[FIKIH] Bagaimana Mencari Jodoh dengan Redha Allah Taala?
Oleh: K.H. M. Shiddiq al-Jawi
Soalan:
Ustaz, bagaimana caranya kita hendak mencari jodoh dengan redha Allah SWT.?
Jawapan:
Jodoh adalah sebahagian daripada rezeki. Carilah jodoh seperti kita mencari rezeki, iaitu mencari dengan cara yang halal, menjauhi cara yang haram. Terdapat 3 kunci untuk mendapat rezeki yang halal: rezeki itu dari Allah, ikhtiar, dan tawakal.
Dalil bahawa jodoh adalah sebahagian daripada rezeki ialah sabda Rasulullah SAW., “Sesiapa sahaja yang diberi rezeki (kurnia) oleh Allah seorang isteri yang solehah, bererti Allah telah menolongnya untuk mengamalkan separuh agamanya. Oleh itu, bertakwalah kepada Allah untuk separuh yang tinggal.” (HR Al-Hakim, Al-Mustadrak, 2/175; Ath-Thabrani, Al-Mu’jamul Awsath, 1/294).
Dalam riwayat lain, Rasulullah SAW. bersabda, “Jika seorang hamba menikah, sesungguhnya dia telah menyempurnakan separuh dari agamanya maka hendaklah dia bertakwa kepada Allah untuk separuh yang tersisa.” (HR Al-Baihaqi, dalam kitabnya Syu’abul Iman. Kata Syeikh Nashiruddin Al-Albani, kedua hadis di atas terdapat dalam kitab Shahīh Al-Targhīb wa Al-Tarhīb, no. 1916, dan keduanya adalah hadis hasan li-ghayrihi).
Dalil bahawa mencari jodoh seperti kita mencari rezeki, iaitu mencari dengan cara yang halal, menjauhi cara yang haram, adalah seperti sabda Rasulullah SAW.,
“Janganlah kamu merasa rezeki itu lambat datangnya (sehingga kamu mencarinya melalui jalan haram) kerana sesungguhnya tidak akan mati seorang hamba kecuali telah sampai ke akhir rezeki yang merupakan bahagiannya maka perbaikilah cara kamu dalam mencari rezeki, ambillah rezeki yang halal dan tinggalkan yang haram.” (HR Ibnu Majah, dan Al-Hakim, Al-Mustadrak (2/4) dan disahihkan oleh Syeikh Nashiruddin al-Albani dalam Silsilah Al-Shahīhah, no. 2607).)
Mengenai mencari rezeki yang halal itu ada tiga kunci, iaitu rezeki biyadillah, ikhtiar, dan tawakal, penjelasannya sebagai berikut:
Kunci pertama, carilah rezeki dengan keimanan bahawa rezeki itu hanya di tangan Allah (ar-rizqu biyadillāhi wahdahu), bukan daripada sesiapa atau selain daripada Allah. Dalilnya firman Allah SWT.,
“Dan makanlah makanan yang halal lagi baik dari apa yang telah Allah rezekikan kepadamu.” [TMQ Al-Māidah (5): 88].
“Allah-lah yang menciptakan kamu, kemudian memberi kamu rezeki.” [TMQ Ar-Rūm (30): 40].
Firman Allah SWT.,
“Nafkahkanlah sebahagian dari rezeki yang Allah berikan kepadamu.” [TMQ Yassin (36): 47].
Ayat-ayat di atas dengan jelas dan pasti (qath’ie) menunjukkan bahawa yang memberi rezeki kepada manusia hanyalah Allah sahaja. Jadi rezeki itu di tangan Allah, bukan di tangan manusia. Seorang muslim tidak boleh percaya bahawa rezekinya datang dari dirinya sendiri, iaitu tidak boleh percaya bahawa dia mendapat rezeki itu kerana usahanya sendiri, bukan rezeki dari Allah. (lihat QS Al-Qashash : 78). (Prof. Muhammad ‘Ali Al-Hasan, Mafāhīm Yajib Tash-hīhuhā fī At-Tawakkul wa Ar-Rizqi wa al-Ajal).
Kunci kedua, carilah rezeki itu dengan ikhtiar (usaha/upaya) yang berjalan sesuai mengikut sunatullah (kaedah kausalitas/sebab akibat), bukan hanya diam berpangku tangan. Dalilnya firman Allah SWT., “Dialah (Allah) yang menjadikan bumi untuk kamu mudah dijelajahi maka berjalanlah di setiap penjurunya dan makanlah sebahagian dari rezeki-Nya. Dan hanya kepada-Nyalah kamu (kembali setelah) dibangkitkan.” [TMQ Al-Mulk (67): 15].
Firman Allah SWT., “Apabila solat (Jumaat) telah ditunaikan, maka bertebaranlah kamu di muka bumi, carilah kurnia Allah, dan ingatlah Allah sebanyak-banyaknya supaya kamu beruntung.” [TMQ Al-Jumu’ah (62): 9-10).
Kunci ketiga, carilah rezeki dengan sikap tawakal dan pasrah jiwa kepada Allah. Jangan salah faham terhadap makna tawakal yang sering difahamkan sebagai sikap pasrah secara fizikal (lahiriah) atau tidak melakukan apa-apa alias hanya berdiam diri. Dalil hadis ini daripada ‘Umar bin Khathab raḍiyallāhu ‘anhu seperti berikut:
Dari Umar bin al-Khatthab ra. daripada Nabi SAW. bahawa Nabi SAW. telah bersabda, “Seandainya kalian bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakal, nescaya Allah akan memberi rezeki kepada kalian sebagaimana Allah memberi rezeki kepada seekor burung. Burung itu pergi pada waktu pagi dalam keadaan perut kempis dan pulang pada petang hari dalam keadaan buncit (kenyang).”(HR Tirmidzi, Ibnu Majah, dan Ahmad. Hadis sahih). Wallahualam.
Sumber: muslimahnewsid
#Fikih #CariJodoh #TawakalKepadaAllah