[SOAL JAWAB] BERZAKAT KEPADA ORANG YANG BERHUTANG KEPADA KITA
Oleh: KH. M. Shiddiq Al-Jawi
Soalan:
Ustaz, ada beberapa orang yang berhutang dengan saya, ada yang masih belum membayar dan ada juga yang tidak mampu untuk membayar hutang tersebut. Adakah saya boleh membayar zakat harta kepada orang yang berhutang kepada saya agar mereka dapat membayar hutang tersebut kepada saya menggunakan wang zakat tersebut? Keadaan, Si Fulan berhutang kepada saya sebanyak RM500 dan dia telah berhutang selama 3 tahun. Jika melihat dari keadaanya, agak sukar untuk dia melunaskan hutang tersebut. Saya berhasrat untuk membayar zakat harta sebanyak RM600 kepada Si Fulan dan beliau akan melunaskan hutang beliau sebanyak RM500 menggunakan duit zakat tersebut. Adakah keadaan ini dibolehkan?
Jawapan:
Ada rincian (tafshīl) hukum syarak bagi seseorang, misalnya Si Fulan, yang berzakat kepada orang lain (misalnya Fulanah) yang berhutang kepada Si Fulan. Imam Nawawi telah menjelaskan hukumnya dalam kitabnya Al-Majmū’ Syarah Al-Muhadzdzab sebagai berikut:
قاَلَ اْلإِماَمُ النَّوَوِيُّ رَحِمَهُ اللهُ : أَمَّا إِذَا دَفَعَ الزَّكاةَ إِلَيْهِ بِشَرْطِ أَنْ يَرُدَّها إِلَيْهِ عَنْ دينِهِ ، فَلَا يَصِحُّ الدَّفْعُ وَلَا تَسْقُطُ الزَّكاةُ بِالِاتِّفَاقِ ، وَلَا يَصِحُّ قَضاءُ الدَّيْنِ بِذَلِكَ بِالِاتِّفَاقِ … وَلَوْ نَوَيَا ذَلِكَ وَلَمْ يَشْرِطَاهْ جَازَ بِالِاتِّفَاقِ وَأَجْزَأَهُ عَنْ الزَّكاةِ ، وَإِذَا رَدَّهُ إِلَيْهِ عَنْ الدّينِ بَرِئَ مِنْهُ
Imam Nawawi, rahimahullah, berkata,”Adapun jika (seseorang) membayar zakat kepadanya (orang yang berhutang kepada Si Fulan) dengan syarat dia mengembalikannya kepadanya untuk membayar hutangnya, maka pembayaran zakat itu tidak sah dan zakatnya juga tidak gugur kewajipannya, demikian menurut kesepakatan (ulama). Demikian juga tidak sah melunasi hutang dengan cara seperti itu, demikian menurut kesepakatan (ulama)… Jika mereka berdua berniat melakukan hal yang demikian, namun keduanya tidak mensyaratkannya, maka hal itu boleh hukumnya menurut kesepakatan (ulama), dan sah pembayaran zakatnya, dan jika orang yang berhutang itu mengembalikannya untuk membayar hutangnya, maka dia telah terlepas dari hutang.” (Imam Nawawi, Al-Majmū’ Syarah Al-Muhadzdzab, Beirut: Darul Kutub Al-‘Ilmiyyah (DKI), Juz VII, hlm. 255).
Dari penjelasan Imam Nawawi tersebut, jelaslah bahawa rincian (tafshīl) hukum syarak bagi masalah ini adalah sebagai berikut:
Pertama, jika Si Fulan mensyaratkan kepada orang yang berhutang kepadanya (Fulanah) untuk mengembalikan wang zakat itu sebagai pembayaran hutang, maka hukumnya tidak boleh dan zakatnya tidak sah. Misalnya Si Fulan berkata kepada Fulanah, “Saya akan membayar zakat mal kepada kamu sebanyak RM600, tapi syaratnya kamu perlu membayar hutangmu kepada saya sebanyak RM500 dari wang RM600 itu.” Lalu si Fulanah menjawab Fulan, “Saya setuju.” Jika ada persyaratan yang demikian, hukumnya tidak boleh dan zakatnya tidak sah.
Kedua, jika Si Fulan tidak mensyaratkan hal itu kepada si Fulanah, hukumnya boleh dan zakatnya sah. Misalnya Si Fulan berkata kepada Fulanah, “Saya akan membayar zakat mal kepada kamu sebesar RM600.” (tanpa ada redaksi bahawa Si Fulan mensyaratkan bahawa wang itu untuk membayar hutang Fulanah kepada Fulan). Lalu si Fulanah menjawab, “Saya setuju.” Jika redaksinya seperti ini, yakni tidak ada persyaratan dari Fulan bahawa wang zakat yang diterima oleh Fulanah perlu dibayarkan sebagai pelunasan hutang kepada Fulan, maka hukumnya boleh dan zakatnya sah.
Demikianlah rincian hukum syarak bagi masalah yang dipertanyakan di atas, iaitu pembayaran zakat kepada seseorang yang berhutang, yang kemudian orang itu mengembalikannya untuk melunasi hutangnya kepada pemberi zakat.
Bagi mendapatkan kefahaman yang lebih lagi, kami kongsikan satu lagi situasi yang seakan dengan masalah sebelumnya di atas, iaitu hukum menukar piutang menjadi zakat. Contoh situasinya, Si Fulan memberi hutang kepada Fulanah sebesar RM500. Dengan kata lain, Fulan mempunyai piutang RM500 kepada Fulanah. Lalu Fulan berkata kepada Fulanah, “Piutang saya sebanyak RM500 yang ada pada kamu, saya jadikan zakat mal yang saya bayarkan kepada kamu.” Lalu Si Fulanah berkata, “Saya setuju.” Pembayaran zakat seperti ini, yakni dengan cara menukar piutang menjadi zakat, hukumnya tidak sah, sesuai pendapat yang rājih (lebih kuat) menurut Imam Nawawi. Imam Nawawi menjelaskan dalam kitabnya Al-Majmū’ Syarah Al-Muhadzdzab sebagai berikut:
قاَلَ اْلإِماَمُ النَّوَوِيُّ رَحِمَهُ اللهُ : إِذَا كَانَ لِرَجُلٍ عَلَى مُعْسِرِ دِينٌ فَأَرَادَ أَنْ يَجْعَلَهُ عَنْ زَكاتِهِ وَقَالَ لَهُ : جَعَلْتُهُ عَنْ زَكاَتِيْ فَوَجْهَانِ حَكَاهُماَ صاَحِبُ البَيانِ أَصَحُّهُمَا : لَا يُجْزِئُهُ ، وَبِهِ قَطَعَ الصَّيمَرِيُّ ، وَهُوَ مَذْهَبُ أَبِي حَنِيفَةَ وَأَحْمَدَ ، لِأَنَّ الزَّكاةَ فِي ذِمَّتِهِ فَلَا يَبْرَأُ إِلَّا بإِقْباَضِهاَ . وَالثَّانِي : يُجْزِئُهُ ، وَهُوَ مَذْهَبُ الحَسَنِ البَصْريِّ وَعَطاءٌ.
Imam Nawawi, rahimahullah, berkata,” Jika seseorang mempunyai piutang pada seorang yang berada dalam kesulitan (untuk membayar hutangnya), dan orang itu ingin membayar zakatnya, lalu orang itu berkata kepadanya, “Saya jadikan piutang saya untuk membayar zakat saya’, maka di sini ada dua pendapat menurut penulis kitab Al-Bayān, yang lebih benar (sahih) adalah: tidak mencukupi (tidak sah zakatnya). Pendapat inilah yang dipastikan oleh Al-Shaimari, dan inilah pendapat mazhab Abu Hanifah dan mazhab Ahmad. Hal ini kerana zakat itu menjadi tanggungan pihak yang berhutang, dan hutang itu tidaklah terbayar kecuali dengan adanya serah terima (al-qabdh) atas harta zakat (dari orang yang berhutang kepada pemberi hutang). Pendapat kedua, pembayaran zakat seperti itu (dengan membebaskan hutang atas orang yang berutang) mencukupi (sah), dan ini adalah pendapat Al-Hasan Al-Bashri dan ‘Athā`.” (Imam Nawawi, Al-Majmū’ Syarah Al-Muhadzdzab, Beirut: Darul Kutub Al-‘Ilmiyyah (DKI), Juz VII, hlm. 255).
Dari penjelasan Imam Nawawi di atas, hukum menukar piutang menjadi zakat ada dua pendapat, iaitu ada yang membolehkan dan ada yang tidak membolehkan. Imam Nawawi menilai pendapat yang lebih sahih adalah yang tidak membolehkan, dengan alasan wajib ada serah terima (al-qabdh) atas harta zakat, dari orang yang berhutang kepada pemberi hutang. Hal ini tidak terjadi dalam situasi seseorang yang menukar piutangnya menjadi zakat, kerana dia hanya mengucapkan lafaz pembebasan hutang (ibrā`) dan lafadz pembayaraan zakat (daf’u az-zakāt), tanpa sama sekali terjadi serah terima harta zakat (al-qabdh), iaitu yang rincinya ada pengambilan harta zakat (al-akhdzu) dari muzakki, dan ada penyerahan harta zakat (al-i’tha`/ al-radd) kepada mustahiq zakat.
Padahal dalil-dalil syarak menjelaskan adanya al-akhdzu (pengambilan dari muzakki) dan al-i’tha`/ al-radd (pemberian kepada mustahiq) secara konkrit. Adanya pengambilan harta zakat (al-akhdzu) dari muzakki, dalilnya firman Allah SWT :
خُذْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ صَدَقَةً تُطَهِّرُهُمْ وَتُزَكِّيهِمْ بِهَا
“Ambillah zakat dari sebahagian harta mereka, dengan zakat itu kamu membersihkan dosa mereka dan menumbuhkan harta mereka.” [TMQ ِAِt-Taubah: 103]
Dalil lain yang menunjukkan bahawa pada zakat harus ada pengambilan harta zakat (al-akhdzu) dari muzakki, dan ada penyerahan harta zakat (al-i’tha`/ al-radd) kepada mustahiq zakat, adalah sabda Rasulullah SAW ketika beliau mengutus Mu’adz bin Jabal RA ke Yaman. Rasulullah SAW berkata kepada Mu’adz bin Jabal RA :
فَأَعْلِمْهُمْ أَنَّ اللَّهَ افْتَرَضَ عَلَيْهِمْ صَدَقَةً فِي أَمْوَالِهِمْ تُؤْخَذُ مِنْ أَغْنِيَائِهِمْ وَتُرَدُّ عَلَى فُقَرَائِهِمْ
“…maka beritahukanlah kepada mereka bahawa Allah telah mewajibkan atas mereka sedekah (zakat) dari harta mereka, yang diambil dari orang-orang kaya mereka dan diberikan kepada orang-orang faqir mereka.” (HR. Al-Bukhari, no. 1395; Muslim no. 19).
Dengan demikian, jelaslah bahawa pendapat yang rājih (lebih kuat dalilnya), adalah pendapat yang tidak memperbolehkan menukar piutang menjadi zakat. Wallāhu a’lam.