MUFLIS
“Tahukah kalian siapa orang yang muflis itu?”
Oleh: H.M. Ismail Yusanto
Jika pertanyaan itu diajukan kepada kita, mungkin dengan cepat kita akan menjawab, orang yang muflis adalah orang yang tidak lagi mempunyai harta. Jika dia seorang ahli perniagaan, modalnya habis, yang ada hanyalah hutang pula. Begitulah juga lebih kurang jawapan para Sahabat tatkala Rasulullah saw. menanyakan tentang siapa orang yang muflis itu. “Orang yang muflis di tengah-tengah kita adalah orang yang tidak mempunyai dirham (wang perak) dan tidak mempunyai harta (laa dirhama wa laa mataa’).” (HR Muslim).
Namun, melalui hadis di atas, Rasulullah saw. memberikan kepada kita perspektif yang sama sekali berbeza mengenai siapa orang yang dikatakan muflis itu. Kata baginda saw, “Orang yang muflis dari umatku adalah yang datang pada Hari Kiamat nanti dengan membawa (amal) solat, puasa dan zakat. (Namun) dia telah mencerca (seseorang), menuduh orang (berzina), memakan harta orang, menumpahkan darah orang, dan memukul orang. (Orang) ini diberi (amal) kebaikannya dan yang ini diberi dari kebaikannya. Jika amal kebaikannya habis sebelum terbayar (semua) tanggungannya, dosa-dosa mereka (yang dizalimi) diambil lalu ditimpakan kepadanya, kemudian dia dilemparkan ke dalam neraka.” (HR Muslim).
Ringkasnya, orang yang muflis adalah orang yang menjaga habluminalLaah (hubungan dengan Allah), yakni ibadah solat, puasa dan zakatnya semua dilaksanakan dengan baik; tetapi habluminannaas (hubungan dengan manusia)-nya buruk, bahkan sangat buruk. Dia suka mencaci-maki orang lain, menuduh orang lain berzina, memakan harta orang lain tanpa haq, menyakiti bahkan menumpahkan darah atau membunuh orang lain.
Kita memang dituntut untuk memperbaiki hubungan dengan manusia sebagaimana baiknya hubungan kita dengan Allah. Begitu sebaliknya. Jika hubungan dengan Allah ditunjukkan melalui ibadah mahdah seperti solat, puasa dan zakat maka hubungan dengan manusia ditunjukkan dengan menjaga harta, jiwa dan kehormatan sesama manusia.
Dalam hadis sahih dikatakan, “Sungguh Allah telah mengharamkan atas sesama kalian darah kalian (untuk ditumpahkan) dan harta kalian (untuk dirampas) dan kehormatan (untuk dirosak); sebagaimana haramnya hari ini, haramnya bulan ini dan haramnya negeri ini.” (HR al-Bukhari).
Saat haji wada’, sebagaimana disebutkan dalam hadis riwayat Imam Ahmad, Rasulullah saw. menunjukkan ciri-ciri Mukmin sejati, yakni ketika orang orang lain merasa aman dari gangguan atas harta dan jiwanya; juga selamat dari gangguan lisan dan tangannya. Sebegitu penting menjaga hubungan dengan sesama manusia, Rasulullah saw. melalui hadis riwayat Imam Muslim berpesan untuk tidak saling mendengki, tidak saling tanaajusy (menyakiti dalam jual-beli), saling membenci, saling membelakangi (mendiamkan) dan menjual di atas jualan saudaranya. Tidak boleh menzalimi sesama manusia, apatah lagi sesama Muslim, kerana sesama Muslim adalah bersaudara. Tidak menelantarkan, mendustai dan menghina yang lain. Di hujung nasihatnya, Nabi saw. mengingatkan bahawa setiap Muslim atas Muslim lainnya itu haram darahnya, hartanya dan kehormatannya.
Bagaimana jika darah, harta dan kehormatan manusia dilanggar?
Hadis riwayat Imam Muslim tentang orang yang muflis di atas menjelaskan ganjarannya. Pertama: Pahala habluminalLaah dari ibadah solat, puasa dan zakatnya diambil. Kedua: Jika masih kurang, tidak cukup untuk menutupi kesalahan-kesalahannya itu, maka dosa orang yang dizalimi, yang dicaci-maki, yang dituduh berzina atau yang difitnah, yang diambil hartanya tanpa haq, yang disakiti dan dibunuh atau ditumpahkan darahnya, ditimpakan kepada dirinya. Alhasil, orang yang sudah muflis ini kemudian dimasukkan ke dalam neraka kerana tak ada lagi pahala yang tinggal. Sudahlah pahala ibadah habis, malah mendapat dosa-dosa dari orang-orang yang dia zalimi.
Tentang hukuman terhadap orang zalim juga dinyatakan oleh Allah dalam QS al-Kahfi ayat 29. Intinya, orang-orang zalim akan dimasukkan ke dalam neraka, yang gejolaknya mengepung mereka. Jika mereka meminta minum, nescaya mereka akan diberi minum dengan air seperti besi yang mendidih yang menghanguskan muka. Itulah minuman yang paling buruk dan tempat istirahat yang paling buruk.
Siapakah orang yang boleh berbuat zalim? Siapa saja. Terutamanya mereka yang memiliki kekuatan, kekuasaan dan kekayaan. Semakin besar atau tinggi kekuatan, kekuasaan, dan kekayaan yang mereka miliki, semakin besar kemungkinan mereka melakukan kezaliman. Kezaliman yang mereka lakukan itu pasti skalanya sangat besar. Kezalimannya itu mengenai banyak orang dan dengan tahap kezaliman yang luar biasa. Itulah yang dilakukan oleh orang seperti Firaun atau Namrud pada masa lalu; atau orang seperti Hitler, Polpot di Vietnam atau Jenghish Khan, penguasa Mongol, yang dalam sejarahnya dengan sangat sadis membunuh lebih dari 40 juta manusia.
Penguasa pada masa kini juga melakukan banyak kezaliman yang serupa. Lihatlah yang mereka lakukan di Gaza Palestin, Uighur, Rohingya, Afghanistan dan berbagai tempat lain. Sebelum itu, lihat juga apa yang mereka lakukan atas suku India di Amerika, atau suku Aborigin di Australia, yang mengakibatkan jutaan orang maut di sana.
Memang tidak ada manusia yang sempurna. Selagi kita bergelar manusia, siapa saja boleh melakukan kesalahan, baik dalam habluminnaas mahupun dalam habluminalLaah. Namun, sebagaimana disebut dalam hadis riwayat Imam Ibnu Majah, sebaik-baik orang, jika melakukan kesalahan, hendaklah mereka segera bertaubat.
Apakah syarat-syarat taubat?
Menurut para ulama, seperti tersebut dalam syarah hadis ‘Arba’iin, syarat taubat itu ada 4.
Pertama: Al-Iqlâ’u, berhenti dari perbuatan dosa dan maksiat yang pernah dilakukan.
Kedua: An-Nadamu, menyesali perbuatan dosanya itu.
Ketiga: Al-‘Azmu, bertekad untuk tidak mengulangi perbuatan dosa itu.
Keempat: Jika perbuatan dosanya itu ada hubungannya dengan orang lain, maka ditambah satu syarat lagi, iaitu harus ada pernyataan bebas dari orang yang dirugikan atau dizalimi. Jika yang dirugikan itu hartanya, maka hartanya itu harus dikembalikan. Jika berupa tuduhan jahat, maka dia wajib meminta maaf.
Terhadap orang yang dizalimi dituntut untuk memberi maaf kepada orang yang telah menzalimi dirinya. Dalam hadis riwayat Imam Ahmad, Nabi saw. menunjukkan akhlak yang paling mulia di dunia dan di akhirat kelak, iaitu menyambung tali silaturrahmi dengan orang yang memutuskannya, memberi kepada orang yang enggan memberi, dan memaafkan orang yang menzalimi.
Namun, tampaknya tidak mudah bagi rakyat yang dizalimi untuk memaafkan penguasa zalim. Mengapa? Kerana para penguasa itu, alih-alih menyesal, meminta maaf lalu berhenti dan tidak lagi mengulangi perbuatan zalim itu. Yang ada untuk menutupi dosa-dosanya itu, mereka justeru berbuat dosa-dosa berikutnya dengan aneka cara. Termasuk melakukan segala rekayasa untuk membuat kroninya boleh berkuasa melindungi dirinya. Juga, alih-alih mauh mengembalikan harta korupsinya, yang ada justeru harta itu ia gunakan untuk menutupi kesnya, merasuah pegawai negara, pendakwa raya, hakim dan lain-lain. Alhasil, makin bertompok-tompoklah dosanya itu sehingga makin buruklah kualiti habluminannaas-nya.
Tidak dapat kita bayangkan bagaimana hukuman yang bakal diterima oleh para penguasa zalim itu di akhirat kelak. Jika orang yang bagus dalam hubungannya dengan Allah, tetapi buruk dalam hubungan dengan sedikit manusia saja, boleh muflis, apalagi jika hubungan buruk itu terjadi dengan rakyatnya yang sangat banyak, tentu akan lebih muflis lagi. Na’udzubilLaah min dzaalik! []