[ISTIMEWA ZULKAEDAH] Menentukan Tarikh Aidiladha
Hampir berlalu bulan Zulkaedah, menjengah pula Zulhijjah. Hari Raya Aidiladha adalah hari perayaan umat Islam yang kedua selepas Hari Raya Aidilfitri.
Sabda Rasulullah SAW:
عَنْ أَنَسٍ، قَالَ قَدِمَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم الْمَدِينَةَ وَلَهُمْ يَوْمَانِ يَلْعَبُونَ فِيهِمَا فَقَالَ ” مَا هَذَانِ الْيَوْمَانِ ” . قَالُوا كُنَّا نَلْعَبُ فِيهِمَا فِي الْجَاهِلِيَّةِ . فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ” إِنَّ اللَّهَ قَدْ أَبْدَلَكُمْ بِهِمَا خَيْرًا مِنْهُمَا يَوْمَ الأَضْحَى وَيَوْمَ الْفِطْرِ
“Daripada Anas bin Malik R.A, katanya ketika Rasulullah S.A.W tiba di Madinah, penduduknya menyambut dua hari perayaan dengan berseronok dan bermain pada kedua-duanya. Lalu baginda bertanya: “Apakah dua hari perayaan ini?” Mereka menjawab, “Kami berseronok pada kedua-dua hari ini pada masa jahiliyyah”. Lalu Baginda bersabda: “Sesungguhnya Allah telah menggantikan kepada kamu dua hari yang lebih baik iaitu hari Aidilfitri dan hari Aidiladha.” (HR Abu Daud dan Ahmad)
Namun, bagaimanakah penentuan Hari Raya Aidiladha?
Ulama seluruh mazhab (Hanafi, Maliki, Syafie dan Hanbali) telah sepakat mengamalkan rukyat yang sama untuk Aidiladha. Rukyat yang dimaksud, adalah rukyatul hilal (pengamatan bulan sabit) untuk menetapkan awal bulan Zulhijjah, yang dilakukan oleh penduduk Mekah. Rukyat ini berlaku untuk seluruh dunia.
Ini bersandarkan kepada penyampaian sahabat Rasulullah SAW :
Husain bin Harits Al Jadali menyampaikan:
“Bahawasanya Amir Makkah (Wali Mekah) berkhutbah dan menyatakan : ‘Rasulullah saw. memerintahkan kita agar memulakan manasik (haji) berdasarkan rukyat. Apabila kita tidak melihat (rukyat)nya, sementara dua orang yang adil menyaksikan (munculnya hilal) maka kita mesti memulakan manasik dengan kesaksian dua orang tersebut.” (HR. Abu Daud)
Hadis ini menunjukkan bahawa pada masa itu Amir Makkah-lah yang menetapkan pelaksanaan manasik haji, mulai dari wukuf di Arafah, Tawaf Ifadhah, bermalam di Muzdalifah, melempar Jumrah, dan seterusnya. Dengan kata lain, penguasa yang menguasai kota Mekah saat ini berhak menentukan wukuf di Arafah (9 Zulhijjah), pelaksanaan penyembelihan haiwan korban (10 Zulhijjah), dan rangkaian manasik haji lainnya.
Hal itu bererti negeri-negeri Islam lainnya perlu mengikuti penetapan hari wukuf di Arafah, yaumun nahar (hari penyembelihan haiwan korban pada tanggal 10 Zulhijjah) berdasarkan keputusan Amir Makkah, atau penguasa yang saat ini mengelola kota Mekah.
Oleh kerana itu, kaum Muslimin di seluruh dunia wajib merayakan Aidiladha secara serentak pada hari yang sama, iaitu pada saat ketika jemaah haji sedang melakukan penyembelihan korban pada hari kesepuluh bulan Zulhijjah dan bukan pada awal hari Tasyriq.