[SOAL JAWAB] Hukum Memboikot Produk-Produk Pro-Zionis
Oleh : KH. M. Shiddiq Al-Jawi
Soalan:
Ustaz, mohon jelaskan hukum memboikot produk Israel atau produk-produk yang pro Israel, iaitu yang memberikan sebahagian keuntungan perniagaan mereka kepada Israel?
Jawapan:
Hukum asalnya adalah boleh bermuamalah dengan orang kafir zimmi (Ahlul Zimmah), iaitu orang-orang kafir yang menjadi warganegara dari negara Islam (Daulah Al-Khilafah).
Dalilnya adalah firman Allah SWT. :
لَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُمْ مِنْ دِيَارِكُمْ أَنْ تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ
“Allah tidak melarang kamu berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tidak memerangi kamu dalam urusan agama dan tidak mengusir kamu dari kampung halaman kamu. Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang berlaku adil.” [TMQ. Al-Mumtahanah (60) : 8].
Dalil lain ialah Rasulullah SAW. pernah bermuamalah dengan orang Yahudi di Madinah, berdasarkan hadis dari ‘Aisyah RA. seperti berikut :
عن عائشة رضي الله عنها قالت : ( اشْتَرَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ يَهُودِيٍّ طَعَامًا بِنَسِيئَةٍ وَرَهَنَهُ دِرْعَهُ ) رواه البخاري ( 1990 ) ومسلم ( 1603 )
Dari ‘Aisyah RA., dia berkata, “Rasulullah SAW. telah membeli dari seorang Yahudi bahan makanan dengan hutang dan Rasulullah SAW. menggadaikan baju besinya kepada orang Yahudi itu.” (HR. Bukhari 1990; Muslim 1603).
Mengenai hukum bermuamalah dengan kaum kafir harbi (Al-Kāfir Al-Harbi), iaitu orang-orang kafir yang tidak menjadi warganegara dari negara Islam (Daulah Al-Khilāfah), terbahagi kepada dua seperti berikut:
Pertama, kafir harbi secara hukum (hukman/de jure), iaitu orang kafir yang tidak sedang berperang secara nyata dengan umat Islam. Negaranya disebut Al-Daulah Al-Muhāribah Hukman. Hukum bermuamalah dengan kafir harbi secara hukum ini terdapat perincian (tafshīl) seperti berikut :
1) Tidak boleh, jika barang yang diniagakan ialah barang-barang strategik yang boleh menguatkan mereka, seperti semua jenis senjata ketenteraan, seperti kereta kebal, pesawat pejuang, dll.
Dalilnya kerana barang-barang strategik tersebut dapat menguatkan orang-orang kafir sehingga dilarang, sebagaimana firman Allah SWT. :
وَلَا تَعَاوَنُوْا عَلَى الْاِثْمِ وَالْعُدْوَانِۖ
”Dan janganlah kamu tolong-menolong dalam berbuat dosa dan permusuhan.” [TMQ Al-Māidah (5) : 2].
2) Boleh, jika yang diniagakan bukan barang-barang strategik yang boleh menguatkan mereka, seperti pakaian, perhiasan, bahan makanan, dan sebagainya. Adapun dalil dibolehkannya perniagaan barang bukan strategik kerana tidak dianggap tolong-menolong dalam dosa dan permusuhan yang telah dilarang dalam QS Al-Māidah : 2 tersebut. (Taqiyuddin An-Nabhani, An-Nizhām Al-Iqtishādi fī Al-Islām, hlm. 300).
Kedua, kafir harbi secara fakta (fi’lan/de facto), iaitu orang kafir yang sedang berperang secara nyata dengan umat Islam. Negaranya disebut Al-Daulah Al-Muhāribah Fi’lan. Hukum bermuamalah dengan kafir harbi secara fakta (fi’lan/de facto) adalah tidak boleh (haram) menurut syariat Islam, baik yang diniagakan barang strategik mahupun bukan strategik.
Imam Taqiyuddin An-Nabhani menjelaskan hukumnya seperti berikut :
هَذَا بِالنِّسْبَةِ لِلتِّجاَرَةِ مَعَ دَارِ الْحَرْبِ الْمُحاَرِبَةِ حُكْماً، أَماَّ لَوْ كاَنَتْ دَارَ الْحَرْبِ الْمُحاَرِبَةِ فِعْلاً (كَإِسْرَائِيْلَ)، فَإِنَّهُ لاَ تَجُوْزُ التِّجاَرَةُ مَعَهاَ، لاَ فِي السِّلاَحِ وَلاَ فِي الطَّعاَمِ، وَلاَ فِيْ غَيْرِهِ،لإِنَّ فِيْ ذَلِكَ تَقْوِيَّةٌ لَهاَ عَلىَ الصُّمُوْدِ ضِدّ الْمُسْلِمِيْنَ، فَيَكُوْنُ مُعاَوَنَةً عَلىَ اْلإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ فَيُمْنَعُ. (تقي الدين النبهاني، النظام الإقتصادي في الإسلام، ص 300).
“Ini (penjelasan sebelumnya) berkaitan dengan hukum berdagang dengan Al-Daulah Al-Muharibah Hukman. Adapun jika berdagang dengan Al-Daulah Al-Muhāribah Fi’lan (seperti Israel) maka tidak boleh hukumnya berdagang dengan Israel itu, baik barang dagangan itu senjata, mahupun bahan makanan, atau barang lain. Hal ini kerana dalam perdagangan (al-tijārah) dengan Israel, terdapat penguatan bagi Israel untuk terus bertahan melawan umat Islam, sehingga perdagangan dengan Israel akan menjadi bantuan (pertolongan) untuk melakukan dosa dan permusuhan, maka ini adalah dilarang.” (Taqiyuddin An-Nabhani, An-Nizhām Al-Iqtishādi fī Al-Islām, hlm. 300).
Berdasarkan penjelasan di atas mengenai haramnya umat Islam melakukan aktiviti perdagangan (al-tijārah) dengan Israel, jelaslah bahawa haram hukumnya bagi umat Islam untuk membeli produk Israel, atau membeli produk yang pro-Israel, iaitu barang-barang yang pengeluarannya boleh jadi bukan Israel, tetapi memberikan sokongan kewangan kepada Israel.
Dalil pengharamannya ialah dalil umum yang mengharamkan ta’āwun dalam dosa dan permusuhan (QS Al-Mā`idah : 2), dan dalil umum yang melarang umat Islam bermuamalah dengan orang kafir yang telah memerangi dan mengusir umat Islam dari rumah-rumah mereka (QS Al-Mumtahanah : 8-9). Wallāhu a’lam.
#Boikot #BarangJualBeli #HukumMuamalah