[Ath-Thariq] Islam sebagai Sebuah Ideologi
Penulis: Syeikh Ahmad Athiyat
Ideologi (al-mabda) itu merupakan sebuah akidah aqliyah (akidah yang berpijak pada pemikiran) atau pemikiran yang menyeluruh dan integral (al-fikrah al-kulliyah) tentang alam semesta, manusia, dan kehidupan. Dengannya manusia dapat menghuraikan simpul besar (al-uqdat al-kubra) yang tergambar dalam beberapa pertanyaan yang sering ia ajukan tentang hakikat alam semesta, dan seperangkat sistem yang menjalankan dan mengatur gerak perjalanannya, serta tentang hakikat manusia dari segi keberadaan dan tujuan hidupnya dalam kehidupan ini, dan tujuan dari keberadaannya sendiri dan tempat kembalinya dalam kehidupan setelah dunia ini.
Kami katakan bahawa sebuah akidah—agar boleh menjadi sebuah ideologi—mestilah ada sistem yang terlahir dari akidah tersebut. Kami katakan pula bahawa sebuah ideologi, agar layak dapat diterapkan, mesti memiliki tata cara tertentu yang menjelaskan metode penerapannya, yakni mengimplementasikannya dalam kancah kehidupan, dan metode untuk menyebarkannya, yakni mengembannya kepada orang-orang yang belum meyakininya, dan metode ketiga yang menjelaskan cara melindungi ideologi itu agar bertahan hidup dalam arena kehidupan ini, dan memeliharanya dari kepunahan dan kemusnahannya.
Kami katakan pula bahawa ideologi itu secara umum ada dua jenis, ideologi yang dibuat oleh manusia, yakni ideologi kapitalisme dan sosialisme yang tidak diragukan lagi oleh seorang pun bahawa keduanya berasal dari manusia, dan ideologi yang berasal dari Sang Pencipta iaitu Islam. Namun, sebelum kami memastikan bahawa Islam itu sebuah Ideologi ilahiah, kami akan menjalankan langkah-langkah yang sama dengan apa yang telah kami lakukan ketika membahas dua ideologi terdahulu—kapitalisme dan sosialisme—maka kami tetapkan di awal bahawa Islam itu adalah sebuah ideologi yang layak untuk diterapkan.
Islam ditegakkan di atas akidah yang terang, jelas, dan tak ada kesamaran di dalamnya, yakni akidah “Tiada tuhan selain Allah dan Muhammad adalah utusan Allah”. Akidah inilah yang membentuk asas pemikiran bagi ideologi Islam. Akidah ini—secara singkat—membawa pengertian bahawa di sebalik alam semesta, manusia, dan kehidupan itu ada Pencipta yang telah menciptakan semua itu dari tidak ada, yakni “Allah SWT” dan mengandung pengertian lain bahawa tidak ada Tuhan selain Dia secara mutlak. Allah SWT telah berfirman,
قُلْ هُوَ اللّٰهُ اَحَدٌۚ
“Katakanlah, ‘Dialah Allah yang Maha Esa.’” (TMQ Al-Ikhlash: 1).
Dan bahawasanya Sang Pencipta ini tidak menyerupai sesuatu pun dari makhluk ciptaan-Nya secara mutlak.
اَللّٰهُ الصَّمَدُۚ لَمْ يَلِدْ وَلَمْ يُوْلَدْۙوَلَمْ يَكُنْ لَّهٗ كُفُوًا اَحَدٌ ࣖ
“Allah tempat bergantung. Yang tidak melahirkan dan tidak pula dilahirkan. Yang tidak ada seorang pun yang setara dengan Dia.” (TMQ Al-Ikhlash: 2-4)
Dan
ۗ لَيْسَ كَمِثْلِهٖ شَيْءٌ
“Tidak ada sesuatu pun yang semisal dengan-Nya.” (TMQ Asy-Syura: 11).
Juga membawa pengertian bahawa Sang Pencipta ini telah mengutus seorang Rasul kepada kita. Dia SWT telah membekalinya dengan sebuah sistem yang dapat menjamin manusia memecahkan seluruh persoalan yang dihadapinya sepanjang hayatnya dalam rangka memenuhi keperluan jasmani dan naluri- nalurinya. Dan juga dalam rangka menghuraikan simpul besar (al-‘uqdat al-kubra) dengan kemampuannya menjawab seluruh persoalan yang berkaitan dengan manusia, alam semesta, dan kehidupan.
Berdasarkan hal ini, seorang manusia yang mengimani keberadaan Sang Pencipta (Al-Khaliq)—dengan iman yang pasti (al-jazim) melalui metode dalil aqli—wajib pula meyakini bahawa Muhammad itu adalah utusan Allah dan mengimani seluruh risalah yang dibawa utusan ini—Muhammad SAW—sebagai risalah yang berasal dari Allah SWT, hal ini boleh terjadi ketika dapat dipastikan bahawa apa yang sampai dari lisan utusan (rasul) tersebut secara nyata merupakan firman Allah SWT
Islam itu sebuah ideologi dalam maksud bahawa ia merupakan sebuah akidah aqliyah yang memberikan jawapan kepada manusia atas segenap pertanyaan dan persoalannya. Akidah tersebut tergambar dalam, “Tiada Tuhan selain Allah dan Muhammad adalah utusan Allah.”
Terlahirlah dari akidah tersebut sebuah sistem aturan untuk memecahkan seluruh persoalan manusia dan sistem ini adalah apa yang ada dan tertera dalam Al-Quran dan sunnah serta apa yang ditunjukkan oleh keduanya.
Adapun tata cara untuk melaksanakan ideologi ini—menerapkannya dalam realiti kehidupan pada umat yang meyakini kebenarannya—itu adalah dengan keberadaan daulah (negara). Dalam melaksanakan ideologi tersebut, daulah berpegang pada dua perkara, yakni ketakwaan dan keimanan seorang muslim atas kebenaran dan pentingnya sistem ini di satu sisi serta tajamnya undang-undang dan seluruh hukumannya di sisi lain.
Adapun tata cara untuk mengemban dan menyebarkan ideologi pada bangsa-bangsa lain yang belum mengimani ideologi tersebut, maka hal itu menjadi tanggungjawab daulah yang mesti dilaksanakan dengan metode jihad yang bertujuan untuk menghilangkan berbagai halangan dan rintangan yang bersifat fizikal yang menghalangi antara umat atau bangsa tersebut dengan pemahaman Islam yang benar, juga untuk memberikan pemahaman kepada mereka dengan pemahaman yang cukup dan jelas.
Allah SWT berfirman,
“Kami tidak akan menyeksa suatu kaum sehingga kami mengutus seorang rasul.” (TMQ Al-Israa: 15)
Dan
“Dan tidak ada suatu umat pun melainkan telah ada padanya seorang pemberi peringatan.”(TMQ Fathir: 24).
“Dialah yang telah mengutus Rasul-Nya (dengan membawa) petunjuk (Al-Quran) dan agama yang benar untuk dimenangkan-Nya atas segala agama, walaupun orang-orang musyrik tidak menyukai.“ (TMQ At-Taubah: 33).
Rasulullah SAW bersabda,
“Jihad itu akan terus berlangsung hingga hari kiamat yang tidak akan dapat dibatalkan oleh adilnya seorang yang adil dan zalimnya seorang yang zalim.”
Adapun yang dimaksudkan dengan halangan fizikal itu adalah seluruh sistem kafir yang menjadi penghalang antara bangsanya dengan kebenaran “kalimah” Islam.
Adapun tata cara untuk melindungi ideologi tersebut, sesungguhnya Allah SWT yang mengutus rasul-Nya dengan membawa ideologi ini telah memberikan jaminan untuk menjaganya. Dia SWT berfirman,
“Sesungguhnya Kami-lah yang menurunkan Al-Quran dan sesungguhnya Kami benar-benar memeliharanya.” (TMQ Al-Hijr: 9)
Wujud pemeliharaan itu tampak pada jaminan Allah SWT bahawa pada setiap masa ada orang yang memelihara agama ini dan menjaga kesucian dan keasliannya.
Hal yang dipaparkan tadi menjelaskan bahawa Islam itu sebuah ideologi (al-mabda) yang layak untuk diterapkan. Ia merupakan sebuah fikrah (thought) dan thariqah (method), yakni terdiri dari akidah, berbagai solusi pemecahan masalah, dan tata cara untuk melaksanakan, mengemban, dan memelihara ideologi ini.
Akan tetapi, adanya fikrah dan thariqah tersebut tidaklah menunjukkan—sebagaimana juga dengan ideologi lainnya—bahawa ideologi ini benar (sahih) dan menjamin terealisasinya sebuah kebangkitan yang benar yang diharapkan. Indikasi yang menunjukkan benar tidaknya ideologi ini adalah terpenuhinya dua syarat yang telah disebutkan dahulu, yakni: pertama, terpuaskannya akal, yakni dari segi asas pemikirannya atau akidah aqliyahnya yang mewujudkan pemecahan bagi simpul besar (al-uqdat al-kubra), dan kedua, keselarasan solusi ini dengan fitrah manusia, apalagi dengan naluri beragama (garizah al-tadayyun).
Namun, sebelum kita meneruskan langkah meletakkan ideologi ini dalam timbangan akal dan fitrah dalam rangka mengetahui kebenaran dan kebatilan ideologi ini, kita mesti mengecamkan dalam pemikiran bahawa ideologi ini berbeza dengan dua ideologi sebelumnya, iaitu ideologi ini dinisbatkan kepada Allah. Oleh kerana itu, dua syarat berikut telah sejalan dengan ideologi ini, ketika terbukti oleh akal bahawa di sebalik alam semesta ini ada Pencipta, dan ketika terbukti bahawa sistem yang dibawa oleh Muhammad SAW itu berasal dari Sang Pencipta tersebut.
Sumber artikel: Syeikh Ahmad Athiyat, Ath-Thariq (Jalan Baru Islam)