[Fikih] Larangan Memotong Kuku dan Rambut Ketika Berkorban
Oleh: K.H. Ahmad Syahrin Thoriq
Soalan:
Tentang hadis yang berisi larangan memotong kuku dan rambut bagi orang yang akan berkorban. Apakah hadisnya sahih? Dan jika sahih apakah hukumnya itu diharamkan atau sekadar anjuran?
Jawapan:
Larangan memotong kuku dan rambut bagi orang yang akan berkorban disebutkan dalam beberapa hadis dengan redaksi yang berbeza namun serupa :
إِذَا دَخَلَ الْعَشْرُ فَأَرَادَ أَحَدُكُمْ أَنْ يُضَحِّيَ فَلَا يَمَسَّ مِنْ شَعْرِهِ وَلَا مِنْ بَشَرِهِ شَيْئًا
“Apabila telah masuk sepuluh hari pertama Zulhijjah dan kalian kamu hendak berkorban, maka janganlah mengambil rambut dan kulit sedikitpun, sampai selesai berkorban.”(HR. Muslim)
إِذَا دَخَلَتْ الْعَشْرُ وَأَرَادَ أَحَدُكُمْ أَنْ يُضَحِّيَ فَلَا يَمَسَّ مِنْ شَعْرِهِ وَلَا أَظْفَارِهِ شَيْئًا
“Apabila telah masuk sepuluh hari pertama pada bulan Zulhijjah dan salah seorang di antara kalian hendak berkorban, maka janganlah dia memotong sebahagian rambut dan kuku haiwan korbannya sedikitpun.” (HR. Darimi)
فَإِذَا أَهَلَّ هِلَالُ ذِي الْحِجَّةِ فَلَا يَأْخُذَنَّ مِنْ شَعْرِهِ وَلَا مِنْ أَظْفَارِهِ شَيْئًا حَتَّى يُضَحِّيَ
“Jika kalian melihat hilal Zulhijjah, dan di antara kalian ada yang ingin berkorban, maka hendaklah dia menahan (tidak memotong) sebahagian rambutnya kukunya” (HR Abu Daud).
Penjelasan hadis:
Selain imam Muslim, Darimi dan Abu Daud, hadis ini juga diriwayatkan oleh imam hadis lainnya namun semua dari jalur Ummu Salamah radhiyallahu’anhu. Hadis ini sahih menurut majoriti ulama, cukuplah diketahui kesahihannya kerana ia tercantum dalam Sahih Muslim.
Bagaimana hukumnya?
Dalam memahami hadis di atas para ulama berbeza pendapat tentang hukum larangannya. Ada yang menetapkan itu menunjukkan pengharaman, ada pula yang sekadar memakruhkan, atau bahkan yang ada yang menyatakan bahawa yang dimaksud kuku dan rambut dalam hadis tersebut bukanlah anggota badan orang yang akan berkorban, tapi kuku dan rambut haiwan korbannya.
1. Haram
Kalangan mazhab Hanabilah adalah yang memahami hadis di atas mengandung perintah yang bersifat wajib. Sehingga bagi siapapun yang akan berkorban dan melanggar dengan memotong kuku dan rambutnya ia jatuh kepada keharaman.[1]
Setelah menerangkan panjang lebar tentang dalil kalangan Hanabilah dalam mengambil pendalilan haramnya memotong rambut dan kuku, al Imam Ibnu Qudamah rahimahullah berkata :
إذا ثبت هذا، فإنه يترك قطع الشعر وتقليم الأظفار، فإن فعل استغفر الله تعالى. ولا فدية فيه إجماعا، سواء فعله عمدا أو نسيانا.
“Maka telah tetaplah akan hal ini (akan keharamannya). Sesungguhnya harus ditinggalkan perbuatan memotong rambut dan kuku bagi orang yang berkorban.
Dan siapa yang melanggarnya maka hendaklah ia memohon ampun kepada Allah. Namun tidak ada denda dalam masalah ini menurut Ijma’ ulama. Sama saja ia melakukannya dengan sengaja atau lupa.”[2]
Namun, tidak semua kalangan Hanabilah sendiri bersetuju bahawa ia diharamkan, ada di antara mereka yang berpendapat bahawa ia adalah makruh. Berkata Abdurrahman bin Ibnu Qadamah al Hanbali rahimahullah :
ظاهر هذا التحريم وهو قول بعض أصحابنا، وحكاه ابن المنذر عن أحمد واسحاق وسعيد بن المسيب،
“Yang nampak adalah ini (memotong kuku dan rambut) adalah haram. Ini adalah pendapat sebahagian sahabat-sahabat kami (Hanabilah) Dan juga telah menghukumi yang sama Ibn Mundzir, Ishaq dan Sa’id bin Musayyib.”[3]
2. Makruh
Sedangkan ulama dari mazhab Malikiyah, Syafi’iyah dan sebahagian Hanabilah memahami bahawa hadis tersebut hanyalah sekadar anjuran, bukan perintah yang sifatnya wajib.[4]
Berkata al Imam Nawawi rahimahullah :
وَقَالَ الشَّافِعِيّ وَأَصْحَابه : هُوَ مَكْرُوه كَرَاهَة تَنْزِيه وَلَيْسَ بِحَرَامٍ
“As Syafi’i dan sahabat-sahabatnya berpendapat hal itu dimakruhkan dengan makruh tanzih tidak sampai haram.”[5]
Beliau juga berkata :
والحكمة في النهي أن يبقى كامل الأجزاء ليعتق من النار
“Hikmah dari larangan ini adalah supaya sempurna anggota badan yang akan diselamatkan dari api neraka.”[6]
Kalangan ini mendukung pendapatnya dengan adanya hadis lain yang menunjukkan bahawa memotong kuku dan rambut bagi orang yang berkorban bukanlah keharaman, iaitu sebuah riwayat dari ummul Mukminin Asiyah :
كُنْتُ أَفْتِل قَلاَئِدَ هَدْيِ رَسُول اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثُمَّ يُقَلِّدُهُ وَيَبْعَثُ بِهِ وَلاَ يَحْرُمُ عَلَيْهِ شَيْءٌ أَحَلَّهُ اللَّهُ لَهُ حَتَّى يَنْحَرَ هَدْيَهُ.
‘Dahulu aku memintal tali pada leher haiwan sembelihan Rasulullah ﷺ kemudian beliau memasang tali tersebut pada leher haiwan tersebut, mengirimkannya dan tidak mengharamkan sedikitpun apa yang Allah halalkan sebelumnya hingga beliau menyembelihnya.” (HR. Bukhari)
Imam Asy Syafi’i mengatakan, “Mengirim haiwan sembelihan lebih kuat keadaannya dari pada sekadar keinginan untuk berkorban. Maka ini menunjukkan hal tersebut tidak haram hukumnya”.[7]
Maksudnya adalah, Nabi ﷺ dalam hadis di atas bukan hanya sebatas berkeinginan untuk berkorban, namun beliau bahkan sudah pada tahap mengirimkan haiwan-haiwan sembelihannya.
Dan beliau sama sekali tidak mengharamkan sesuatu apapun yang memang halal sebelumnya. Ertinya tidak ada tambahan larangan yang sifatnya haram.
Berkata Al Imam Ibn Rusyd rahimahullah :
…فلم يحرم عليه شيء مما أحله الله له حتى نحر الهدي» لأنه إذا لم يحرم على الذي بعث بالهدي شيء مما أحله الله له حتى ينحر الهدي، فأحرى ألا يحرم على الذي يريد أن يضحي أو عنده ذبح يريد أن يضحي به شيء مما أحله الله له حتى يضحي.
“Dan tidak diharamkan atasnya apa yang dihalalkan oleh Allah baginya sampai disembelihnya haiwan Hadyu.’ (Hadis panjang riwayat ‘Aisyah yang dinukil Syafi’iyyah di atas) Bahawasanya jika tidak diharamkan atas orang yang membawa haiwan hadyu (sembelihan haji) sesuatu apapun hingga disembelihnya haiwan tersebut.
Maka bagi kes yang lain, tentu tidak diharamkan pula bagi orang yang hendak berkorban atau yang mempunyai haiwan korban atas sesuatu apapun yang dihalalkan oleh Allah hingga dia berkorban.”[8]
Imam Syaukani dan Imam Ibnu Qudamah dari Hanabilah memberikan bantahan atas pendalilan ini, di antaranya disebutkan bahawa hadis Ummu Salamah lebih khusus dari hadis Aisyah yang bersifat umum. Sedangkan kaedah fiqih memestikan dalil khusus didahulukan dari dalil yang umum.[9]
Ulama Syafi’iyah khususnya dari kalangan ahli hadisnya masih memberikan bantahan balas lagi, di antaranya dengan menyatakan bahawa hadis Ummu Salamah adalah hadis Marfu’ sehingga tidak boleh disejajarkan dengan hadis sahih riwayat Aisyah dalam masalah ini.
3. Mubah
Adapun kalangan ulama mazhab Hanafi berpendapat bahawa memotong kuku atau rambut bagi orang yang akan berkorban hukumnya boleh saja, tidak makruh apalagi haram. Kerana mereka memahami hadis Ummu Salamah di atas bukan diperuntukkan untuk orang yang akan berkorban tapi bagi para jamaah haji.[10]
Berkata Mulla Ali Qari rahimahullah :
وقال أبو حنيفة: هو مباح ولا يكره ولا يستحب
“Dan berkata Abu Hanifah : Perkara ini yakni memotong kuku dan rambut adalah mubah saja, tidak makruh dan tidak disunnahkan.”[11]
4. Yang dilarang adalah kuku dan rambut haiwan
Mulla Ali Qari dari mazhab al Hanafiyah menyebutkan adanya sebahagian pendapat yang menyendiri dengan mengatakan bahawa yang dimaksud kuku dan rambut dalam hadis di atas bukanlah milik orang yang akan berkorban, tapi kuku dan rambut haiwan korbannya.
Beliau berkata :
وأغرب ابن الملك حيث قال: أي: فلا يمس من شعر ما يضحي به وبشره أي ظفره وأراد به الظلف
“Ada pendapat asing dari Ibnul Malak (Hanafiyah). Menurutnya, maksud hadis tersebut adalah tidak boleh memotong bulu dan kuku haiwan yang dikorbankan.”[12]
Kemudian pendapat ini dipilih dan disokong oleh pakar hadis dari Indonesia, Allahyarham KH. Ali Musthafa Ya’kub dalam karyanya kitabnya At Turuqus Sahihah fi Fahmis Sunnatin Nabawiyah.
Beliau menjelaskan bahawa hadis larangan memotong kuku dan rambut itu adalah untuk haiwan korbannya, agar nanti semakin banyak pahala yang didapatkan. Hal ini sesuai dengan hadis ummul mukminin Aisyah radhiyallahu’anha berikut ini :
مَا عَمِلَ ابْنُ آدَمَ يَوْمَ النَّحْرِ عَمَلًا أَحَبَّ إِلَى اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ مِنْ هِرَاقَةِ دَمٍ وَإِنَّهُ لَيَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِقُرُونِهَا وَأَظْلَافِهَا وَأَشْعَارِهَا
“Amal yang paling dicintai oleh Allah ta’ala pada Aidiladha adalah menyembelih haiwan korban. Kerana ia akan datang pada hari kiamat bersama dengan tanduk, kuku dan bulunya. … “ (HR. Ibnu Majah)
Juga adanya hadis :
فِي الْأُضْحِيَّةِ لِصَاحِبِهَا بِكُلِّ شَعَرَةٍ حَسَنَةٌ
“…Pada haiwan korban, bagi orang yang berkorban, setiap helai rambunya adalah kebaikan.” (HR. Tirmidzi)
Namun majoriti ulama memberikan bantahan balas terhadap pendapat ini, di antaranya :
1. Secara bahasa kuku haiwan itu tidak disebut “dzhafr” yang jama’nya “adzfar”, tapi namanya adalah “dzilf“ yang jama’nya “adzlaf”.
2. Dhamir atau kata gantinya memang secara bahasa tepatnya tertuju ke manusia bukan kepada haiwan. Kerana dhamir menggunakan “hu”, sedangkan haiwan korban adalah bentuk kata yang muannats bukan mudzakkar sehingga dhamir yang sesuai baginya adalah “ha”.
3. Selanjutnya adalah fakta tidak adanya kebiasaan dalam penternakan bangsa Arab memotong kuku dan rambut haiwan. Jika tidak ada yang melakukannya, untuk apa juga ada larangannya.
Bila mula dilaksanakan?
Perintah ini berlaku bagi orang yang telah memiliki haiwan korban dari sejak masuknya 1 Zulhijjah hingga disembelihnya haiwan korban miliknya tersebut. Namun bagi yang belum berniat dan belum memiliki haiwan korban walaupun telah masuk bulan Zulhijjah, maka dia masih boleh memotong kuku dan juga rambutnya.
Begitu juga pada tanggal 9 Zulhijjah misalnya, jika dia baru mendapatkan haiwan korban, maka sejak tanggal itu dia sebaiknya tidak memotong kuku dan rambut yang tumbuh di badannya.[13]
Berkata Syaikh Ali Jum’ah hafidzahullah:
أما من لم يَعزم على الأضحية من أول شهر ذي الحجة بل ترك الأمر في ذلك معلقًا حتى يتيسر له أن يضحي فإنه لا يصدق عليه أنه مريد للتضحية، فلا يُكره في حقه أن يأخذ من شعره أو أظفاره أو سائر بدنه شيئًا حتى يعزم على الأضحية؛ فإن عزم استُحِبَّ في حقه أن يمسك عن الشعر وغيره من حين العزيمة.
“Dan siapa yang belum berniat untuk berkorban dari awal bulan Zulhijjah, maka dia tidak terkait dengan masalah ini (Larangan memotong kuku dan rambut) hingga dia dimudahkan untuk berkorban. Kerana dia tidak dianggap hendak berkorban.
Tidak dimakruhkan baginya untuk memotong rambut ataupun kukunya atau apapun dari anggota badannya, hingga dia sudah berniat untuk berkorban. Jika dia telah berniat untuk berkorban, barulah disunnahkan untuk menahan dari memotong rambut dan lainnya dimulai dari saat dia berniat tersebut.”[14]
Apakah larangan ini juga berlaku untuk anggota keluarga yang akan berkorban ? Umumnya para ulama berpendapat bahawa kesunnahan tidak memotong kuku dan rambut disini hanya untuk orang yang berniat korban, bukan untuk keluarganya.
Syaikh Dr. Masyhur Fawaz hafidzahullah berkata :
وهذا الحكم خاص بالمضحي وحده دون باقي أهله ، ودون من وكَّله بذبح الأضحية ، فلا تمتنع زوجة وأولاد المضحي عن حلق الشّعر وتقليم الأظافر
“Adapun hukum tentang masalah ini khusus berlaku hanya untuk yang berkorban, tidak untuk keluarganya. Dan tidak juga untuk yang menyembelihkan korban untuknya. Maka tidaklah dilarang isteri atau anaknya untuk memotong rambut dan kukunya.”[15].
Wallahu a’lam bishshowab.
____________________________________
[1] Al Mughni (11/96).
[2] Al Mughni (9/437).
[3] Syarh al Kabir ‘ala Matan al Muqni’ (3/584).
[4] Al Majmu’ Syarah al Muhadzdzab (8/392), Syarh Shaghir wa Hasyiah Shawi (2/141).
[5] Syarah Muslim (13/138)
[6] Syarah Sahih Muslim ( 5/120).
[7] Syarh Sahih Muslim (7/139), al Mausu’ah Fiqhiyah al Kuwaitiyah (5/95).
[8] Al Bayanu wa at Tahsil (18/166).
[9] Al Mughni (9/437), Nail al Authar (5/128).
[10] Al Rawdhah alNadiyyah Syarh al Durar al Bahiyyah (2/222), Nailul Authar (5/133), Fiqh al Islami wa Adillatuhu (4/2735).
[11] Mirqatul Mafatih Syarh Masyakah (3/1081)
[12] Mirqatul Mafatih Syarh Masyakah (3/1081)
[13] Al Mausu’ah Fiqhiyyah al Kuwaitiyah (5/171).
[14] Darr Ifta’ Mishriyah nomor fatwa 577.
[15] Majelis ifta’ li Dakhili (48).
Sumber: Tintasiyasi