[SOAL JAWAB] Syarat Adil dalam Pengangkatan Khalifah
Oleh: Syeikh ‘Atha’ bin Khalil Abu ar-Rasytah
Soalan:
Salah satu syarat untuk khalifah ialah dia mesti adil. Kita menggunakan kias untuk menderivasi hukum ini, tetapi bolehkah ayat berikut digunakan sebagai dalil untuk syarat ini juga,
وَإِذا حَكَمتُم بَينَ النّاسِ أَن تَحكُموا بِالعَدل
“Dan apabila kamu menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil.” [TMQ An-Nisa’ (4): 58].
Semoga Allah memberi balasan yang lebih baik.
Jawapan:
Soalan berkaitan dengan salah satu syarat in’iqad bagi khalifah seperti dalam buku kami:
(Di buku Al-Ajhizah, “Kelima, hendaklah dia seorang yang adil. Tidak sah dia seorang yang fasik. Keadilan adalah syarat mengikat untuk pengangkatan khalifah dan kelangsungannya. Kerana Allah SWT. mensyaratkan pada saksi, dia mesti adil. Allah SWT. berfirman,
“Dan adakanlah dua orang saksi yang adil di antara kamu.“ [TMQ Ath-Thalaq (65): 2].
Kedudukan yang lebih agung dari saksi, iaitu khalifah, maka lebih utama lagi bahawa dia mesti seorang yang adil, kerana jika keadilan disyaratkan untuk seorang saksi, pensyaratannya untuk khalifah lebih utama lagi.”).
Maka permasalahan tersebut seperti yang anda lihat adalah berkaitan dengan keberadaan khalifah mesti seorang yang adil, iaitu terpenuhinya keadilan pada khalifah sehingga keadilan itu menjadi salah satu sifatnya dan bukan hanya memutuskan secara adil dan bukan hanya agar memutuskan perkara dengan adil. Boleh jadi orang kafir memutuskan perkara secara adil di antara dua orang yang bersengketa, padahal orang kafir dengan kefasikannya bukanlah orang yang adil. Oleh itu, istidlal yang benar mengenai syarat keadilan tersebut adalah apa yang kami sebutkan bahawa syarat keadilan itu wajib pada seorang saksi maka pada khalifah lebih utama lagi.
Ringkasnya, syarat-syarat keadilan bagi khalifah dipenuhi, iaitu dia seorang yang adil dan memutuskan dengan adil. Dan dalilnya di sini adalah syarat keadilan pada seorang saksi dan khalifah lebih utama. Jika khalifah seorang yang adil, dia memutuskan perkara dengan adil.
Adapun istidlal dengan ayat yang mulia ini, maka ayat itu bermaksud memutuskan perkara dengan adil dan bukannya orang yang memutuskan secara adil atau memutuskan perselisihan dengan adil tidak semestinya dia seorang yang adil. Boleh jadi, seperti yang kami sebutkan di atas, orang kafir memutuskan dengan adil di antara dua orang yang bersengketa, padahal dia bukan seorang yang adil. Oleh itu, yang lebih rajih adalah istidlal yang telah kami sebutkan. Wallahualam bissawab.
Penting disebutkan bahawa lafaz, “hakama” yang ditetapkan oleh orang arab, iaitu secara bahasa atau yang disebut haqîqah lughawiyah, adalah “qadhâ –memutuskan.“
Di Lisân al-‘Arab dinyatakan: (wa al-hukmu: al-‘ilmu wa al-fiqhu wa al-qadhâu bi al-‘adli –al-hukmu: pengetahuan, pemahaman, dan memutuskan secara adil, dan itu adalah mashdar dari hakama – yahkumu… Qadhâ: al-qadhâ: al-hukmu).
Di Al-Qâmûs al-Muhîth: (al-hukmu: al-qadhâ) … di Mukhtâr ash-Shihâh: (al-hukmu, al-qadhâ).
Akan tetapi, lafaz ini (hakama) digunakan sebagai istilah pada zaman Rasulullah SAW. dan Khulafa Rasyidin dan orang Arab selepas mereka dengan maksud al-mulku wa s-sulthân (kekuasaan dan kewibawaan), itu ialah penggunaan secara istilah atau haqîqah ‘urfiyah.
Begitulah, lafaz hakama adalah haqîqah lughawiyah bermakna al-qadhâ`, dan haqîqah ‘urfiyah khusus iaitu secara istilah pada al-mulku wa as-sulthân (kekuasaan dan kewibawaan).
Sumber: muslimahnewsid
#SoalJawab #SyaratAdil