[Nafsiyah] Orang yang Enggan Masuk Syurga
Jika kita bertanya kepada semua orang, “Adakah anda mahu masuk syurga?” Sudah tentu mereka akan menjawab, “Saya mahu.” Namun, ada orang yang enggan masuk syurga. Siapakah mereka? Dari Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda, “Setiap umatku masuk syurga, kecuali orang yang enggan untuk memasukinya. Ada seseorang bertanya, ‘Siapakah orang yang enggan ini, ya Rasulullah?’ Baginda bersabda, ‘Barangsiapa yang mentaatiku akan masuk syurga. Sesiapa yang tidak taat kepadaku, sungguh dia adalah orang yang enggan masuk syurga.’” [HR Bukhari].
Hadis di atas adalah panduan bagi setiap muslim. Sesiapa yang tidak mengikut arahan Allah SWT dan RasulNya, bererti dia enggan masuk syurga. Mereka yang tidak mahu mentaati syariat bererti tiada harapan syurga. Orang ini telah menghalang dirinya daripada masuk syurga dengan perbuatan buruk yang dilakukannya.
Setiap muslim wajib mentaati syariat Allah dan mengikuti Nabi SAW. Firman Allah SWT, “Katakanlah (wahai Muhammad), ‘Jika benar kamu mengasihi Allah; maka ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu.’” [TMQ Ali Imran(3):31].
Sesiapa yang menolak untuk mentaati Nabi SAW, bermakna dia enggan masuk syurga. Setiap muslim, bahkan seluruh penduduk bumi, lelaki dan perempuan, jin serta manusia, semuanya wajib mentaati syariat yang dibawa Rasulullah SAW. Allah SWT berfirman, “Sesiapa yang taat kepada Rasulullah, maka sesungguhnya dia telah taat kepada Allah.” [TMQ an Nisa (4):80].
Perwatakan Perindu Syurga
Allah SWT berfirman, “Maka perempuan-perempuan yang soleh itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya), dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemeliharaan Allah dan pertolonganNya.” [TMQ an Nisa (4):34].
Ayat di atas menggambarkan bahawa wanita perindu syurga itu memiliki dua watak utama. Pertama, watak yang berkaitan dengan Rabbnya. FirmanNya, “Yang taat kepada Allah.” Wanita yang “qaanit” ialah wanita yang konsisten dan teguh dalam ketaatannya kepada Allah, memelihara ibadahnya, memelihara kewajipan yang wajib dilaksanakan dan tidak mengabaikan perkara-perkara syariat yang menjadi kewajipannya, termasuk kewajipan berdakwah.
Kedua, watak yang berkaitan dengan suami. Dia sentiasa berusaha untuk melindungi hak suaminya dan mejalankan kewajipannya sebagai seorang isteri. Dia melakukan ini, baik ketika suaminya tiada di rumah mahupun ketika dia bersama suaminya.
Dua watak di atas diperolehi oleh wanita yang mendambakan syurga semata-mata kerana hidayah dan taufik daripada Allah SWT. Wanita solehah ialah wanita yang menunaikan hak suaminya dan juga memenuhi hak Allah SWT. Kedua-dua hak ini ditunaikan sebaik mungkin kerana mengharapkan keredhaanNya. Wallahu musta’an.
Sumber: muslimahnewsID