HAMBA MERDEKA
Oleh : Arief B. Iskandar
Rib’i bin Amir menunggang kudanya dengan pantas. Dia menuju ke perkhemahan Rustum. Panglima Pasukan Empayar Parsi ketika itu. Setibanya di sana, dia mendapati pegawainya berpakaian kerajaan. Majlis mereka dihiasi dengan permaidani dan sutera yang mahal. Rustum duduk di atas takhtanya. Dia memakai mahkota emas yang dihiasi dengan batu permata yang mahal. Sebaliknya, Rib’i bin Amir, Panglima Tentera Islam, hanya memakai pakaian yang kasar dan sederhana.
Rib’i bin Amir segera memasuki perkhemahan tersebut tanpa menghiraukan keadaan sekeliling. Dia terus menunggang kudanya dan membiarkan tapak kaki kuda itu mengotori hamparan permaidani yang mahal itu.
Rib’i bin Amir kemudian turun dari kudanya. Dia kemudian berjalan menghadap Rustum sambil membawa lembingnya. Serta-merta permaidani itu dikoyakkan dengan senjata itu. Ketika berada di hadapan Panglima Rustum, Rustum kemudiannya bertanya, “Apa yang mendorong kalian (umat Islam) datang ke negeri kami?”
Rib’i bin Amir yang berdiri tegak dengan penuh wibawa menjawab dengan tegas, “Kami datang untuk membebaskan manusia dari penghambaan (ibadah) kepada sesama manusia menuju penghambaan (ibadah) hanya kepada Allah SWT; dari kesempitan kepada keluasaannya; dan dari kezaliman agama kepada keadilan Islam.”
Rib’i bin Amir menjelaskan bahawa kedatangan pasukan Khilafah Islam ke negeri Persia bukanlah kerana ekonomi semata-mata atau politik untuk mengeksploitasi bangsa/negara yang dikuasai. Sebaliknya, kedatangan pasukan Khilafah Islam membawa misi mulia: membebaskan manusia dari segala bentuk penindasan; menyebarkan kebaikan, rahmat dan hidayah; menerangi jalan hidup; dan menghapuskan kezaliman yang membelenggu mereka. Inilah misi kemerdekaan Islam yang mulia, yang dilakukan Khilafah Islam dalam setiap pengembangannya.
Sebelum Rib’i bin Amir, utusan lain yang datang kepada Rustum ialah Mughirah bin Syu’bah. Seperti yang ditulis oleh Ibnu Katsir dalam Al-Bidâyah wa an-Nihâyah, Mughirah bin Syu’bah juga memberikan jawapan yang sama apabila ditanya oleh Rustum. “Dunia bukanlah tujuan kami. Cita-cita dan tujuan kami adalah akhirat. Allah SWT. telah mengutus kepada kami Rasul dan Dia sendiri berfirman, ‘Aku telah memberikan kekuasaan kepada umat ini (umat Islam) atas orang-orang yang tidak tunduk kepada agama-Ku.’”
Rustum bertanya lagi, “Agama apakah itu?”
Mughirah bin Syu’bah menjawab, “Tiang yang tegak di atas kesaksian bahawa tidak ada tuhan yang berhak disembah kecuali Allah dan Muhammad adalah pesuruh Allah, serta pengakuan terhadap segala yang datang daripada-Nya.” (Ibn Katsir, Al-Bidâyah wa an-Nihâyah, IV/43).
Dari petikan di atas, terdapat satu misi kemerdekaan Islam yang patut direnungkan. Tidak lain adalah penghambaan (ibadah) hanya kepada Allah SWT.. Kerana, Allah SWT. menciptakan manusia dan jin hanyalah untuk mengabdikan diri (beribadah) kepada-Nya (Lihat: QS adz-Dzariyat [51]: 56).
Ibadah yang ketundukan dan penyerahan secara total seorang hamba kepada Penciptanya, Allah SWT.. Imam Ja’far ash-Shadiq, sebagaimana dinukilkan dalam Kitab Fath ar-Rabbâni wa Faydh arh-Rahmâni karya Syeikh Abdul Qadir al-Jilani, pernah berkata, “Hakikat ibadah (penghambaan) seseorang terhadap tuannya ialah: dia menyedari bahawa apa yang ada pada dirinya hakikatnya bukanlah miliknya, tetapi milik tuannya; dia tunduk dan patuh tanpa membantah setiap perintah tuannya; dia tidak membuat sebarang aturan selain menerima aturan yang dibuat tuannya untuk dirinya.”
Dengan demikian, ibadah pada dasarnya adalah kepatuhan dan penyerahan total kepada Zat yang disembah, iaitu Allah SWT., dengan sentiasa mentaati segala syariat-Nya.
Dalam hal ini, Allah SWT. berfirman (yang bermaksud): Demi Tuhanmu, mereka tidak akan beriman sehingga mereka menjadikan kamu (Muhammad) sebagai hakim dalam apa sahaja yang mereka perselisihkan, kemudian mereka tidak mendapati dalam diri mereka sesuatu pun keberatan terhadap apa yang kamu putuskan, dan mereka menerima keputusanmu itu dengan sepenuh hati [TMQ an-Nisa’ (4): 65].
Terdapat beberapa riwayat yang berkaitan dengan sabab an-nuzûl (sebab turunnya) ayat ini. Salah satunya adalah riwayat dari Ummu Salamah. Dia menyebut bahawa Zubair bin Awwam pernah mengadu tentang seseorang kepada Rasulullah SAW. dalam sesuatu perkara. Beliau kemudiannya mengeluarkan keputusan dalam perkara tersebut yang memihak kepada Zubair. Orang itu membantah dan berkata, “Engkau memenanginya kerana dia adalah anak saudaramu.” Kemudian turunlah ayat ini (Dikeluarkan oleh Al-Hamidi dalam Musnad-nya dan Ibn Hibban dalam Al-Kabîr).
Dalam riwayat lain, dalam tafsirnya Al-Hafizh as-Suyuthi menuturkan riwayat dari Utbah bin Dhamrah dari bapanya, bahawa pernah ada dua orang yang berselisih, kedua-duanya mengadukan perkara mereka kepada Rasulullah SAW.. Kemudian baginda mengeluarkan keputusan undang-undang mengenai perkara tersebut yang memenangkan orang yang dianggap betul dan mengalahkan pihak lawan yang dianggap salah. Namun, orang yang dikalahkan itu berkata, “Aku tidak rela.” Orang yang memenangkan kes itu kemudian bertanya, “Kalau begitu apa yang engkau mahu?” Dia menjawab, “Kami akan pergi kepada Abu Bakar ash-Shiddiq (untuk meminta keputusannya, pen.).” Kemudian kedua-duanya bertemu dengan Abu Bakar ra. Beliau lalu berkata, “Kalian berdua hendaklah mematuhi keputusan Rasulullah SAW.. “Namun, pihak yang kalah menolak dan tetap tidak rela.
“Sekarang mari kita berjumpa dengan Umar bin al-Khatthab.” Lalu mereka berdua menemui Umar ra. Namun, Umar tidak memberikan keputusan. Sebaliknya, beliau masuk ke dalam rumahnya dan keluar semula dengan membawa pedang di tangannya. Segera beliau menetak pedang ke leher orang yang enggan menerima keputusan Rasulullah. Kemudian turunlah ayat di atas (As-Suyuthi, Ad-Durr al-Mantsûr fî Ta’wîl bi al-Ma’tsûr, III/161-162. Lihat pula: Ash-Shabuni, Shafwah at-Tafâsir, I/260-261).
Jelas, ketundukan secara total kepada hukum-hukum Allah SWT. merupakan bentuk penghambaan (ibadah) yang hakiki seorang hamba kepada-Nya. Apabila seorang hamba tunduk-patuh kepada Allah SWT., sesungguhnya dia adalah hamba yang merdeka. Hamba yang merdeka tidak lain adalah orang yang mengabdikan diri hanya kepada Allah SWT, Pencipta manusia. Benar-benar bebas dari perhambaan kepada sesama manusia.
Wa mâ tawfîqi illâ bilLâh.
#HambaMerdeka #MengabdiDiriHanyaKepadaAllah