[WAWANCARA] Krisis Ekonomi Global Bersifat Kitaran
Oleh: Ustaz Dwi Condro Triono, Ph.D.
Benarkah dunia kini sedang diancam krisis global yang serius? Apakah tanda-tanda atau petunjuknya? Mengapa krisis dunia terus berulang? Malah semakin cepat pengulangannya? Apakah punca utamanya? Apakah peranan negara dan umat menurut Islam dalam menghadapi krisis ekonomi global? Ini adalah di antara beberapa soalan yang dikemukakan oleh Editor kepada Ustaz Dwi Condro Triono, Ph.D. Berikut adalah jawapan dan penjelasan beliau.
Benarkah dunia kini sedang diancam krisis global yang serius?
Ya, memang benar. Dunia kini sedang menghadapi ancaman krisis ekonomi global yang teruk. Mengapa? Ketika dunia baru sahaja merangkak untuk bebas daripada malapetaka pandemik Covid-19, dunia dilanda impak perang besar antara Ukraine dan Rusia pula. Keadaan ini sudah tentu memberi impak yang besar kepada kemerosotan keadaan ekonomi global. Inflasi yang tinggi juga merupakan punca di sebalik hakisan pertumbuhan ekonomi global.
Apakah tanda-tanda/petunjuknya?
Indikatornya ialah berlakunya stagflasi, iaitu pertumbuhan ekonomi dunia yang perlahan, disertai dengan inflasi yang tinggi. Punca inflasi tinggi ialah disebabkan harga komoditi yang tinggi. Harga komoditi tenaga meningkat tinggi berikutan kekurangan bekalan akibat pandemik dan bertambah buruk oleh konflik Rusia dan Ukraine. Begitu juga dengan komoditi bahan makanan yang harganya kini semakin tidak mampu dimiliki. Akibatnya, aksi proteksionisme (kebijakan ekonomi yang mengetatkan perdagangan antara negara) makanan muncul di pelbagai negara. Inilah yang menjadikan masalah rantaian bekalan makanan semakin kusut dan rumit.
Selain itu, krisis kargo juga menyebabkan harga penghantaran barang semakin mahal. Gangguan di pelabuhan utama Asia, serta penutupan di bandar utama di China seperti Beijing dan Shanghai selama dua bulan, semakin menyebabkan penghantaran barang menjadi terhalang dan tidak lancar. Perang Rusia-Ukraine juga menyumbang kepada peningkatan kesesakan logistik daripada yang sudah wujud sebelum ini. Rusia dan Ukraine adalah pembekal utama komoditi tenaga dan makanan di dunia. Oleh itu, apabila bekalan dari kedua-dua negara ini mengalami gangguan, kesannya akan segera dirasai oleh negara-negara di seluruh dunia.
Bagaimana krisis dunia boleh “memusnahkan” Sri Lanka? Apakah faktor penyebabnya?
Penyebab utama Sri Lanka “bankrup” adalah kerana telah terperangkap dalam debt trap (perangkap hutang). Sri Lanka mengalami kegagalan membayar hutang luar negara bernilai lebih dari RM 201 billion. Angka DSR (Debt Service Ratio) Sri Lanka telah mencapai 40%. Rizab pertukaran asingnya jatuh sekitar AS$1.6 billion (sekitar RM6.57 billion) pada akhir November 2021. Rizab pertukaran asing sebesar itu hanya cukup untuk membayar import selama beberapa minggu sahaja. Salah satu hutang terbesarnya ialah hutang kepada China, yang telah mencecah lebih AS$5 billion (RM 20.66 billion). Hutang itu kebanyakannya digunakan untuk pembinaan pelbagai projek infrastruktur iaitu untuk membina jalan raya, lapangan terbang, dan pelabuhan.
Keadaan itu telah mencetuskan berlakunya inflasi yang tinggi (melebihi 50%). Akibatnya, berlaku kenaikan harga barang keperluan asas yang sangat mendadak, berlaku gangguan bekalan elektrik, kekurangan bahan api, banyak hospital kehabisan ubat-ubatan dan bekalan kesihatan yang penting, masyarakat mengalami kesukaran mendapatkan minyak kenderaan dan gas untuk memasak dan sekolah juga ditutup kerana tidak ada pengangkutan.
Jadi, apakah penyebab krisis ekonomi dunia?
Sebenarnya, krisis ekonomi dunia akan terus berlaku berulang kali. Krisisnya ini bersifat kitaran, seperti yang mereka sebut dengan istilah gelombang konjunktural. Mengapa? Sebabnya ialah ekonomi dunia kini sedang berjalan di sepanjang jalan perintah ekonomi yang bercorak kapitalistik. Ciri utama ekonomi ini ialah asas utama memacu ekonomi sangat bergantung kepada sektor bukan nyata, iaitu ekonomi yang digerakkan oleh hutang, faedah, spekulasi, dan wang kertas.
Ekonomi yang bergantung kepada hutang, faedah, spekulasi, dan wang kertas inilah yang akan menjadikan ekonomi mudah maju, berkembang, malah terus melonjak. Namun, kandungannya seperti belon udara kosong (economic bubble), yang bila-bila masa boleh meletup dan hancur berkecai. Letupan ini kemudiannya dipanggil krisis ekonomi.
Mengapa krisis dunia terus berulang? Malah semakin cepat pengulangannya?
Apabila dorongan utama pertumbuhan ekonomi dunia digerakkan oleh hutang, faedah, spekulasi, dan wang kertas, maka institusi kewangan riba akan terus terdorong untuk menyediakan kredit yang nilainya hampir tanpa batas. Mengapa? Kerana wangnya adalah wang kertas. Mudah dan murah proses pencetakannya (fiat money). Keuntungan faedah juga tetap bersifat pasti (fix rate).
Dorongan daripada institusi kewangan riba inilah yang akan membuatkan banyak negara membangun seolah-olah “terpaksa” untuk membuat projek-projek besar, terutama dalam sektor infrastruktur yang kesemuanya dibiayai dengan hutang, walaupun projek-projek tersebut sebenarnya tidak begitu diperlukan oleh rakyat dan juga tidak menyentuh keperluan asas hidup ramai orang. Fenomena ekonomi yang berkembang dengan hutang inilah yang mereka panggil sebagai negara yang mengalami pertumbuhan ekonomi yang tinggi.
Seperti dalam teori gelombang konjunktural, selepas ekonomi sesebuah negara berkembang tinggi, lambat laun negara tersebut mengalami kesukaran untuk membayar hutangnya dan faedahnya terus berkembang dan bertambah dengan skim faedah kompaun (compound interest). Akhirnya, negara itu akhirnya akan terperangkap dengan hutang (debt trap) yang besar, kemudian akan mengalami kegagalan untuk membayar. Seterusnya, negara ini akan mengalami krisis ekonomi yang besar dan akan berakhir dengan muflis. Itulah yang dipanggil tempoh kemerosotan, seperti yang dialami oleh Sri Lanka.
Jika negara tersebut ingin bangkit dan memulihkan semula ekonominya, negara ini akan disuntik dengan hutang dan lebih banyak hutang supaya ia boleh berkembang semula, mencapai kemuncak, kemudian akan jatuh semula. Demikianlah seterusnya. Jika skala hutang semakin besar, secara logiknya, tempoh kejatuhannya juga semakin cepat.
Apakah kesan krisis yang berulang kepada dunia?
Secara sunnatullah, krisis ekonomi yang berulang akan sentiasa membawa mangsa. Biasanya yang menjadi mangsa adalah lapisan masyarakat yang paling lemah dan terbawah yang jumlahnya paling ramai.
Namun, di sisi lain, krisis itu juga akan membawa keuntungan besar kepada pihak tertentu yang jumlahnya hanya segelintir sahaja. Mereka ialah pemodal yang telah merancang tatanan ekonomi dunia untuk terus berjalan seperti ini dan mereka akan terus menikmati keuntungannya berlipat kali ganda.
Bagaimanakah ekonomi Islam mewujudkan ekonomi tanpa krisis?
Ekonomi Islam memerlukan ekonomi berjalan berdasarkan kepada sektor nyata sahaja, iaitu sektor perdagangan, perindustrian, pertanian, dan pelaburan (syirkah). Islam secara tegas melarang kegiatan ekonomi bukan sektor nyata.
Pembangunan ekonomi di sektor nyata akan menghasilkan pertumbuhan yang sebenar, bukan pertumbuhan ekonomi palsu. Pertumbuhan ekonomi sebenar ialah pertumbuhan dalam pengeluaran barang dan perkhidmatan yang secara nyata memang diperlukan oleh masyarakat, bukan keperluan buatan yang didorong oleh nafsu hutang-piutang.
Apakah peranan negara dan rakyat dalam mengukuhkan sistem ekonomi?
Dalam Islam, negara memiliki peranan paling penting dalam menegakkan peraturan ekonomi Islam agar ditaati dan diikuti oleh semua lapisan rakyatnya. Rakyat dengan kesedaran keimanan akan ikhlas menjalankan kegiatan ekonomi mengikut syariat yang telah dilaksanakan oleh negara.
Negara dan rakyat hendaklah saling bantu-membantu, menjaga antara satu sama lain, mengawal, menyokong, dan memuhasabah (check and balance) pelaksanaan peraturan ekonomi agar dapat terus berjalan mengikut koridor syariat Islam.
Apakah peranan masyarakat dalam usaha menyuarakan pendapat dan menegakkan ekonomi Islam?
Masyarakat mempunyai peranan yang sangat penting dan strategik untuk sentiasa mendakwahkan, bersosialisasi, mengemukakan pendapat tentang ekonomi Islam, baik yang ditujukan kepada sesama anggota masyarakat, mahupun negara. Sudah tentu akan timbul kesedaran umum dalam kalangan masyarakat mengenai kewajipan melaksanakan syariat Islam, termasuk di dalamnya ialah ekonomi Islam, yang insya-Allah akan membawa rahmat bagi alam semesta.
*Artikel diterjemah dan diolah
#EkonomiIslam #KrisisEkonomiGlobal