[Soal Jawab] Hukuman Bagi Pemain dan Pemilik Tempat Judi/Penganjur Serta Bagaimana Membanteras Judi Dalam Talian (Online)
Oleh : KH. M. Shiddiq Al-Jawi
Soalan :
Menurut hukum Islam, apakah hukuman bagi pemain judi dan bagaimana pula hukuman bagi pemilik tempat perjudian/penganjur? Bagaimana Islam memberantas perjudian termasuk judi online yang kian merebak?
Jawapan :
Hukum Jenayah Syariah Bagi Pemain dan Pemilik Tempat Perjudian/Penganjur
Hukuman Jenayah syariah bagi pemain dan pemilik tempat judi/penganjur adalah hukuman yang dinamakan sebagai ta’zīr. Apa itu ta’zīr? Ta’zīr adalah jenayah syariah untuk pelanggaran syariah yang tidak ada nas (dalil) khusus mengenai jenis hukuman-nya dan tidak ada kaffarah (tebusan)-nya. (‘Abdurrahmān Al-Mālikī, Nizhām Al-‘Uqūbāt, [Beirut : Dârul Ummah], Cetakan II, 1990, hlm. 17-22).
Pelanggaran syariah yang dijatuhi hukuman ta’zīr pada prinsipnya adalah setiap perbuatan jenayah (al-jarīmah, criminal act) yang bersesuaian dengan tolok ukur syariah Islam (Al-Quran dan As-Sunnah), namun tidak ada hukumannya secara khusus dari Al-Quran dan As-Sunnah. Secara garis besar, yang termasuk perbuatan jenayah (al-jarīmah) dalam Islam ada dua; iaitu tarkul fardhi dan irtikābul harām. Tarkul fardhi adalah meninggalkan apa yang diwajibkan oleh syariah; irtikābul harām pula adalah melakukan apa yang diharamkan oleh syariah. (‘Abdurrahmān Al-Mālikī, Nizhām Al-‘Uqūbāt, hlm.15).
Contoh tarkul fardhi : (1), meninggalkan solat wajib; (2) tidak berpuasa Ramadhan; (3) tidak membayar zakat, baik zakat fitrah mahupun zakat māl; (4) tidak menutup aurat bagi wanita muslimah dalam kehidupan umum, iaitu dengan tidak memakai hijab (khimār) dan jilbāb (jubah); (5) tidak membayar hutang dan sebagainya.
Contoh irtikābul harām : (1) melakukan transaksi riba; (2) rasuah (risywah); (3) memberikan pemberian berunsur rasuah bagi pegawai; (4) berkhalwat (bersendirian) secara berdua antara lelaki dan wanita yang bukan mahramnya; (5) melakukan ikhtilāth (campur-baur) antara lelaki dan wanita bukan mahram, contohnya ikhtilāth di jalan umum, di kenderaan umum, di sekolah dan kampus, dan ikhtilath di majlis walimah; (6) minum khamr; (7) berzina; (8) LGBT; (9) berjudi (qimār/maysir) dan sebagainya.
Jadi, hukum ta’zīr seperti apa yang boleh dijatuhkan oleh Qadhi (hakim syariah) kepada pemain dan pemilik tempat judi/penganjur? Jawapannya, Qadhi (hakim syariah) akan menentukan jenis dan/atau kadar hukuman ta’zīr, dari macam-macam jenis ta’zīr yang telah ditetapkan syariah, yang jumlahnya ada 14 (empat belas) jenis hukuman ta’zīr, sebagaimana yang dihuraikan secara terperinci oleh Syeikh ‘Abdurrahmân Al-Mâlikî dalam kitabnya Nizhām Al-‘Uqūbāt, hlm. 157-175.
Berikut adalah contoh-contoh ta’zīr. Ta’zīr itu dapat berupa : (1) hukuman mati (al-qatl), (2) penyaliban (ash-shalb), tapi penyaliban ini dilakukan setelah penjenayah dihukum mati; (3) penjara (al-habs), (4) penyingkiran (al-hajr), iaitu larangan dari hakim syariah kepada umum untuk berbicara dengan penjenayah, (5) pengasingan (an-nafyu), (6) hukuman sebat (al-jild) maksimum sepuluh kali sebatan, (7) denda kewangan (al-gharāmah), (8) pemusnahan barang bukti kejahatan (itlâful mâl), contohnya pemusnahan dadah, mesin atau alat perjudian, dan lain-lain (9) memberitahu kepada umum tentang kelakukan jenayah yang dilakukan (at-tasyhîr) di media massa, (10) nasihat (al-wa’zhu), (11) celaan (al-taubīkh), iaitu merendahkan penjenayah dengan ucapan dari hakim (Qadhi), dan sebagainya. (‘Abdurrahmān Al-Mālikī, Nizhām Al-‘Uqūbāt, hlm. 157-175).
Dari penjelasan di atas, jelaslah bahawa hukum jenayah syariah bagi pemain dan pemilik tempat judi/penganjur adalah ta’zīr, iaitu satu jenis jenayah syariah untuk pelanggaran syariah yang tidak ada nas khusus mengenai jenis hukumannya dan tidak ada kaffarah (tebusan)-nya. Qadhi (hakim syariah) adalah pihak yang akan mengadili pemain dan tempat judi (pemilik/penganjur) dalam mahkamah syariah (sidang peradilan syariah), dan akan menentukan jenis dan/atau kadar hukuman ta’zīr, dari macam-macam ta’zīr yang telah ditetapkan syariah, yang jumlahnya ada 14 (empat belas) jenis sanksi ta’zīr, dan bahkan dapat sampai kepada hukuman mati (al-qatl), contohnya bagi tempat perjudian online dengan jaringan yang luas dan besar.
Berjudi merupakan aqad batil dan harta yang dihasilkan tidak boleh dimiliki oleh seorang muslim. (Taqiyuddin An-Nabhani, Al-Nizhām Al-Iqtishādi fī Al-Islām, hlm. 190). Hal ini sesuai larangan berjudi yang tegas oleh Allah SWT dalam QS Al-Maidah : 90 :
يآ اَيُّهَا الَّذِيْنَ اٰمَنُوْٓا اِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْاَنْصَابُ وَالْاَزْلَامُ رِجْسٌ مِّنْ عَمَلِ الشَّيْطٰنِ فَاجْتَنِبُوْهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُوْنَ
“Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya arak dan judi, dan pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuaan syaitan. Oleh itu, hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.” [TMQ Al-Maidah (5) : 90]
Syeikh ‘Abdurrahmān Al-Mālikī menjelaskan secara khusus jenis hukum ta’zir yang terkait judi, baik bagi pemain mahupun pemilik tempat judi/penganjur, dengan redaksi umum sebagai berikut :
كُلُّ مَنْ مَلَكَ ماَلاً بِعَقْدٍ مِنَ الْعُقُوْدِ الْباَطِلَةِ وَهُوَ يَعْلَمُ، يُعاَقَبُ بِالْجِلْدِ وَالسِّجْنِ حَتىَّ سَنَتَيْنِ
“Setiap orang yang memiliki harta dengan satu akad dari berbagai akad yang batil, sedangkan dia mengetahui, maka dia dihukum dengan hukuman sebat (maksimum sepuluh kali sebatan) dan dipenjara sehingga 2 (dua) tahun.” (‘Abdurrahmān Al-Mālikī, Nizhām Al-‘Uqūbāt, hlm. 99).
Membanteras Judi Online
Kami meyakini bahawa judi online atau tempat perjudian tidak akan dapat dibanteras sepenuhnya kecuali jika hukum dan sistem Islam diterapkan oleh Imam (Khalifah) yang memimpin negara Khilafah.
Penyelesaian terhadap judi online yang dilakukan dalam sistem sekular saat ini, sebaik apapun pelaksanaannya, kami tetap yakin bahawa ia hanya ibarat membanteras gejala sesuatu penyakit, tetapi tidak akan pernah membanteras sumber penyakit itu sendiri yang berpangkal pada pandangan hidup sekular-kapitalisme dari Barat, terutamanya fahaman naf’iyyah (utilitarianisme) dan mut’ah jasadiyah (hedonisme). Kedua-dua fahaman tersebut berpangkal pada dasar ideologi Barat iaitu sekularisme fashlud dīn ‘an al-hayāh). (Taqiyuddin An-Nabhani, Nizhām Al-Islām, hlm. 65).
Utilitarianisme adalah fahaman yang memandang baik buruknya suatu perbuatan itu diukur berdasarkan manfaat yang dihasilkan dari suatu perbuatan. Hedonisme pula adalah fahaman yang menganggap bahawa kebahagiaan manusia itu didapatkan dengan memenuhi kesenangan atau kepuasan secara peribadi, khususnya kesenangan yang bersifat jasadiyah (fizikal), seperti kepuasan seksual, kepuasan harta, kepuasan jawatan dan sebagainya.
Jika Khilafah berdiri, Khalifah akan memimpin secara langsung pemberantasan segala bentuk kemaksiatan dan kejahatan, apa pun bentuknya, termasuk judi. Khalifah akan membentuk sistem hukum Islam yang kukuh, dengan menguatkan 3 (tiga) unsur yang ada dalam suatu sistem hukum (legal system) (Friedman, 1975); iaitu (1) menerapkan Syariah Islam sebagai sumber hukumnya (termasuk hukuman jenayah syariah); (2) membentuk struktur pegawai penguatkuasa undang-undang Syariah-nya, seperti mengangkat para hakim syariah (Qadhi), polis (syurthah), tentera (al-jaisy), dan pegawai penguatkuasa undang-undang lainnya; dan (3) membentuk culture of law (budaya hukum) yang kuat di masyarakat, dengan menumbuhkan budaya amar makruf nahi mungkar dalam masyarakat. (Lihat : Lawrence M. Friedman, The Legal System: A Social Science Perspective, New York: Russell Sage Foundation, 1975).
Sistem hukum Islam tersebut, dengan penegakan hukum yang disertai dengan dakwah fikriyyah (contohnya melalui durusul masajid, sistem pendidikan Islam formal, media massa, social media, dan sebagainya) yang dilakukan kepada masyarakat, kami yakin akan mampu membanteras judi tidak hanya pada gejala penyakitnya, tetapi juga pada sumber penyakitnya yang terdalam. Ini bermaksud, hukum Islam itu bukan hanya bertindak tegas pada pelaku jenayah syariah, tetapi juga dapat menangkap dan menyeret mereka ke pengadilan syariah serta memberi hukuman jenayah yang tegas dan bersesuaian dengan mereka. Sistem Islam juga akan membaneras fahaman-fahaman yang menyokong kemaksiatan sehingga ke akar umbinya iaitu dengan membanteras fahaman dari Barat seperti utilitarianisme dan hedonism yang sedang membarah dalam fikiran dan jiwa umat Islam.