[Nafsiyah] Kumandang Azan di Gaza
Umat Islam sedunia terus menyaksikan kekejaman yang dilakukan oleh entiti Zion!s Yahudi terhadap saudara-saudara Islam di Gaza. Berpuluh-puluh masjid di Semenanjung Gaza telah dihancurkan, tetapi azan masih terus berkumandang di tempat-tempat ibadat ini. Di bahagian utara Gaza, menara Masjid Al-Awda masih berdiri, walaupun serangan udara Zion!s Yahudi telah memusnahkan masjid tersebut dalam peperangan yang berlaku sejak 7 Oktober 2023.
Terdapat sebuah video yang turut memaparkan seorang muazzin sedang mengumandangkan azan dengan suara yang perlahan di sebuah masjid di Gaza. Azan sebenarnya adalah panggilan solat bagi umat Islam yang masih hidup. Sementara itu, mangsa di sana terus bertambah akibat tembakan atau peluru berpandu yang terus dijatuhkan ke atas kem-kem penduduk Gaza. Hati siapa yang tidak tersentuh, air mata pun tidak henti mengalir apabila setiap kali melihat dan mendengar bunyi letupan yang memusnahkan bangunan dan manusia.
Sebahagian besar penduduk di Gaza telah mati syahid. SubhanaAllah. Di tengah-tengah peperangan, ramai kanak-kanak, wanita dan orang tua mengalami kelaparan. Seruan agar memberikan bantuan disampaikan sepanjang masa oleh masyarakat dunia, tetapi tentera-tentera umat Islam yang dimiliki oleh semua negara Islam tetap tidak berganjak dari kawasan mereka. Hanya kepada Allah SWT-lah penduduk Gaza bergantung dan memohon pertolongan. Astaghfirullah.
Azan Syiar Islam
Azan merupakan lambang syiar Islam yang agung, tanda keimanan, penghalang syaitan serta penyebab hati menjadi tenteram dan tenang. Seorang muslim hendaklah memuliakan dan mengagungkan suara azan yang didengarinya. Syaikhul Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah berkata, “Tidak patut bagi seorang mukmin meninggalkan menjawab seruan azan.”
Terdapat lima tuntunan Islam apabila kita mendengar azan:
Pertama, ucapkanlah sebagaimana yang diucapkan oleh muazzin.
Kedua, mengucapkan dua kalimah syahadat setelah selesai mendengar azan.
Ketiga, mengucapkan selawat. Nabi SAW bersabda, “Jika kamu mendengar muazzin mengumandangkan azan, maka ucapkanlah sebagaimana yang diucapkan oleh muazzin, kemudian berselawatlah kepadaku.” [HR Muslim].
Keempat, membaca doa selepas azan. Nabi SAW bersabda, “Barangsiapa yang setelah selesai mendengar azan, kemudian mengucapkan, ‘Ya Allah, Tuhan yang memiliki seruan yang sempurna dan solat yang lurus ini, berikanlah kedudukan dan keutamaan kepada Muhammad, dan bangkitkanlah dia ke tempat terpuji yang telah Engkau janjikan kepadanya. ‘, maka dia akan mendapat syafaatku pada hari kiamat.” [HR Muslim].
Kelima, berdoa antara azan dan iqamah. Nabi SAW bersabda, “Doa antara azan dan iqamah tidak akan ditolak, maka berdoalah pada waktu tersebut.” [HR Abu Dawud].
Sungguh luar biasa kekuatan keimanan yang dimiliki oleh umat Islam di Gaza. Walaupun serangan bertubi-tubi datang berterusan, mereka tetap mendirikan solat. Mereka memenuhi saf barisan di antara runtuhan masjid yang dihancurkan. Dalam keadaan gelap gelita dan hanya bulan purnama yang dapat menerangi mereka, mereka tetap beribadah kepada Rabb-nya.
Demikianlah, kumandang azan tetap kedengaran walau sesukar mana pun situasi mereka hadapi. Ini kerana seruan azan untuk menegakkan solat tidak akan berhenti sehingga hari kiamat. Semoga selepas ini akan dikumandangkan seruan jihad yang diperintahkan oleh seorang Khalifah untuk menyelamatkan seluruh umat Islam. Kita hendaklah terus berjuang dan berdoa bersama-sama untuk menghadirkan seorang pemimpin yang akan melindungi umat dengan tertegaknya Khilafah. Wallahu’alam bissawab.