. Allah mencatat peristiwa itu dalam Al-Quran,
“Tidakkah engkau (Muhammad) memerhatikan bagaimana Tuhanmu lakukan terhadap kaum ‘Ad? (Iaitu) penduduk Iram (ibu kota Kaum ‘Ad) yang mempunyai bangunan-bangunan yang tinggi, yang belum pernah didirikan seperti itu, di negeri-negeri lain; Dan terhadap kaum Tsamud yang memotong batu-batu besar di lembah; juga terhadap kaum Firaun yang mempunyai pasak-pasak (bangunan yang besar), yang bermaharajalela dalam negeri, lalu mereka melakukan banyak kerosakan dalam negeri itu Kerana itu, Tuhanmu menimpakan kepada mereka paluan azab. Sesungguhnya Tuhanmu benar-benar mengawasi.” [TMQ Al-Fajr (89): 6—14]
Catatan peristiwa ini adalah untuk memberi gambaran kepada kita bahawa semua kezaliman yang mereka lakukan akan berakhir. Semuanya dilihat oleh Allah. Allah juga tidak pernah lupa. Semua dicatat dan dibalas. Ada yang dibalas segera. Ada yang ditangguhkan. Allah SWT. berfirman,
“Orang-orang yang zalim itu kelak akan mengetahui ke mana tempat mereka akan kembali.” [TMQ Asy-Syu’ara’ (26): 227].
Cuma, ramai yang beranggapan bahawa hukuman Allah kepada orang yang zalim mestilah cepat dan berlaku secara langsung sebaik sahaja mereka melakukan kezaliman. Sebenarnya tidak demikian. Ini jelas keliru. Sebaliknya, Allah membiarkan orang-orang yang zalim itu melakukan amalan kezaliman mereka.
Pertama. Fasa pengabaian dan penangguhan. Allah SWT. membiarkan dan menangguhkan kezaliman mereka, untuk memberi mereka peluang untuk bertaubat dan kembali ke jalan yang benar.
“Aku akan memberikan tempoh waktu kepada mereka. Sesungguhnya rencana-Ku amat teguh dan terancang, kuat, dan tidak ada yang dapat menandinginya.” [TMQ Al-A’raf (7): 183]
Kedua. Istidraj. Istidraj daripada kata “daraja”. Ertinya, naik sedikit demi sedikit, dari bawah ke atas. Lawannya “daraka”, iaitu turun dari atas ke bawah. Istidraj maksudnya ditarik ke atas, dengan diberi nikmat, kemudahan dan pelbagai kemewahan. Namun, semuanya itu melalaikan mereka sehingga bukannya mensyukuri Zat yang memberi nikmat tetapi malah sebaliknya.
Allah SWT. berfirman,
“Tatkala mereka melupakan peringatan yang telah diberikan kepada mereka, Kami pun membukakan semua pintu-pintu kesenangan untuk mereka sehingga jika mereka bergembira dengan apa yang telah diberikan kepada mereka, Kami menyeksa mereka dengan secara mengejut. Ketika itu mereka terdiam berputus asa.” [TMQ Al-An’am (6): 44]
Oleh itu, Allah SWT. berfirman,
“Kami akan biarkan mereka beransur-ansur (ke arah kebinasaan) dengan cara yang tidak mereka ketahui.” [TMQ Al-A’raf (7): 182]
Maksudnya, dunia ini bukan menjadi sempit bagi orang yang zalim, tetapi dunia dibukakan untuk mereka, kedudukan mereka diangkat, segala kenikmatan dunia dilapangkan, diberi kejayaan dan kemenangan. Allah memberikan apa sahaja yang dia inginkan.
Ketiga. Tazyin, iaitu perbuatan buruk mereka diperindah. Mereka tidak merasa bahawa perbuatan zalim dan jahat mereka adalah perbuatan buruk. Sebaliknya, mereka merasa bahawa perbuatan zalim dan jahat mereka semuanya baik-baik sahaja. Malah, mereka menuduh perbuatan baik sebagai perbuatan jahat.
Allah SWT. berfirman,
“Syaitan telah menjadikan terasa indah bagi perbuatan (buruk) mereka.” [TMQ Al-’Ankabut (29): 38].
Dalam fasa ini, hati orang yang zalim itu benar-benar mati. Dia melihat segala perbuatannya baik, malah dia melihat perkara yang dia pandang itu wajib dilakukan. Kehidupan di hatinya tidak kembali lagi. Kehidupan (hati) yang boleh mencela kejahatan yang dia lakukan, semuanya telah mati. Dia menikmati kezaliman dan kejahatan yang dia lakukan. Tanpa rasa bimbang dan bermasalah.
Keempat. Akhdz, iaitu seksa dan azab. Setelah ketiga-tiga fasa di atas, tetapi tetap tidak sedar, maka barulah Allah akan mengazab mereka. Sebagaimana firman Allah SWT.,
“Demikianlah azab Tuhanmu apabila Dia menyeksa (penduduk) negeri-negeri yang berbuat zalim. Sesungguhnya, azab-Nya sangat pedih, sangat berat.” [TMQ Hud (11): 102]
Pada tahap ini, azab Allah SWT. turun secara beransur-ansur kepada orang yang zalim dan azabnya amat pedih. Bagi Allah SWT. sangat mudah untuk membinasakan mereka.
Oleh itu, Allah SWT. mengingatkan,
“Janganlah engkau (Muhammad) tergesa-gesa (memintakan azab) atas mereka kerana Kami menghitung dengan hitungan teliti (datangnya hari seksaan) untuk mereka.” [TMQ Maryam (19): 84]
Imam Al-Qurthubi memberi penjelasan tentang azab yang diberikan oleh Allah SWT. kepada orang yang zalim,
“Demikianlah Kami menjadikan sebahagian orang-orang yang zalim itu menjadi teman bagi sebahagian yang lain disebabkan apa yang mereka usahakan.” [TMQ Al-An’am (6): 129]
Maksud “Nuwalli” di sini adalah “Kami menimpakan kepada mereka yang zalim itu orang zalim yang lain sehingga ia membinasakan dan menghinakannya.”
Ini merupakan ancaman bagi orang yang zalim. Jika dia tidak menghentikan kezalimannya, Allah akan menimpakan kepada mereka orang zalim yang lain (untuk) berkuasa dan memerintah mereka.
Termasuk di dalam ayat ini adalah semua orang yang mezalimi diri dan keluarganya. Kezaliman itu sama dengan mengundang murka Allah, atau mezalimi rakyat, atau pedagang menzalimi orang dengan dagangannya, atau majikan menzalimi buruh yang bekerja untuknya.
Itulah maksud “nuwalli”, iaitu ‘Kami timpakan kepada orang-orang yang zalim itu sesama orang yang zalim.’ Jadi, ini juga sebahagian dari azab Allah SWT.. Wallahualam.
Sumber artikel: Al-Wa’ie edisi 26-9-2021
#Tsaqafah #SikapZalim