Peduli Palestin
Oleh : Arief B. Iskandar
Palestin, khususnya Gaza, menjadi salah satu potret pilu umat Muslim sekarang ini akibat tentera Zi0nis Yahudi yang terus melakukan berbagai serangan dan pengeboman. Mereka juga tidak segan menahan tawanan, berbagai penyeksaan dan pemerkosaan tanpa mempedulikan sama ada orang tua, wanita, kanak-kanak bahkan bayi-bayi yang baru dilahirkan. Semuanya menjadi sasaran kebiadaban Yahudi Jahanam.
Ramadhan yang lalu, kita di sini dan juga umumnya umat Islam di berbagai belahan dunia, berpuasa hanya sebulan lamanya iaitu selama bulan Ramadhan sahaja. Namun, kaum Muslim Gaza telah ’berpuasa’ sejak beberapa bulan sebelumnya. Sebabnya jelas, kerana tiadanya makanan yang dapat mereka makan. Kesannya, ramai dari mereka yang terpaksa bepuasa dan sering berlapar dan perkara itu berlaku selama berbulan-bulan. Hanya untuk menahan lapar, mereka terpaksa memakan rumput. Ada juga yang terpaksa makan makanan haiwan. Sebahagian dari mereka yang kehausan, terpaksa minum dari air kotor di jalanan. Sungguh pemandangan yang sepatutnya meruntun hati siapapun yang masih ada rasa kemanusiaan.
Ketika Aidilfitri menjelma, saat kita bergembira dan berbahagian menyambut Hari Raya sambil menikmati aneka makanan lazat dan saling bersilaturrahim dengan pakaian yang serba baru, umat Islam di Palestin ’merayakan’ ragam duka dan tragedi. Mereka menderita kelaparan juga kehausan. Setiap detik mereka ketakutan. Amat ngeri jika pada bila-bila masa bom Yahudi Zi0nis digugurkan. Di atas khemah pelarian, di atas ribuan kepala yang tidak pernah mendapat tidur malam yang nyenyak.
Setiap hari ratusan orang terkorban. Sehingga hari ini lebih dari 32 ribu nyawa yang melayang. Sekitar 7000 lainnya masih berada di bawah runtuhan bangunan dan sebahagian besarnya adalah dari kalangan kanak-kanak dan kaum wanita.
Yang lebih menyakitkan, para penguasa Muslim, khususnya para pemimpin Arab sehingga saat ini masih berdiam diri seolah-olah mereka tuli dan buta. Umat Islam di Palestin sangat menderita tetapi perkara itu tidak sedikit pun menyentuh hati mereka dan tidak juga menyentuh rasa kemanusiaan mereka. Sebahagian besar dari mereka hanya melayangkan kutukan dan kecaman. Itu juga penuh dengan kepura-puraan hanya semata untuk menjaga imej agar dianggap masih peduli terhadap Palestin. Sebahagian pemimpin Arab/Muslim lainnya bahkan tetap berjabat tangan dengan Zi0nis Yahudi. Sedangkan tangan Yahudi durjana itu masih berlumuran darah ribuan para syuhada.
Melihat betapa menderita kaum Muslim di Palestin, selayaknya kita bertanya : Dimana umat Islam? Bukankah mereka umat terbaik? [QS Ali Imraan (3): 110]? Dimana ukhwah Islamiyyah yang sering disuarakan? Bukankah semua kaum Muslim bersaudara [QS Al-Hujurat (49): 10]?
Banyak dalil yang menuntut setiap Muslim untuk peduli dan menolong saudara seagamanya, di mana pun dan pada bila-bila masa. Rasulullah SAW. contohnya, bersabda “Perumpamaan kaum Mukmin dalam saling mencintai, sayang-menyayangi dan bahu-membahu seperti satu tubuh. Jika salah satu anggota tubuhnya sakit, seluruh anggota tubuhnya yang lain ikut merasakan sakit juga, dengan tidak dapat tidur dan demam.” (HR al-Bukhari dan Muslim).
Rasulullah SAW. juga bersabda, “Seorang Muslim adalah saudara bagi Muslim lainnya. Dia tak boleh menzalimi saudaranya dan membiarkan saudaranya itu (dizalimi). Siapa saja yang memenuhi keperluan saudaranya. Allah akan memenuhi keperluannya. Siapa saja yang menghilangkan satu kesulitan saudaranya (di dunia), Allah akan menghilangkan satu kesulitan dari dirinya pada Hari Kiamat.” (HR al-Bukhari).
Jelas, berdasarkan dalil-dalil di atas, tidak sepatutnya kaum Muslim untuk berdiam diri, berpeluk tubuh tanpa memperdulikan saudaranya termasuklah saudara-saudara Muslim di Palestin yang telah lama menderita.
Keadaan ini tidak sepatutnya kita biarkan. Umat Islam perlu bangkit, perlu kembali menjadi umat yang terbaik. Kerana, itulah jati diri dan karakter sebenar umat Baginda Nabi SAW. Demikianlah sebagaimana yang dinyatakan oleh Allah SWT. dalam Al-Quran [QS Ali Imraan (3): 10].
Gelaran umat terbaik tentu hanya dimiliki oleh kaum Muslim yang bertakwa. Takwa sendiri adalah hikmah yang sepatutnya ada dalam diri setiap Muslim yang berpuasa selama bulan Ramadhan [QS Al-Baqarah (2): 183].
Ketakwaan adalah ketaatan sepenuhnya pada syariah Allah SWT. Ketakwaan ini perlu ada pada kaum Muslim baik di peringkat peribadi atau di peringkat masyarakat secara kolektif bahkan di peringkat negara. Ketakwaan sepenuhnya semacam ini hanya terwujud dengan adanya Khilafah / Imamah. Ini kerana, ada beberapa hukum syariah, contohnya hudud yang tidak boleh dilakukan dalam kapasiti individu, tetapi perlu adanya negara sebagai pelaksana. Pelaksananya tidak lain adalah Imam/Khalifah (Fakhr ad-Din Muhammad bin Umar ar-Razi, Mafâtîh al-Ghayb, 11/356).
Imam dalam ungkapan di atas bermaksud Khalifah. Kerana itulah kita wajib mewujudkan seorang Imam (khalifah) yang akan menerapkan syariah Islam secara keseluruhan (kaffah).
Dengan demikian, ketakwaan tercermin dalam dua perkara :
- Ketundukan secara sepenuhnya pada syariat Allah
- Kesatuan kaum Muslim sedunia dalam satu kepimpinan iaitu Khilafah
Inilah yang akan menjadikan Allah menurunkan rahmat dan kemenangan kepada umat Islam ke atas semua penganut agama dan ideologi lain.
Itulah sebabnya keberadaan Khilafah sangat diperlukan bahkan wajib secara hukum syariah dan mendesak dari sisi realiti politik. Tanpa Khilafah, umat ibarat anak ayam yang kehilangan ibunya. Mereka tiada perlindungan sama sekali dan itulah yang terjadi hari ini. Apa yang dialami oleh Muslim Palestin sejak berpuluh tahun lamanya, juga dialami oleh Muslim Xianjiang, Muslim Rohingya, Muslim India dan banyak lagi. Kerana itu, benarlah sabda Nabi SAW., “Sungguh Imam/Khalifah adalah perisai; orang-orang berperang di belakang dirinya dan menjadikan dia sebagai pelindung.” (HR Muslim).
Semua ini sepatutnya menjadikan kita semakin semangat dalam memperjuangkan tegaknya kembali Khilafah. Khilafahlah yang akan membebaskan Palestin, juga negeri-neggeri Muslim lainnya yang terjajah.
Wa maa tawfiiqii illaa bilLaah.