[Pemikiran Politik Islam] Politik dan Politik Internasional (Bahagian 1/2)
Penulis: Syeikh Abdul Qadim Zallum
Politik dalam negeri, iaitu mengurus kepentingan umat dan negara, memang sesuatu yang penting. Akan tetapi, ini bukanlah satu-satunya urusan atau persoalan yang utama. Menjadikan politik dalam negeri sebagai persoalan yang utama akan mengarah pada egoisme. Hal ini juga membahayakan negara dan umat kerana dapat menyebabkan konflik internal dan pergelutan di kalangan ahli politik, baik secara individu mahupun berkelompok.
Lebih jauh lagi, menjadikan politik dalam negeri sebagai persoalan utama bukan saja menghalang umat memahami makna politik sebenar. Akan tetapi, turut membuatkan mereka lalai mengurusi kepentingan umat dengan sebaik- baiknya.
Para ahli politik juga perlu memerhatikan kepentingan negara dan umat lain, mengetahui keadaan dan aktiviti mereka, serta mengumpulkan sebanyak mungkin informasi mengenai mereka. Politik luar negeri (internasional) merupakan bahagian yang tidak terpisahkan dari politik.
Politik merupakan pemikiran tentang pemeliharaan urusan dan kepentingan umat di negeri sendiri, serta kepentingan negara dan bangsa lain. Dengan demikian, politik internasional dianggap sebagai komponen penting dari politik. Hal yang perlu diperhatikan dalam politik internasional adalah negara-negara dan bangsa-bangsa yang berpengaruh di dunia, terutama mereka yang berkepentingan dengan umat, negara, dan keyakinan umat. Bukan seluruh negara dan bangsa di dunia.
Dengan demikian, politik luar negeri atau politik internasional semata-mata membahas kebijakan negara dan bangsa-bangsa yang berpengaruh, utamanya yang berpengaruh kepada negara dan umat, baik secara langsung mahupun tidak langsung.
Oleh sebab itu, seluruh kaum muslim (khususnya para ahli politik) perlu dibekali sikap berhati-hati terhadap berbagai bentuk ancaman dari luar. Mereka perlu memiliki kemampuan berpolitik di peringkat internasional. Dimulai dengan meningkatkan kesedaran dan pemerhatian dari dekat terhadap kepentingan negara lain, serta mengawasi berbagai kemungkinan munculnya bahaya.
Negara Islam tidak hanya terdiri dari penguasanya saja, tetapi juga umat yang hidup di bawah tanggungjawab penguasanya. Jadi, seluruh umat Islam adalah bahagian dari Negara Islam. Negara-negara kafir menyedari kenyataan itu dan menjadikannya sebagai landasan aktiviti politik mereka.
Selagi umat menyedari dirinya sebagai bahagian dari Negara Islam, mereka akan senantiasa mengikuti khabar berita, serta berbagai urusan dan kepentingan negara-negara kafir tersebut. Ini dalam rangka mengenali musuhnya dan mempersiapkan diri untuk menghadapinya.
Dengan demikian, informasi-informasi tentang politik luar negeri hendaklah selalu diketahui dengan baik dan secara umum difahami oleh seluruh umat. Para ahli politik dan cendekiawan berkewajipan memberikan informasi dan pemahaman mengenai politik luar negeri kepada umat. Umat juga perlu memilih wakilnya dalam Majlis Umat sebagai tempat bertanya dan berkonsultasi mengenai dasar-dasar politik dan politik internasional.
Inilah hal yang lazim dilakukan antara umat dan wakilnya di Majlis Umat. Bagi para ahli politik dan cendekiawan, pembahasan dan pengetahuan tentang politik internasional perlu menjadi pokok persoalan yang mendasari pemikiran-pemikiran dan aktiviti mereka.
Hal ini disebabkan kerana kaum muslim diciptakan hanya untuk Islam serta menyampaikan dakwah. Mereka hidup hanya untuk Islam, melindungi, dan menyebarluaskannya. Menyampaikan dakwah Islam adalah tujuan hidup, sedangkan jihad (yang merupakan puncak aktiviti keislaman) adalah sarana untuk mencapai tujuan tersebut.
Untuk mencapai puncak itulah diperlukan pengetahuan tentang politik luar negeri dan internasional. Setiap negara yang berusaha memberikan pengaruh di dunia dan mencapai kejayaannya perlu menjadikan politik luar negeri sebagai salah satu persoalan yang mendasar. Kemudian, memanfaatkannya sebagai alat untuk meningkatkan dan memperkukuh kedudukannya, baik secara internal mahupun eksternal.
Atas sebab itulah maka para ahli politik dan intelektual, baik sebagai penguasa atau bukan, perlu memahami dengan sebaik-baiknya politik internasional dan luar negeri. Itulah makna ahli politik, yakni sebagai orang yang bertanggungjawab mengurus kepentingan umat. Ini kerana urusan umat bergantung pada politik internasional dan luar negeri.
Oleh kerananya, wajib bagi seluruh parti politik, ahli politik, kaum intelektual, dan para ulama untuk menjadikan politik luar negeri sebagai keutamaan tertinggi dalam perjuangannya.
Sumber: Syeikh Abdul Qadim Zallum, Pemikiran Politik Islam, Upaya Membumikan Politik Sebagai Mainstream Gerakan.