[Ath-Thariq] Islam dan Al-Quran (Bahagian 3/4)
Penulis: Syeikh Ahmad Athiyat
- Bangsa Arab
Adapun keberadaan Al-Quran sebagai sesuatu yang berasal dari orang Arab, maka ini batil dan tidak dapat diterima oleh akal. Tiada lain kerana Al-Quran telah mencabar bangsa Arab dengan kalimat yang begitu memukul dan menyesakkan serta provokatif, untuk mendatangkan atau membuat sesuatu yang menyamai Al-Quran. Allah Swt. berfirman,
قُلْ لَّىِٕنِ اجْتَمَعَتِ الْاِنْسُ وَالْجِنُّ عَلٰٓى اَنْ يَّأْتُوْا بِمِثْلِ هٰذَا الْقُرْاٰنِ لَا يَأْتُوْنَ بِمِثْلِهٖ وَلَوْ كَانَ بَعْضُهُمْ لِبَعْضٍ ظَهِيْرًا
“Katakanlah, ‘Sesungguhnya jika manusia dan jin berkumpul untuk membuat yang serupa Al-Quran ini, nescaya mereka tidak akan dapat membuat yang serupa dengan dia, sekalipun sebahagian mereka menjadi pembantu bagi sebahagian yang lain.’” (TMQ Al-Isra’: 88).
Ketika mereka tidak mampu melakukan hal itu, mereka berlindung di sebalik kata- kata yang menggambarkan ketidakberdayaan mereka, mereka menuduh Rasulullah saw. telah membuat Al-Quran. Allah Swt. mencemuh mereka dan mencabar mereka untuk mendatangkan semisal Al-Quran tidak sampai secara keseluruhan, tetapi agar mereka membuat sepuluh surah saja sebagaimana yang dilakukan Muhammad—kalau memang demikian—sebagaimana yang mereka prasangkakan.
Allah Swt. berfirman,
اَمْ يَقُوْلُوْنَ افْتَرٰىهُ ۗقُلْ فَأْتُوْا بِعَشْرِ سُوَرٍ مِّثْلِهٖ مُفْتَرَيٰتٍ وَّادْعُوْا مَنِ اسْتَطَعْتُمْ مِّنْ دُوْنِ اللّٰهِ اِنْ كُنْتُمْ صٰدِقِيْنَ
“Bahkan mereka mengatakan, ‘Muhamad telah membuat-buat Al-Quran itu.’ Katakanlah (kalau demikian), maka datangkanlah sepuluh surah yang dibuat-buat yang menyamainya, dan panggillah orang yang kamu sanggup (memanggilnya) selain Allah, jika kamu memang orang-orang yang benar.” (TMQ Hud: 13).
Ketika mereka kembali tidak mampu—padahal mereka pakar bahasa dan ahli dalam bayan (kata-kata yang fasih) dan orang-orang yang senantiasa bergelut dengan syair, natsar, dan sastera—Al-Quran kembali mencabar mereka untuk mendatangkan satu surah saja yang serupa dengan Al-Quran.
Allah Swt. berfirman,
وَاِنْ كُنْتُمْ فِيْ رَيْبٍ مِّمَّا نَزَّلْنَا عَلٰى عَبْدِنَا فَأْتُوْا بِسُوْرَةٍ مِّنْ مِّثْلِهٖ ۖ وَادْعُوْا شُهَدَاۤءَكُمْ مِّنْ دُوْنِ اللّٰهِ اِنْ كُنْتُمْ صٰدِقِيْنَ
“Dan jika kamu (tetap) dalam keraguan tentang Al-Quran yang Kami wahyukan kepada hamba Kami (Muhammad), buatlah satu surah (saja) yang semisal Al-Quran itu dan ajaklah penolong-penolongmu itu selain Allah, jika kamu memang orang-orang yang benar.” (TMQ Al-Baqarah: 23).
Allah Swt. berfirman,
اَمْ يَقُوْلُوْنَ افْتَرٰىهُ ۗ قُلْ فَأْتُوْا بِسُوْرَةٍ مِّثْلِهٖ وَادْعُوْا مَنِ اسْتَطَعْتُمْ مِّنْ دُوْنِ اللّٰهِ اِنْ كُنْتُمْ صٰدِقِيْنَ
“Bahkan mereka mengatakan, ‘Muhammad telah membuat-buat Al-Quran itu.’ Katakanlah (kalau benar apa yang kamu katakan), maka datangkanlah satu surah yang dapat menyamainya, dan ajaklah penolong-penolong kamu selain Allah, jika kamu memang orang-orang yang benar.”(TMQ Yunus: 38).
Berdasarkan hal ini, maka jelaslah ketidak-mungkinan bangsa Arab yang membuat Al-Quran, seandainya memang mereka mampu dengan segala kemungkinan mereka—dengan terpenuhinya berbagai hal yang mendorong mereka untuk dapat menjawab cabaran, sedangkan mereka ahli bayan dan fashahah, dan cabaran yang datang pada mereka adalah sesuatu yang mereka paling unggul dan paling mampu untuk membuatnya—nescaya mereka tidak ragu membuatnya. Dan seandainya Al-Quran itu datang dari sebahagian mereka, nescaya sebahagian yang lain akan mampu pula untuk membuatnya kerana mereka semua adalah bangsa Arab. Meskipun demikian, bukti yang pasti menunjukkan secara mutlak atas ketidakmampuan mereka untuk membuat sesuatu yang menyerupai Al-Quran.
Tidak boleh dikatakan, mungkin saja orang Arab sebenarnya telah membuat sesuatu yang menyerupai Al-Quran, tetapi kaum muslim kerana fanatisme agamanya dan juga kerana mereka memiliki kekuatan dan kekuasaan setelah Islam memuliakan mereka dengan tegaknya Negara Islam, mereka telah merobek-robek atau merosakkan buatan bangsa Arab yang serupa dengan Al-Quran tersebut. Pernyataan seperti itu tidak boleh dibenarkan kerana beberapa hal berikut:
- Ini merupakan sebuah kemungkinan, sedangkan pembahasan pemikiran yang benar tidak boleh ditegakkan pada kemungkinan dan berbagai hipotesis, tetapi ditegakkan pada berbagai realiti yang terindera.
- Beberapa upaya untuk membuat Al-Quran secara nyata pernah dilakukan, dan pernah kita bahas sebahagian upaya tersebut, seperti upaya Musailamah al-Kadzab, ketika dia mengatakan sesuatu yang katanya menandingi surah Al- Adiyat, “Demi perempuan penumbuk bahan roti dengan tumbukan yang keras, demi pengadun roti dengan adunan yang lembut, demi tukang roti dengan rotinya, demi tukang bubur dengan buburnya dan demi pemakan-pemakannya dengan mengkagetkan dan menggemukkan… ”
Seterusnya dia berkata sebagai sesuatu yang menandingi surah al-Fiil,
“Gajah, tahukah kamu apakah gajah itu, gajah itu memiliiki ekor dan belalai yang panjang.”
Dia juga menyampaikan sesuatu yang katanya menandingi surah Al-Kautsar, “Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadamu pasir yang bertimbun (jamahir), maka dirikanlah solat kerana Tuhanmu dan jelaskanlah (jahir). Sesungguhnya orang-orang yang membenci kamu dialah yang kafir.”
Jika berbagai upaya ini dengan kebodohan dan kehambarannya telah sampai pada kita, maka upaya lain—seandainya ada—lebih pasti lagi untuk sampai pada kita. Ini bukanlah satu-satunya upaya yang pernah kita dengar, bahkan telah dinukil pada kita beberapa riwayat yang menceritakan upaya lainnya, tetapi dicegah (dibatalkan) oleh si pelakunya sehingga belum sempat diterbitkan lagi, tidak lain kerana mereka merasa malu untuk menerbitkannya, di antara mereka adalah Ibnu Muqaffa, Abul A’la al-Ma’ari, dan Mutanabbi. Ini menjadi bukti yang jelas bahawasanya sesuatu yang layak diingat belum pernah ditulis, seandainya terjadi, nescaya akan sampai pada kita. Oleh kerana itu, jelaslah bahawa bangsa Arab tidak berjaya membuat sesuatu yang menyerupai Al-Quran sehingga Al-Al-Quran bukanlah buatan bangsa Arab.
[Bersambung ke Bahagian 4/4]
Sumber artikel: Syeikh Ahmad Athiyat, Ath-Thariq (Jalan Baru Islam)