[Soal Jawab] Cara Memberi Salam Kepada Audiens yang Bercampur Muslim dan Non-Muslim
Oleh: KH. M. Shiddiq Al-Jawi
Soalan:
Ustaz, bagaimana caranya seorang muslim mengucapkan salam kepada audiens yang bercampur, iaitu ada yang muslim dan juga non-muslim?
Jawapan:
Terdapat khilāfiyah di kalangan para ulama mengenai cara mengucapkan salam untuk audiens yang bercampur antara muslim dan non-muslim;
Pertama, menurut Imam Nawawi, caranya adalah seperti penjelasan beliau:
لَوْ مَرَّ بِمَجْلِسٍ فِيْهِ كُفاَّرٌ وَمُسْلِمُوْنَ أَوْ مُسْلِمٌ وَاحِدٌ اُسْتُحِبُّ أَنْ يُسَلِّمَ عَلَيْهِ وَيَقْصِدَ الْمُسْلِمِيْنَ أَوِ الْمُسْلِمَ
“Jika seorang muslim melintasi suatu majlis yang di dalamnya ada orang-orang kafir (kuffār) dan orang-orang muslim atau satu orang muslim, maka disunnahkan dia mengucapkan salam kepada majlis tersebut dengan meniatkan untuk orang-orang muslim atau satu orang muslim sahaja.” (Imam Nawawi, Al-Adzkār, hlm. 464; Al-Majmū’ Syarah Al-Muhadzdzab, 6/13).
Imam Nawawi berdalil dengan hadis dari Usamah bin Zaid RA:
عَنْ أُسامَةَ بْنِ زَيْدٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ النَّبيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَرَّ عَلَى مَجْلِسٍ فِيه أَخْلاَطٌ مِنَ المُسْلِمِينَ وَالمُشْرِكِينَ عَبَدَةَ الأَوْثَانِ والْيَهودِ فَسَلَّمَ عَلَيْهِمُ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
Dari Usamah bin Zaid RA., bahawa Nabi SAW. pernah melintasi suatu majlis yang di dalamnya ada campuran (akhlāth) orang-orang muslim dengan orang-orang musyrik para penyembah berhala, dan orang-orang Yahudi, kemudian Nabi SAW. mengucapkan salam kepada mereka. (HR. Bukhari, no. 5899).
Namun hadis ini menurut Imam Nawawi perlu digabungkan (di-jama’) dengan hadis Abu Hurairah RA. bahawa Nabi SAW. bersabda:
لا تَبْدَؤُوا الْيَهُوْدَ وَلاَ النَّصَارَىْ بِالسَّلاَمِ
“Janganlah kamu memulai mengucapkan salam kepada orang Yahudi dan Nashrani…” (HR. Muslim no. 2167). (Ibnu Hajar Al-Asqalani, Fathul Bāri, 11/41-43).
Hasil dari penggabungan dua dalil ini, menurut Imam Nawawi, adalah boleh hukumnya kita bersalam biasa kepada audiens yang bercampur antara muslim dan non-muslim, asalkan kita berniat mengkhususkan salam untuk kaum muslimin sahaja.
Kedua, menurut Imam Thabari, cara seorang muslim mengucapkan salam kepada audiens yang bercampur agama adalah dengan mengucapkan,”Assalāmu ‘alaikum wa rahmatullāhi wa barakātuhu”, tanpa perlu berniat mengkhususkan salam untuk kaum muslimin saja. Dalilnya ayat yang membolehkan kaum muslimin berbuat baik kepada kaum kafir yang tidak memerangi kita, sesuai firman Allah SWT. :
لَا يَنْهٰىكُمُ اللّٰهُ عَنِ الَّذِيْنَ لَمْ يُقَاتِلُوْكُمْ فِى الدِّيْنِ وَلَمْ يُخْرِجُوْكُمْ مِّنْ دِيَارِكُمْ اَنْ تَبَرُّوْهُمْ وَتُقْسِطُوْٓا اِلَيْهِمْۗ اِنَّ اللّٰهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِيْنَ
“Allah tidak melarang kamu berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang (kafir) yang tidak memerangimu dalam urusan agama dan tidak mengusir kamu dari kampung halamanmu. Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang berlaku adil.” [TMQ Al-Mumtahanah (60): 8].
Imam Thabari mengatakan:
لَا مُخالَفَةَ بَيْنَ حَديثِ أُسامَةَ فِي سَلامِ النَّبيِّ – صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهُ وَسَلَّمَ – عَلَى الكُفّارِ حَيْثُ كَانُوا مَعَ المُسْلِمِينَ وَبَيْنَ حَديثِ أَبِي هُرَيْرَةَ فِي النَّهْيِ عَنْ السَّلامِ عَلَى الكُفّارِ , لِأَنَّ حَديثَ أَبِي هُرَيْرَةَ عَامٌ وَحَديثٌ أُسامَةَ خاصٌّ
“Tidak ada pertentangan antara hadis Usamah bin Zaid mengenai salamnya Nabi SAW. kepada kaum kafir ketika mereka bersama orang-orang muslim, dengan hadis Abu Hurairah RA. yang melarang untuk memulakan salam kepada kaum kafir, kerana hadis Abu Hurairah RA. adalah hadis yang bermaksud umum, sedangkan hadis Usamah bin Zaid RA. adalah hadis khusus (yang men-takhshīsh keumuman hadis Abu Hurairah RA.).” (Ibnu Hajar Al-Asqalani, Fathul Bāri, 11/41-43).
Berdasarkan penjelasan di atas, jelaslah bahawa Imam Nawawi menggunakan kaedah jama’ (penggabungan) antara dua hadis yang nampak bertentangan (ta’ārudh), sedangkan Imam Thabari menggunakan kaedah takhshīh (mengkhususkan) keumuman dalil.
Pendapat yang rājih, adalah pendapat Imam Nawawi, yang menggunakan kaedah jama’, kerana ia bermaksud telah mengamalkan semua dalil, tanpa mengabaikan salah satunya, sesuai kaedah ushuliyah yang berbunyi :
إِعْمالِ الدَّليليْنِ أَوْلَى مِنْ إِهْمالِ أَحَدِهِمَا بِالْكُلِّيَّةِ
I’māl al-dalīlayni awlā min ihmāli ahadihimā bil-kulliyah. Maksudnya, mengamalkan dua dalil itu lebih utama daripada mengabaikan salah satu dalil secara keseluruhan. (Taqiyuddin An-Nabhani, Al-Syakhshiyyah Al-Islāmiyyah, 3/491).
Adapun kaedah takhshīsh Imam Thabari, adalah marjūh (kurang kuat), kerana takhshīsh itu kedudukannya sama saja dengan nasakh (yang bermaksud mengabaikan salah satu dalil), walaupun nasakh dalam konteks takhshīsh sifatnya separa (juz’iy), bukan keseluruhan (kully) pada satu dalil. Imam Taqiyuddin An-Nabhani menyebutkan satu kaedah usul fikh yang berbunyi:
إِنَّ التَّخْصِيْصَ بِمَثَابَةِ النَّسْخِ لِجُزْءٍ مِنَ الْعاَمِّ
“Inna al-takhshīsh bi-matsābati al-naskhi li-juz’in min al-‘ām.” Maksudnya: “Sesungguhnya takhshīsh itu sama saja kedudukannya dengan nasakh untuk sebahagian lafaz umum.” (Taqiyuddin An-Nabhani, Al-Syakhshiyyah Al-Islāmiyyah, 3/255; Muhammad Khair Haikal, Al-Jihād wa Al-Qitāl fī Al-Siyāsah Al-Syar’iyyah, 1/621; Jawāhir Binti Muhammad Al-Fauzān, Al-Nasakh Al-Juz’ī Dirāsāt Ushūliyyah Tathbīqiyyah, hlm. 137-138).
Kesimpulannya, pendapat yang rājih (lebih kuat dalilnya), adalah pendapat Imam Nawawi rahimahullāh, iaitu cara bersalam kepada audiens yang bercampur muslim dan non-muslim adalah dengan mengucapkan salam biasa iaitu ”Assalāmu ‘alaikum wa rahmatullāhi wa barakātuhu” disertai niat untuk mengkhususkan salam tersebut kepada kaum muslimin sahaja. Wallāhu a’lam.