[Soal Jawab] Bolehkah Penghantar Makanan Muslim Menghantar Makanan dan Minuman yang Haram kepada Pelanggan?
Oleh: KH. M. Shiddiq Al-Jawi
Soalan:
Ustaz, apakah hukum penghantar makanan muslim menghantarkan makanan dan minuman yang haram kepada pelanggan?
Jawapan:
Haram hukumnya bagi penghantar makanan muslim menghantarkan makanan dan minuman yang haram kepada pelanggan, contohnya khamr (minuman keras), babi dan sebagainya. Ada 3 (tiga) alasan/sebab sebagai berikut:
Pertama, kerana pekerjaan menghantar makanan dan minuman yang haram kepada pelanggan tersebut, dikira sebagai pertolongan (bantuan) kepada pelanggan itu untuk melakukan perbuatan yang haram. Sedangkan Allah SWT sudah melarang seorang muslim untuk memberi pertolongan kepada orang lain untuk berbuat dosa atau maksiat, sesuai firman Allah SWT:
وَلَا تَعَاوَنُوْا عَلَى الْاِثْمِ وَالْعُدْوَانِۖ
“Dan janganlah kamu tolong-menolong dalam berbuat dosa dan permusuhan.” [TMQ Al-Māaidah (5): 2].
Kaedah fikh –yang di-istinbāth (digali) dari ayat tersebut oleh Imam Ibnu Taimiyah menyebutkan:
اَلْإِعاَنَةُ عَلىَ الْحَراَمِ حَراَمٌ
“Memberi pertolongan untuk melakukan perbuatan yang haram, hukumnya haram.” (Arab: Al-I’ānatu ‘alā al-harāmi harām[un]). (Ibnu Taimiyah, Al-Fatāwā Al-Kubrā, Juz VI, hlm. 313).
Kedua, kerana pekerjaan penghantar makanan itu sendiri, iaitu menghantar makanan dan minuman haram kepada pelanggan, merupakan pekerjaan yang haram ditinjau dari segi objek akad (al-ma’qūd ‘alayhi) dalam akad ijarah (bekerja dengan upah) itu sendiri, terlepas dari pelanggannya, adakah pelanggan itu muslim ataupun non-muslim. Menghantar babi sebagai makanan yang haram dimakan, atau mengantarkan khamr sebagai minuman yang haram diminum, merupakan pekerjaan yang haram bagi seorang muslim. (Taqiyuddin An-Nabhani, Al-Nizhām Al-Iqtishādi fī Al-Islām, hlm. 93).
Imam Taqiyuddin An-Nabhani menyebutkan kaedah fikh:
لاَ تَجُوْزُ إِجاَرَةُ اْلأَجِيْرِ فِيْماَ مَنْفَعَتُهُ مُحَرَّمَةٌ
“Tidak boleh melakukan akad ijarah [bekerja dengan upah] dengan seorang pekerja pada segala manfaat/perkhidmatan yang telah diharamkan.” (Arab: lā tajūzū ijārat al-ajīr fīmā manfa’atuhu muharramah). (Taqiyuddin An-Nabhani, Al-Nizhām Al-Iqtishādi fī Al-Islām, hlm. 93).
Kaedah fikh dengan makna yang sama, sudah pernah juga dinyatakan sebelum ini oleh Imam Al-Sarakhsī, penulis kitab fikh Al-Mabsūth sebagai berikut:
اَلإِسْتِئْجاَرُ عَلىَ الْمَعْصِيَةِ لاَ تَجُوْزُ
“Mempekerjakan pekerja untuk melakukan perbuatan maksiat, adalah tidak boleh.” (Arab: al-isti`jār alā’ al-ma’shiyati lā tajūzu). (Imam Al-Sarakhsī, Al-Mabsūth, Juz XV, hlm. 43).
Imam Abu Ishaq Al-Syirazī dalam kitabnya Al-Muhadzdzab dan Imam dalam kitabnya Al-Majmū’ sebagai syarah untuk kitab Al-Muhadzdzab, juga pernah mengemukakan kaedah fikh yang semakna dengan redaksi:
لاَ تَجُوْزُ اْلإِجاَرَةُ عَلىَ الْمَناَفِعِ الْمُحَرَّمَةِ
“Tidak boleh ada akad ijarah pada segala bentuk manfaat [jperkhidmatan] yang diharamkan syariah.” (Arab: lā tajūzu al-ijāratu ‘alā al-manāfi’ al-muharramah). (Imam Abu Ishaq Al-Syirazī, Al-Muhadzdzab fī Fiqh Al-Imām Al-Syāfi’ī, Juz II, hlm. 243; Imam Nawawi, Al-Majmū’ Syarah Al-Muhadzdzab, Juz XV, hlm. 251).
Ketiga, kerana pekerjaan penghantar makanan tersebut adalah perantaraan (al-wasīlah) yang akan membawa kepada yang haram, iaitu perbuatan pelanggan untuk memakan makanan atau minuman yang haram. Sedangkan segala sesuatu yang menjadi perantaraan (al-wasīlah) kepada yang haram, hukumnya juga haram, sesuai kaedah fikh:
اَلْوَسِيْلَةُ إِلىَ الْحَرَامِ حَرَامٌ
“Segala perantaraan (al-wasīlah) kepada yang haram, hukumnya haram juga.” (Arab: al-wasīlatu ilā al-harāmi harām[un].” (Muhammad Shidqi Al-Burnu, Mausū’ah Al-Qawā’id Al-Fiqhiyyah, Juz VIII, hlm. 775).
Kesimpulannya, berdasarkan 3 (tiga) alasan di atas, jelaslah bahawa haram hukumnya bagi penghantar makanan muslim untuk menghantarkan makanan dan minuman haram kepada pelanggan, seperti khamr (minuman keras), babi dan sebagainya, baik pelanggannya muslim ataupun non-muslim (kafir), seperti orang Nasrani, Yahudi dan sebagainya. Wallāhu a’lam.