[Kaedah-Kaedah Taklid] Jika di Sebuah Negeri Hanya Ada Seorang Mufti
Penulis: Syamsuddin Ramadhan an-Nawiy dan M. Haris Adiningrat
Jika di sebuah negeri hanya ada seorang mufti, seorang awam wajib merujuk kepada mufti tersebut. Namun, jika di sebuah negeri terdapat banyak mufti, dia boleh bertanya kepada siapa saja dan tidak wajib hanya merujuk kepada salah satu mufti saja, seperti halnya pada masa sahabat ra..
Ada sebahagian orang yang berpendapat bahawa seorang awam wajib mengikuti mufti yang paling utama (afdal). Jika orang-orang awam hendak meminta fatwa, mereka memilih salah satu di antara mufti-mufti itu. Menurut Al-Ghazali, pendapat semacam ini bertentangan dengan ijmak sahabat sebab sahabat-sahabat yang paling utama dan tersohor tidak pernah menghalang-halangi orang awam untuk meminta fatwa kepada sahabat-sahabat lain yang keutamaannya lebih rendah.
Sesungguhnya orang-orang awam hanya diwajibkan merujuk kepada mufti yang diketahui adil dan memiliki ilmu. Seluruh sahabat telah memahami masalah ini.
Namun demikian, jika dua orang mufti memfatwakan hukum yang berbeza, sedangkan kedua orang mufti itu diketahui sama-sama adil dan alim, orang awam boleh memilih salah satu di antara dua mufti tersebut. Namun, jika diketahui bahawa salah seorang di antara mufti-mufti tersebut adalah yang lebih adil dan alim, dia wajib mengikuti mufti yang diyakininya lebih adil dan alim tersebut.
Misalnya, jika seseorang meyakini bahawa Imam Syafi’i lebih alim dibandingkan imam-imam yang lain, dia wajib mengikuti pendapat Imam Syafi’i dan dilarang mengambil pendapat imam lain yang bertentangan dengan pendapat Imam Syafi’i hanya kerana ingin mengikuti hawa nafsunya.
Keadaan ini mirip dengan seorang mufti yang perlu melakukan tarjih di antara dua dalil yang bertentangan. Sedangkan tarjih yang boleh dilakukan oleh kalangan awam adalah mengikuti pendapat mufti yang dianggapnya lebih alim dan adil.
Akan tetapi, bukan bererti seorang awam perlu selalu merujuk kepada seorang mujtahid saja. Seorang muqallid sah-sah saja mengikuti seorang mujtahid untuk satu kes dan mengikuti mujtahid yang lain untuk kes yang berbeza. Akan tetapi, seorang awam tidak diperbolehkan mengikuti pendapat dua orang mujtahid untuk satu kes yang sama sebab hukum syarak atas satu perbuatan perlu satu dan tidak boleh berbilang.
Jika seseorang telah berbulat tekad dan mengambil keputusan untuk mengikuti satu mazhab tertentu, dia tidak boleh mengambil pendapat selain pendapat mazhab yang dipilihnya itu. Namun demikian, ada pula yang berpendapat diperbolehkan dirinya mengambil pendapat mujtahid lainnya, sekiranya pendapat mujtahid lain tersebut lebih kuat dibandingkan pendapat imam mazhabnya.
Sumber: Syamsuddin Ramadhan an-Nawiy dan M. Haris Adiningrat, Kaidah-Kaidah Taklid, Tuntunan Islam dalam Memilih dan Mengikuti Pendapat