Jalan Perjuangan Islam
Oleh : Dr. Muhammad K. Sadik
Isu perubahan sentiasa dijadikan alat propaganda utama oleh parti dan ahli politik. Sasarannya sudah tentu untuk meraih sokongan daripada masyarakat. Isu perubahan juga turut melanda negara Islam yang lain. Antara yang fenomenal adalah Arab Spring. Bagaimanapun, peristiwa ini akhirnya membawa kepada keputusan yang sama, iaitu pertukaran kakitangan rejim semata-mata. Keadaan sosial dan ekonomi rakyat kekal tidak berubah, malah boleh dikatakan ketika ini semakin teruk.
Pelbagai realiti ini menunjukkan bahawa isu perubahan selama ini hanya terhad kepada tagline semata. Tiada apa-apa yang berubah, kecuali perubahan atau penggantian kakitangan dalam setiap rejim. Oleh sebab itu, amat mendesak khususnya bagi umat Islam untuk memahami isu perubahan ini. Tentunya agar umat Islam tidak terus-menerus menjadi bahan propaganda perubahan semata-mata.
Jalan Sempit Demokrasi
Masyarakat pastinya mahukan terwujudnya kepimpinan dan kekuasaan yang baik. Sebab kepimpinan dan kekuasaan akan menentukan nasib masyarakat pada masa hadapan. Sudah tentu ini berkaitan dengan dua perkara sekali gus iaitu kualiti peribadi orang yang bakal menjadi pemimpin dan kualiti sistem yang akan dilaksanakan. Dalam hal ini, terdapat beberapa perkara yang perlu diberi perhatian.
Pertama: Secara fakta, kualiti sistem mempunyai pengaruh yang lebih signifikan terhadap kehidupan manusia. Sebabnya adalah kualiti sistem yang lemah akan memaksa pemimpin berkeperibadian baik menjadi buruk. Sudah tentu ini juga berlaku sebaliknya. Kualiti sistem itu sendiri sangat bergantung kepada kualiti ideologi yang dianuti. Atas sebab ini, ramai saintis dalam kajian buku mereka lebih suka membincangkan ideologi sesebuah negara daripada membincangkan keperibadian pemimpin negara tersebut.
Salah satunya adalah buku “The Oxford Handbook of Political Ideologies” yang diterbitkan pada tahun 2015. Buku itu disunting oleh ilmuwan politik Michael Freeden, Lyman Tower Sargent dan Marc Stears. Kajian utama adalah berkaitan dengan peranan ideologi politik sesebuah negara dalam mempengaruhi nasib rakyat dunia. Malah menurut buku ini, pelbagai konflik besar antara negara sebenarnya lebih berkaitan isu ideologi berbanding isu peribadi pemimpin negara.
Pada masa ini, ideologi yang dianut oleh banyak negara adalah kapitalisme. Sedangkan, tamadun Barat yang berteraskan ideologi kapitalisme kini diramalkan akan runtuh tidak lama lagi. Punca utama kegagalan kapitalisme adalah kerana ia bertentangan dengan fitrah manusia dan akal sihat. Ideologi ini memuja manusia sebagai pusat segala-galanya. Sistem kapitalis menimbulkan eksploitasi dan pengasingan manusia yang membawa kepada sikap individualistik.
Buku The Age of Surveillance Capitalism: The Fight for a Human Future at the New Frontier of Power yang ditulis oleh Shoshana Zuboff (2019) turut merekodkan kerosakan sistem kapitalisme. Buku ini mendedahkan pelbagai fakta tentang eksploitasi hak individu rakyat oleh syarikat kapitalis gergasi. Raja-raja dan usahawan bekerjasama untuk mengaut keuntungan ekonomi demi kepentingan sendiri, bukan untuk rakyat.
Kedua: Secara fakta demokrasi sejatinya merupakan jalan sempit menuju perubahan, khususnya perubahan menuju sistem Islam. Demokrasi hanya membuka jalan yang luas untuk sesebuah negara menjadi lebih sekular dan liberal. Perubahan melalui pilihanraya demokrasi hanya akan menghasilkan perubahan peribadi untuk melaksanakan sistem kapitalis sebagai ideologi negara.
Faktanya, rakyat yang berdaulat dalam sistem demokrasi hanyalah golongan elit politik yang didakwa sebagai wakil rakyat. Akibatnya, kemakmuran dan kesejahteraan hanya dirasai oleh segelintir golongan elit. Mereka adalah elit pemerintah, wakil rakyat, parti dan pemilik modal. Majoriti rakyat sebenarnya hidup dalam kemiskinan. Begitu juga dengan kesetaraan dan keadilan dalam undang-undang, yang sentiasa tajam ke bawah dan tumpul ke atas.
Malah politik demokrasi yang lahir daripada sistem kapitalis sebenarnya adalah alat penjajah baru (neo-imperialisme) untuk menguasai negara-negara umat Islam. Menariknya, apa yang didedahkan oleh William Blum (2013) dalam bukunya yang berjudul America’s Deadliest Export Democracy, Blum menyebut bahawa demokrasi merupakan alat dominasi Amerika Syarikat beserta sekutunya terhadap seluruh dunia, termasuk Dunia Islam.
Melalui demokrasi, pelbagai undang-undang dan peraturan di negara umat Islam tidak lagi terikat dengan peruntukan syariah. Ini adalah cara Barat mempengaruhi proses pembentukan undang-undang dan peraturan demi kepentingan neo-imperialisme mereka. Kerana itu, demokrasi bukanlah satu cara untuk menubuhkan sistem Islam, sebaliknya satu cara untuk mengekalkan kapitalisme.
Jalan Perubahan dalam Islam
Terdapat 5 (lima) kunci penting sebagai faktor penentu dalam mencapai perubahan hakiki ke arah penubuhan sistem Islam. Lima kunci tersebut adalah timbulnya kesedaran di kalangan rakyat terhadap hakikat yang buruk, kesedaran tentang realiti ideal yang ingin direalisasikan, kesedaran terhadap kaedah (thariiqah) perubahan yang sahih, kewujudan parti politik Islam yang berideologi yang teguh dalam memperjuangkan perubahan ini dan sokongan ahlu an-nushrah.
(1) Kesedaran pada realiti yang buruk.
Umat Islam yang mempunyai keghairahan untuk melakukan perubahan tentunya sedar akan realiti buruk yang sedang berlaku pada masa ini. Faktanya, keadaan negara-negara umat Islam masih merosot di bawah hegemoni negara penjajah. Baik penjajahan secara fizikal melalui kuasa tentera mahupun penjajahan ekonomi dan politik. Termasuklah penjajahan Yahudi Zion!s yang kejam terhadap umat Islam Palestin saat ini.
Penjajahan negara-negara Islam ini tidak dapat dipisahkan daripada kejatuhan Khilafah Uthmaniyyah pada tahun 1924. Selepas keruntuhan khilafah, dunia Islam yang sebelum ini tersebar dengan sangat meluas, menjadi terpecah dan dijajah. Kini negara Islam terbahagi kepada lebih 50 negara bangsa yang lemah dan tidak berdaya. Maka realiti buruk dalam dunia Islam hari ini adalah penjajahan berterusan sejak keruntuhan Khilafah Islamiyyah.
(2) Kesedaran tentang realiti ideal.
Kesedaran tentang realiti ideal yang ingin direalisasikan akan mendorong umat Islam untuk mencapainya. Bagi mencapai realiti yang ideal, perubahan yang dilakukan mestilah membawa kepada penghapusan akar kemelut yang menyebabkan realiti buruk itu berlaku. Itulah perubahan yang boleh menghapuskan hegemoni negara penjajah dan ideologi kapitalis mereka di negara umat Islam.
Kerana itu, masalah utama (al-qadhiyah al-maashiriyah) umat Islam hari ini adalah menegakkan semula Khilafah Islamiyyah untuk melaksanakan hukum syariah secara kaaffah. Tanpa Khilafah, umat Islam di seluruh dunia akan terus dijajah, ditindas, direndahkan dan dizalimi. Melalui Khilafah, umat Islam akan dapat menyatukan potensi mereka menjadi satu kekuatan yang kuat. Keadaan sebegini akan menghapuskan segala bentuk kezaliman dan penindasan di bawah hegemoni negara penjajah saat ini.
(3) Kesedaran pada thariqah yang sahih.
Perubahan yang dilakukan oleh umat Islam mestilah merujuk kepada kaedah (thariiqah) yang sahih, iaitu kaedah perubahan yang telah dicontohkan oleh Nabi Muhammad SAW.. Dalam arah perjuangan Nabi Muhammad SAW., terdapat dua perkara penting yang mesti dijadikan rujukan hala tuju perjuangan umat Islam semasa.
Pertama: Rasulullah SAW. membangunkan kader dakwah yang bersedia untuk menjadi tunjang perubahan. Kaedah yang digunakan oleh Nabi Muhammad SAW. untuk mengubah keadaan masyarakat yang rosak dan jahil adalah melalui dakwah. Aktiviti dakwah yang dijalankan oleh Baginda adalah aktiviti yang tersusun rapi. Sebagai contoh, Baginda bukan sahaja mengajak mereka untuk memeluk Islam dan mengajar mereka al-Quran, malahan juga mengumpulkan mereka dalam satu kumpulan atau parti (kutlah) yang diasuh dan dikawal olehnya.
Kedua: Sasaran perubahan yang dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW. adalah perubahan rejim dan sistem. Ini dapat dilihat dengan jelas dalam dakwah Nabi Muhammad SAW. yang bukan hanya mengajak orang kafir untuk memeluk Islam. Dakwahnya juga menjurus kepada mewujudkan masyarakat Islam iaitu dengan menggantikan sistem jahiliyah kepada sistem Islam. Terbukti selepas hijrah, Rasulullah SAW. dan para sahabat mendirikan masyarakat Islam dalam institusi politik Negara Islam di Madinah.
Melalui institusi Daulah Islamiyyah itulah Rasulullah SAW. sebagai ketua negara mampu menerapkan hukum-hukum Islam di tengah-tengah masyarakatnya. Seperti itulah semestinya umat Islam melakukan perubahan. Tidak lain tidak bukan adalah perubahan yang bertujuan untuk membina institusi politik Daulah Khilafah Islamiyyah. Melalui institusi Khilafah itulah akan terwujud kembali masyarakat Islam yang di dalamnya diterapkan hukum-hukum Islam (syariah) secara kaaffah.
(4) Adanya Parti Politik Islam.
Perjuangan menegakkan semula Khilafah pastinya penuh dengan rintangan dan cabaran. Sebabnya negara penjajah dan agennya akan cuba menghalang perjuangan ini. Kerana itu, memperjuangkan perubahan ini hendaklah dilaksanakan oleh umat Islam secara berjemaah dan tersusun. Inilah yang pernah dilakukan oleh Rasulullah SAW. bersama para sahabat. Kegiatan parti/kumpulan ini juga mestilah bersifat politik kerana memperjuangkan tertegaknya Khilafah adalah aktiviti politik.
Aktiviti politik tersebut di antaranya adalah menyerang pemikiran-pemikiran kufur yang ada di tengah-tengah masyarakat (shira’ al-fikr) dan menyingkap makar yang membahayakan umat (kasyf al-khuthath). Parti ini juga perlu melaksanakan al-kifaah as-siyaasi iaitu menjalankan perjuangan politik memerangi penjajah dalam bidang ekonomi, sosial, politik, ketenteraan, kebudayaan dan sebagainya.
(5) Meraih sokongan ahlu an-nushrah.
Selepas parti-parti politik dan kader-kadernya berjaya dan mendapat sokongan umum untuk menegakkan negara yang melaksanakan syariah Islam secara kaffah, legitimasi penguasa sedia ada menjadi rapuh. Pada masa itu sokongan daripada ahlu an-nusrah diperlukan untuk penyerahan kuasa (istilaam al-hukmi).
Rasulullah SAW. telah menjalankan aktiviti mendapatkan sokongan daripada ahlu An-Nusrah selama tiga tahun. Baginda pergi dari satu suku yang kuat ke satu suku yang lain, mengajak mereka untuk membantunya mendapatkan kuasa dan melaksanakan Islam. Secara keseluruhan Bgainda telah melawat lebih daripada 40 kabilah. Antaranya adalah kabilah Kindah, Hanifah, Bani ‘Amir bin Sha’sha’ah, Kalb, Bakar bin Wail, Hamdan dan lain-lain.
Rasulullah SAW. mengajak mereka untuk beriman dan memberikan nushrah kepada Baginda dalam meraih kekuasaan untuk tegaknya agama Allah. Pada masa ini, mereka yang menjadi sebahagian daripada Ahlu An-Nushrah adalah semua yang mempunyai kuasa termasuk tentera. Dengan sokongan Ahlu An-Nusrah, penyerahan kuasa akan berlaku secara aman. Itulah peristiwa yang dialami oleh Nabi Muhammad SAW. ketika mendirikan Negara Islam di Madinah.
Penutup
Berdasarkan penjelasan fakta di atas, dapat disimpulkan bahawa demokrasi adalah jalan perjuangan yang sempit bagi parti Islam dan umat Islam. Sebaliknya, jalan perjuangan Islam terbuka luas dan terdapat peluang besar untuk kemenangan Islam dengan mencontohi perjuangan Nabi Muhammad SAW.
Hala tuju perjuangan umat Islam masa kini mestilah menjurus kepada penghapusan hegemoni negara penjajah dan ideologi kapitalismenya di negara-negara umat Islam. Caranya adalah dengan menegakkan semula Khilafah Rasyidah untuk melaksanakan hukum syariah secara kaaffah. Hanya melalui ini umat Islam akan dapat melakukan perubahan yang nyata, iaitu melepaskan diri daripada perangkap fahaman kapitalisme yang menyengsarakan.
Tanpa Khilafah, terbukti sehingga kini keadaan umat Islam di seluruh dunia dijajah, ditindas, direndahkan dan dizalimi. Melalui Khilafah, umat Islam akan dapat bersatu dan mendapatkan kembali kemuliaan mereka. Khilafah sekaligus akan menghapuskan segala bentuk kezaliman dan penindasan yang berlaku di bawah hegemoni negara penjajah.
Pelbagai potensi sumber daya manusia dan sumber alam yang dimiliki oleh umat Islam, baik dari segi kuantiti mahupun kualiti, ditambah pula dengan kekuatan i’tiqadi akan memantapkan lagi perjuangan umat untuk segera menegakkan kembali negara Khilafah Rasyidah. Inilah negara yang akan memerintah dunia berlandaskan syariat rahmah.
Kerana itu, perjuangan menegakkan syariah secara kaaffah di bawah naungan Khilafah Rasyidah juga perlu dibaca sebagai perjuangan membawa perubahan demi mencapai kesejahteraan yang hakiki bagi masyarakat dunia, serta menamatkan pelbagai kesengsaraan yang ditimbulkan oleh pemerintah kapitalis global.
WalLaahu ta’ala a’lam bi ash-shawaab.
*Diolah dan diterjemah dari artikel asal