[Kaedah-Kaedah Taklid] Implikasi-Implikasi Taklid bagi Kaum Muslim
Penulis: Syamsuddin Ramadhan an-Nawiy dan M. Haris Adiningrat
Kemunduran dan kelemahan kaum muslim sejak abad ke-18 dalam seluruh aspek kehidupan lebih disebabkan kerana merosotnya taraf pemikiran mereka. Majoriti kaum muslim berada dalam keadaan awam bahkan terasing dengan pemikiran-pemikiran Islam, baik yang menyangkut masalah keyakinan mahupun amal perbuatan. Yang tersisa di benak dan hati mereka hanyalah kesedaran keislaman serta beberapa pemikiran Islam.
Keadaan ini makin diperparah dengan masuknya serangan pemikiran dan peradaban (ghazw al-fikr wa ghazw ats- tsaqafiy) yang dilancarkan oleh musuh-musuh Islam. Akibatnya, warisan berharga yang dimiliki oleh kaum muslim—yakni pemikiran Islam tentang kehidupan—mulai ditinggalkan, diabaikan, dilupakan, dan dimarginalkan oleh kaum muslim sendiri.
Mereka jadi lebih memahami keyakinan-keyakinan dan pemikiran-pemikiran kafir Barat daripada keyakinan-keyakinan dan pemikiran-pemikiran Islam. Mereka lebih memahami dan mengetahui tentang sistem-sistem kehidupan Barat yang sudah jelas bertentangan dengan Islam, berbanding memahami sistem-sistem kehidupan Islam. Mereka lebih memahami hingga taraf detailnya (perinciannya), baik sistem ekonomi, politik, perundangan, dan sosial budaya ala kafir Barat.
Namun, jika mereka diminta untuk menjelaskan sistem ekonomi, politik, perundangan, dan sosial budaya Islam, mereka terlihat asing, bahkan sedikit mengejek. Dalam masa yang sama, mereka menyaksikan dengan mata kepala sendiri akan kehancuran peradaban umat manusia akibat diterapkan sistem kehidupan ala Barat.
Justeru itu, mengapa mereka tetap belum juga meninggalkan sistem sekular kapitalisme yang menyebabkan kerosakan dan kebinasaan peradaban umat manusia dan tidak segera kembali kepada sistem Islam yang agung dan mulia?
Namun demikian, jarang ada (sedikit, pent.) dari kaum muslim masih menyimpan dan menjaga warisan pemikiran itu hingga sekarang. Mereka juga terus berusaha dan berjuang untuk menjaga eksistensi dan kesuciannya serta menyebarluaskan ke tengah-tengah kaum muslim.
Mereka juga berusaha keras untuk menampilkan ketinggian dan keunggulan sistem Islam dibandingkan sistem-sistem yang lain. Mereka juga terus melakukan serangan-serangan pemikiran dan peradaban hingga umat Islam kembali sedar betapa berharganya pemikiran dan peradaban Islam bagi umat manusia.
Mereka melakukan semua itu kerana didorong oleh sebuah keyakinan bahawa umat Islam hanya akan bangkit dengan kebangkitan hakiki jika pemikiran-pemikiran Islam yang menyeluruh dan sempurna telah menyatu di dalam hati dan benak mereka. Dengan kata lain, mereka sangat faham bahawa tugas menegakkan peradaban Islam hendaklah dimulai dengan menanamkan pemikiran Islam di benak kaum muslim, selanjutnya diterapkan secara menyeluruh dalam konteks peribadi, masyarakat, dan negara.
Mereka juga percaya bahawa masalah yang membelenggu kemanusiaan adalah semata-mata disebabkan oleh penerapan pemikiran dan sistem bukan Islam, malah satu-satunya cara adalah dengan menyingkirkan sistem ini dan menggantikannya dengan sistem Islam.
Sumber: Syamsuddin Ramadhan an-Nawiy dan M. Haris Adiningrat, Kaedah-Kaedah Taklid, Tuntunan Islam dalam Memilih dan Mengikuti Pendapat