[ISTIMEWA ZULKAEDAH] Kelahiran Ibnu Sina – 370H
Ibnu Sina atau nama sebenar beliau ialah Abu ‘Ali al-Husain bin Abdullah bin Sina bukan sahaja disanjung oleh dunia Islam tetapi turut diiktiraf oleh orang-orang Barat. Beliau digelar sebagai al-Syaikh al-Ra’is oleh orang-orang Arab. Dalam kalangan orang-orang Barat, Ibnu Sina dikenali sebagai Avicenna dan mereka menggelar beliau sebagai ‘Aristotle Baru’. Keilmuan Ibnu Sina sangat menonjol dalam bidang agama, perubatan, sains, matematik dan juga falsafah.
Beliau dilahirkan pada bulan Zulkaedah 370H di Bukhara. Kedua orang tua Ibnu Sina telah mendidik beliau untuk mencintai ilmu semenjak kecil lagi. Bapa Ibnu Sina telah mencarikan guru-guru yang terbaik untuk pendidikan anaknya. Pada usia 10 tahun, Ibnu Sina telah menghafal keseluruhan al-Quran. Ibnu Sina telah mempraktikkan ilmu perubatan ketika berusia 17 tahun dan mampu merawat penyakit yang dihidapi oleh pemerintah pada masa itu, Nuh bin Mansur. Sebagai balasan, beliau dapat memasuki perpustakaan di istana dan membaca buku-buku yang tidak pernah dilihat oleh orang lain.
Ibnu Sina mula mengarang kitab buat pertama kali ketika berusia 21 tahun. Sepanjang kehidupannya, Ibnu Sina sangat mencintai ilmu dan sentiasa sibuk menulis.
Ibnu Sina meninggal dunia ketika berumur 58 Tahun dan dikebumikan di Hamadan, Iran. Walaupun usia beliau tidak panjang tetapi Ibnu Sina telah meninggalkan banyak khazanah ilmu pengetahuan yang berharga buat umat Islam. Antara karya-karya beliau yang dianggap paling penting ialah al-Qanun fi al-Tibb, al-Syifa’, al-Najat dan al-Isyarat. Kitab al-Qanun fi al-Tibb dan al-Shifa’ telah tersohor di seluruh dunia, sehinggakan kedua-duanya telah menjadi bahan rujukan intelektual Barat sehingga sekarang.