[Kaedah-Kaedah Taklid] Taklid dan Implikasinya terhadap Kemunduran Berfikir Umat Islam
Penulis: Syamsuddin Ramadhan an-Nawiy dan M. Haris Adiningrat
Qadhi An-Nabhani menyatakan bahawa sebab-sebab kemunduran umat Islam adalah lemahnya pemahaman umat Islam terhadap Islam sendiri (dha’if al-syadiid li fahm al-Islaam). Adapun penyebab lemahnya pemahaman umat Islam terhadap Islam adalah dipisahkannya potensi Arab dengan Islam. Maksud dari “potensi Arab” di sini adalah bahasa Arab dan semua hal yang berhubungan potensi Islam yang sudah melekat dengan orang Arab.
Ini boleh difahami kerana bahasa Arab merupakan salah satu syarat terpenting untuk melakukan proses ijtihad. Sedangkan ijtihad merupakan unsur dharuriy (penting) bagi kaum muslim. Jika ijtihad stagnan, proses penggalian hukum untuk menghukumi permasalahan-permasalahan baru juga akan terhenti.
Jika keadaan ini dibiarkan berlangsung, respon umat Islam terhadap persoalan-persoalan baru akan melemah dan lama-kelamaan mereka akan dengan mudah menerima dan mengadopsi pemikiran-pemikiran yang berasal dari luar Islam. Selain itu, penguasaan terhadap bahasa Arab juga akan menjadi jaminan kualiti ijtihad yang dihasilkan. Untuk itu, penguasaan bahasa Arab dan adanya proses ijtihad tidak boleh terhenti hingga akhir zaman.
Hanya saja, ketika di negeri-negeri kaum muslim diterapkan kurikulum pendidikan sekular maka penguasaan kaum muslim terhadap tsaqafah Islam, termasuk bahasa Arab yang sangat diperlukan untuk proses ijtihad, mulai melemah hingga taraf yang sangat rendah. Hanya beberapa institusi pendidikan tinggi Islam yang masih mempertahankan sistem pengajaran berasaskan pada tsaqafah Islam. Sayangnya, institusi-institusi pendidikan tinggi tersebut kini tidak bebas juga dari tekanan asing dan penyusupan tsaqafah asing.
Akibatnya, sebahagian besar kaum muslim lebih suka bertaklid kepada para ulama dan tidak terpanggil untuk melakukan ijtihad secara mandiri (independent), padahal kualiti ulama dan fatwa-fatwanya pun sudah mengalami kemerosotan. Ini terlihat dari fatwa-fatwa yang mereka keluarkan untuk menjawab persoalan-persoalan umat Islam lebih banyak merujuk kepada kitab-kitab syarah dan hasyiyah. Tidak jarang juga metodologi penarikan fatwanya tidak sejalan dengan kaedah-kaedah ijtihad yang benar.
Di sisi yang lain, keperibadian sebahagian besar ulama sekarang juga mengalami kemerosotan. Di antara mereka ada yang menjadi tukang fatwa pemerintah fasik yang menghambakan dirinya kepada penguasa-penguasa kafir. Kita juga menyaksikan mereka terlihat asyik dengan para penguasa dan berdiam diri terhadap sistem kehakiman dan perundangan kufur yang diterapkan di tengah-tengah umat Islam.
Lebih menyedihkan lagi, ada di antara mereka yang memfatwakan bahawa sistem sekarang ini sudah muktamad dan tidak perlu diubah lagi. Mereka mengatakan bahawa yang paling penting adalah menerapkan nilai-nilai Islam di tengah-tengah budaya sekular kapitalistik. Bahkan, tidak sedikit di antara mereka yang membuat fatwa untuk memuluskan program-program jahat orang-orang kafir. Misalnya, fatwa bolehnya mengambil riba walaupun sedikit, fatwa nasionalisme Islam, dan sebagainya.
Di sisi yang lain, ada sekelompok kaum muslim dengan alasan pembaharuan dan kebangkitan Islam, mereka melakukan ijtihad secara serampangan dan asal buat (cuai). Benar, ijtihad perlu tetap ada hingga hari akhir, tetapi ijtihad mestilah dilakukan dengan tetap memperhatikan syarat-syarat kelayakan ijtihad.
Selain itu, ijtihad hendaklah dilakukan dengan metodologi yang selamat. Ijtihad terbuka seluas-luasnya bagi kaum muslim yang memiliki kelayakan dan kredibiliti berijtihad dan ia tertutup bagi kaum muslim yang tidak memiliki kelayakan dan kredibiliti ijtihad.
Walaupun taklid diperbolehkan secara syarie, tetapi program taklid tidak layak dijadikan sebuah agenda propaganda yang mesti disebarluaskan di kalangan kaum muslim. Propaganda yang mesti dilakukan adalah menyerukan kaum muslim untuk menguasai dan memahami hukum-hukum syariat secara mandiri dan untuk tetap melakukan ijtihad hingga akhir zaman. Ini kerana, secara tidak langsung, taklid yang tidak disertai dengan kaedah-kaedah yang benar akan menyebabkan sejumlah masalah yang tidak boleh dianggap remeh.
Implikasi-implikasi negatif dari taklid dapat digambarkan sebagai berikut:
Pertama, kecenderungan munculnya fanatisme kelompok dan mazhab. Fanatisme kelompok dan mazhab ini tentunya akan memberikan implikasi serius bagi keutuhan dan persatuan kaum muslim. Bukan sesautu yang baru pertikaian dan permusuhan di antara kaum muslim berlaku disebabkan fanatisme kelompok dan mazhab. Selain itu, fanatisme kelompok dan mazhab ini juga akan dimanfaatkan oleh orang-orang kafir sebagai kelemahan untuk melaga-lagakan sesama umat Islam antara satu sama lain dan menghancurkan sendi ukhuwah islamiyah.
Kedua, acuan-acuan (yang menjadi rujukan) dalam mengambil dan menilai suatu pendapat mulai tersesar. Kebanyakan muqallid disebabkan keawaman mereka terhadap tsaqafah Islam lebih suka menyandarkan kepada orang-orang yang memberikan fatwa, bukan kualiti dari fatwa itu sendiri. Mereka tidak lagi dapat membezakan mana fatwa yang menyimpang dan mana fatwa yang sejalan dengan Al-Quran dan Sunnah.
Dengan dalih taklid, mereka memilih-milih pendapat sesuka hatinya. Untuk melihat kebenaran suatu pendapat, mereka menggunakan acuan fatwa ini dikeluarkan pemerintah atau tidak. Jika dikeluarkan pemerintah, mereka menganggap ia pastinya benar dan mereka perlu mengikutinya. Sebaliknya, mereka akan menolak fatwa yang dikeluarkan oleh ulama-ulama bukan pemerintah.
Kadang-kadang ada sebahagian mereka yang menggunakan organisasi tempat mereka bernaung sebagai acuan rujukan. Jika organisasinya mengeluarkan fatwa dan bertentangan dengan fatwa di luar organisasinya, mereka akan mengambil fatwa yang berasal dari organisasinya. Sementara itu, boleh jadi fatwa organisasinya benar-benar telah menyimpang dari Islam. Ini menunjukkan bahawa taklid yang tidak didasarkan pengetahuan boleh menggeser acuan kebenaran yang diakui di dalam Islam, menuju acuan-acuan yang tidak islami.
Ketiga, taklid juga boleh menyebabkan keengganan atau merosotnya motivasi untuk melakukan ijtihad, padahal ijtihad merupakan jantung kehidupan bagi kaum muslim sebab masalah-masalah baru perlu segera direspon dan diberi status hukum. Jika motivasi ijtihad lemah, kaum muslim juga akan kehilangan motivasi untuk memperdalam tsaqafah Islam. Jika penguasaan tsaqafah Islam lemah, tentunya kualiti ijtihadnya juga rendah dan merosot.
Inilah beberapa implikasi negatif akibat adanya taklid yang tidak sesuai dengan tuntunan Islam. Oleh kerana itu, umat Islam tidak boleh terjebak dengan seruan “tertutupnya pintu ijtihad”. Umat Islam mesti bangkit dan melengkapkan dirinya dengan tsaqafah Islam hingga dirinya mampu mengenali mana pendapat yang menyimpang dan mana pendapat yang tidak menyimpang. Syukurlah jika mereka mampu meningkatkan kemampuan hingga meraih darjat mujtahid.
Pembahasan sebelumnya: Implikasi-Implikasi Taklid bagi Kaum Muslim
Sumber: Syamsuddin Ramadhan an-Nawiy dan M. Haris Adiningrat, Kaidah-Kaidah Taklid, Tuntunan Islam dalam Memilih dan Mengikuti Pendapat