Kekuasaan Sepatutnya untuk Menegakkan Islam
Oleh: K.H. Rokhmat S. Labib, M.E.I.
Kekuasaan dalam Islam tentu saja berbeza dengan kekuasaan dalam sistem kapitalisme. Apa bezanya dan di mana letak perbezaannya? Apa pula yang menjadi asas kekuasaan dalam kapitalisme? Apa pula yang menjadi dasar kekuasaan dalam Islam? Bagaimana filosofi atau praktikal kekuasaan dalam sistem kapitalisme dan juga sistem Islam?
- Adakah benar dalam kapitalisme, kekuasaan dan kepemimpinan itu adalah untuk kepentingan para pemilik modal?
Benar. Itulah realiti yang terjadi di berbagai negara yang menganut kapitalisme.
- Mengapa demikian?
Di antara prinsip dasar kapitalisme adalah kebebasan individu dan hak individu. Di dalamnya termasuk prinsip kebebasan kepemilikan atau hak kepemilikan. Kebebasan kepemilikan ini memberi kesempatan yang sangat luas bagi tiap individu untuk memiliki dan menguasai kekayaan dalam berbagai jenis termasuklah menguasai lombong, hutan yang sangat luas dan sebagainya.
Kebebasan kepemilikan itu disertai dengan pasar bebas yang membuka persaingan setiap orang untuk mendapatkan berbagai kekayaan tersebut. Secara teori, persaingan bebas itu memberi peluang yang sama pada setiap orang untuk bersaing. Namun, pada faktanya, persaingan bebas hanya dimenangi oleh para pemilik modal besar. Mereka yang tidak mempunyai modal akan kalah dan tersingkir. Akibatnya, kekayaan hanya berputar pada segelintir orang.
Keadaan ini semakin parah dalam sistem politik yang bersandarkan persaingan bebas. Secara teori, setiap orang juga dapat mencalonkan diri menjadi anggota perundangan dan eksekutif. Namun sekali lagi, pada faktanya ia hanya boleh diakses oleh individu yang memiliki modal besar atau disokong oleh para pemilik modal besar. Sebabnya, untuk memenangi pertandingan dalam politik memerlukan dana yang sangat besar.
Bagi pemilik modal, kekuasaan tidak ubah seperti pelaburan. Mereka tidak bermasalah untuk mengeluarkan dana yang besar dengan harapan setelah mendapat kekuasaan, ia akan mendatangkan keuntungan yang jauh lebih besar. Dengan kekuasaan, mereka dapat menguasai banyak projek dan belanjawan, bahkan dapat membuat berbagai peraturan dan polisi yang menguntungkan bisnes mereka.
Contohnya seperti undang-undang Cipta Kerja di Indonesia yang banyak menguntungkan para pengusaha. Bayangkan, lombong arang batu yang sepatutnya menjadi hak milik umum dan perlu diuruskan oleh negara untuk kemakmuran rakyat, diserahkan kepada syarikat swasta. Sudahlah begitu, dalam undang-undang tersebut juga terdapat fasa yang mengatur penghapusan royalti bagi penguasa arang batu yang menambah nilai terhadap arang batu.
Maka dari itu, di negara-negara kapitalisme, kekuasaan dikendalikan oleh segelintir para pemilik modal. Mereka itu digelar pada oligarki.
- Ramai yang mengatakan bahawa kapitalisme menghalalkan segala cara untuk meraih kekuasaan. Benarkan demikian?
Ya, tidak salah. Kapitalisme itu sistem yang lahir dari akidah sekularisme. Akidah ini memisahkan agama dari kehidupan dan negara. Kerana itu, sistem kapitalisme pasti akan menyingkirkan agama dari peraturan negara. Sedangkan halal dan haram merupakan ketentuan agama, tepatnya Islam. Oleh kerana itu, sistem kapitalisme akan menghalalkan segala cara.
- Adakah kepemimpinan dalam sistem kapitalisme akan menghasilkan kesejahteraan?
Bagi rakyat, kebanyakan jelas sekali tidak. Kesejahteraan hanya dinikmati oleh segelintir para pemilik modal. Di Amerika yang menjadi pusat kapitalisme, jumlah golongan miskinnya sangat besar. Menurut Biro Banci, 12.4 peratus penduduk AS hidup dalam kemiskinan pada 2023.
- Jadi, sejauh mana kepentingan kekuasaan dan kepemimpinan dalam Islam?
Ya, penting sekali. Bahkan mutlak perlu diwujudkan.
- Bagaimana Islam memandang kepemimpinan?
Keberadaan pemimpin menurut Islam itu sangat penting. Terkait betapa pentingnya keberadaan pemimpin, Rasulullah SAW. bersabda, “Idzaa kaana tsalasat[un] fii safar[in] fal yuammirru ahadahum (ketika ada tiga orang dalam safar atau berpergian, hendaklah mereka menjadikan salah seorang dari mereka pemimpin).” (HR. Abu Dawud)
Dalam sebuah perjalanan, tempohnya hanya sebentar, dengan jumlah yang hanya tiga orang, sudah disuruh mengangkat seorang pemimpin di antara mereka. Apatah lagi di dalam masyarakat dan negara yang jumlahnya jauh lebih banyak dan jangka waktu yang lebih lama.
Pemimpin juga mempunyai posisi yang sangat penting. Ibarat pemandu yang membawa penumpang, nasib semua penumpang sangat ditentukan oleh kecekapan pemandu dalam mengendalikan kenderaan. Jika pemandu mahir memandu dan tahu jalan menuju ke destinasi, penumpang akan selamat sampai ke destinasi. Sebaliknya, jika pemandu tidak mahir memandu, melulu, dan tidak tahu jalan, semua penumpang akan bermasalah dan tidak akan sampai ke destinasi.
Begitulah gambaran seorang pemimpin. Sebagaimana yang disampaikan oleh Hujjatul Islam Al-Ghazali dalam Ihyaa’ Ulum as-Din: “Fasaad ar-ra’ayaa bi fasaad al-muluuk (Kerosakan rakyat adalah disebabkan oleh kerosakan para penguasa).”
Ini menunjukkan betapa besarnya pengaruh pemimpin terhadap rakyatnya.
- Untuk apa kepemimpinan dan kekuasaan dalam Islam?
Dalam kaitannya dengan rakyat yang dipimpin, pemimpin wajib melakukan ri’ayah atau pengaturan terhadap urusan rakyat. Rasulullah SAW. bersabda, “Al-Imaam alladzii ‘alaa an-naasi raa’in wa huwa mas’uulun ‘an ra’iyyatih (Pemimpin yang memimpin rakyat adalah pengatur urusan mereka dan dia dimintai pertanggungjawaban atas rakyat yang dia pimpin).” (HR Al-Bukhari)
Makna asal ar-ri’âyah adalah hifzh asy-syay‘i; menjaga dan memelihara sesuatu. Itulah tugas pemimpin terhadap rakyatnya. Menjaga dan memelihara akidah, darah, kehormatan, kekayaan, kehidupan mereka dan sebagainya.
Islam mengecam keras pemimpin yang tidak menjalankan tugas tersebut. Rasulullah SAW. sendiri mendoakan keburukan bagi pemimpin yang memberatkan urusan rakyat yang dia urus. Baginda bersabda, “AlLaahumma man waliya min amri ummatii syay’[an], fa syaqqa ‘alayhim, fasquq ‘alayh; wa man waliya min amri ummatii syay’[an] fa rafaqa bihim, farfuq bih (Ya Allah, siapa saja yang mengurusi urusan dari umatku, lalu dia membuat susah umatku, maka susahkanlah dia. Siapa saja yang mengurusi urusan dari umatku, lalu dia menyayangi umatku, maka sayangilah dia).” (HR Muslim).
Apatah lagi jika seorang pemimpin berani melakukan korupsi dan mengkhianati rakyatnya. Rasulullah SAW. bersabda, “Maa min ‘abd[in] istar’ahulLaahu ra’iyyat[an] fa maata, wa huwa ghaasy[un] lahaa, illaa harramalLaahu ‘alayhi al-jannata (Tidak ada seorang hamba yang diamanahkan oleh Allah untuk memimpin rakyat, lalu dia mati dalam keadaan menipu rakyatnya, kecuali Allah mengharamkan syurga atas dirinya).” (HR Ath-Thabarani).
- Adakah mungkin pemimpin Islam dapat menjamin kesejahteraan rakyat?
Sangat mungkin!
- Bagaimana cara Islam untuk mewujudkan itu semua?
Setidaknya ada dua perkara.
Pertama, dari segi sistem yang perlu dijalankan oleh pemimpin. Islam dengan seperangkat hukumnya akan memastikan setiap orang dipenuhi keperluan asasnya dan memberikan kemungkinan bagi mereka untuk dapat memenuhi kehendak mereka. Secara ringkas, pemenuhan keperluan tersebut adalah dengan mewajibkan kepada setiap lelaki yang mampu dan mempunyai tanggungjawab terhadap keluarga untuk bekerja. Jika mereka tidak dapat bekerja atas beberapa sebab, tanggungjawab itu jatuh pada ahli warisnya. Jika mereka juga tidak mampu, tanggungjawab itu beralih pada kaum muslim dan juga negara. Dengan demikian, dapat dipastikan keperluan asas individu dapat dipenuhi.
Kedua, dari segi pemimpin yang perlu menjalankan sistem tersebut, Islam mewajibkan pemimpin untuk mengurus rakyatnya dengan betul. Pemimpin diwajibkan untuk menunaikan amanah dan memutuskan perkara dengan adil. Islam memberikan penghargaan yang sangat tinggi kepada pemimpin yang menjalankan semua itu. Dalam hadis Nabi SAW. disebutkan bahawa salah satu dari tujuh golongan yang mendapatkan naungan Allah SWT. pada hari kiamat adalah imam ‘adil (pemimpin yang adil).
- Bagaimana cara Islam memastikan bahawa calon pemimpin itu mampu dan mahu menjalankan amanah?
Pertama, Islam mensyaratkan pemimpin itu perlulah seorang muslim, iaitu orang yang berakidah Islam atau beriman. Keimanan yang benar akan mendorong pelakunya untuk menjadi orang yang taat kepada Allah SWT. beserta hukum-hukum-Nya. Tanpa iman, tidak akan ada dorongan untuk melakukan semua itu. Bahkan sebaliknya, dia akan lebih mudah melakukan kezaliman dan kejahatan.
Kedua, pemimpin juga disyaratkan perlu adil. Lawan bagi sifat adil adalah fasik. Orang yang fasik tidak sah untuk diangkat sebagai pemimpin. Kerana itu, rekod prestasi bakal pemimpin adalah sangat penting. Mereka yang suka berbohong, korup dan melakukan kemaksiatan tidak layak dan tidak boleh dijadikan pemimpin.
Ketiga, perlu memiliki kemampuan. Bagi mereka yang tidak mampu untuk menunaikan amanah yang diminta, mereka juga tidak boleh menerima jawatan itu apatah lagi untuk memintanya. Ketika Abu Dzar al-Ghifari RA. meminta jawatan kepada Baginda, Nabi SAW. bersabda “Wahai Abu Dzar, sungguh engkau itu lemah. Sungguh jawatan itu adalah amanah dan pada hari kiamat ia merupakan kehinaan dan penyesalan, kecuali bagi orang yang mengambil amanah itu dengan hak dan menunaikan kewajipan yang dia pikul di dalamnya.” (HR Muslim)
Dengan kriteria pemimpin tersebut, maka sistem Islam yang memastikan setiap rakyat dapat memenuhi keperluannya dapat diwujudkan.
- Apa perbezaan kekuasaan dalam Islam jika dibandingkan dengan ideologi lain?
Dalam semua ideologi lainnya, kekuasaan hanya berorientasikan pada dunia semata. Kerana itu, semua keputusan hanya bersandarkan pada standard manfaat duniawi sahaja, tiada hukum halal dan haram.
Perkara ini jelas berbeza dengan sistem Islam. Dalam Islam, menjalankan kekuasaan dan mengatur urusan rakyat perlu berorientasikan akhirat. Maksudnya, perlu menjadikan halal haram sebagai standard.
Dikatakan sebelum ini bahawa Islam memberi jaminan bahawa setiap individu boleh memenuhi keperluan asas mereka dan membolehkan mereka memenuhi keperluan tambahan mereka. Islam menetapkan bahawa dalam melaksanakan pemenuhan ini, setiap individu wajib terikat dengan ketentuan syariat. Sebagai contoh, riba tidak boleh diamalkan walaupun ia dianggap sangat berfaedah. Sebabnya ianya diharamkan oleh syarak.
- Untuk apa kepemimpinan dan kekuasaan dalam Islam?
Perkara yang paling asas dalam kepimpinan dan kekuasaan Islam ialah melaksanakan hukum-hukum Allah Taala. Telah kita maklum bahawa melaksanakan syariat secara kaffah adalah wajib, sedangkan perintah ini tidak boleh dilaksanakan kecuali dengan adanya imam atau khalifah. Kerana itu, kehadiran imam atau khalifah adalah wajib, mengikut peraturan yang sangat terkenal: Mâ lâ yatimmu al-wâjib illâ bihi fahuwa wâjib. Maksudnya selagi suatu kewajipan tidak dapat dilaksanakan dengan sempurna melainkan dengan sesuatu, maka sesuatu itu menjadi wajib.
Mengenai perkara ini, terdapat rumusan yang sangat baik yang disampaikan oleh Al-Imam Al-Mawardi dalam kitab Al-Ahkâm al-Sulthâniyyah. Di dalam kitab tersebut dinyatakan: Al-Imaamah mawdhuu’ah li Khilafah an-Nubuwwah fii hiraasah ad-diin wa siyaasah ad-dunyaa’ (Kepemimpinan itu diadakan dan diposisikan sebagai pengganti kenabian dalam menjaga agama dan mengatur dunia).”
Ketika menjelaskan tugas khalifah, Imam Al-Mawardi menyebutkan yang pertama adalah hifzh al-dîn, iaitu menjaga dan memelihara agama dengan prinsip-prinsipnya yang teguh dan segala yang disepakati oleh ulama salaf. Disebutkan juga bahawa khalifah hendaklah menegakkan syariat dengan tegas agar segala yang dilarang oleh Allah tidak mudah dilanggar dan menjaga hak hamba-Nya agar tidak mudah disalahgunakan dan dipandang remeh.
Justeru, aspek asas yang membezakan kepemimpinan dan kekuasaan Islam ialah wujudnya akidah dan syariah. Iman sebagai asas kekuasaan. Syariah pula mesti diterapkan dalam semua aspek kehidupan. Semua ini dilakukan demi mencari keredhaan Allah Taala.