[Pemikiran Politik Islam] Komuniti Antarabangsa: Norma dan Undang-undangnya (Bahagian 5/5)
Penulis: Syeikh Abdul Qadim Zallum
Mengakui keberadaan negara global bererti pecahnya perang dan pertumpahan darah. Oleh sebab itu, tidak boleh ada kekuasaan atau negara global. Ertinya, tidak akan ada undang-undang antarabangsa, walaupun hanya dalam teori. Akibatnya, pelaksanaan undang-undang antarabangsa pun tidak mungkin terjadi.
Pemaksaan undang-undang yang dilakukan oleh kekuasaan global merupakan suatu hal yang mustahil kerana negara global tersebut tidak ada. Apabila “penegakan undang-undang” dilakukan oleh dua atau lebih negara utama, hal tersebut dianggap pencerobohan, bukan penegakan undang-undang.
Ini kerana apabila salah satu negara utama tersebut tidak mematuhi undang-undang, maka negara yang lain tidak dapat memaksakan undang-undang kepadanya. Sesungguhnya hal ini akan menyebabkan peperangan. Demikian juga, manakala jika kedua negara dan seluruh negara tidak mematuhi undang-undang tersebut, siapa yang akan menegakkan undang-undang tersebut? Tidak ada.
Oleh kerana itu, ketika suatu negara yang kuat memaksakan “undang-undang antarabangsa” kepada negara yang lebih kecil atau lebih lemah, hal ini merupakan pencerobohan, bukan pelaksanaan undang-undang antarabangsa. Jadi, jelas bahawa pelaksanaan undang-undang antarabangsa kepada seluruh negara di dunia merupakan suatu hal yang keliru. Penegakan undang-undang tersebut tidak lain merupakan salah satu bentuk pencerobohan.
Berdasarkan pembahasan di atas, tidak mungkin ada undang-undang antarabangsa. Yang ada hanyalah kesepakatan antara negara dan sejumlah norma yang mereka patuhi berkaitan dengan kesepakatan tersebut, seperti kesepakatan damai atau perang antara negara dan kelompok masyarakat.
Jikalau kita mendirikan suatu organisasi antarabangsa, sepatutnya organisasi tersebut hanya memiliki peraturan administrasi. Fungsi organisasi tersebut adalah mengawasi norma-norma antarabangsa dan pelanggaran atas norma-norma tersebut.
Norma tersebut termasuk norma yang berkaitan dengan kesepakatan-kesepakatan antarabangsa sejauh mengenai penandatanganan pelaksanaan, penghapusan kesepakatan, dan sebagainya.Norma-norma antarabangsa itu ditegakkan berdasarkan kewajipan moral dan tekanan opini umum saja, bukan dengan kekuatan ekonomi mahupun militer.
Negara-negara anggota tidak akan mengakui suatu peraturan sebagai norma antarabangsa, sebelum diperiksa dan diuji. Oleh sebab itu, tidak ada alasan untuk memaksakan pelaksanaan norma-norma itu, sebelum para negara anggota yakin sepenuhnya bahawa norma tersebut layak dipatuhi.
Lebih lebih lagi, opini umum antarabangsa terhadap negara yang melanggar norma berkekuatan lebih besar daripada kekuatan fizikal eksternal dalam menegakkan norma-norma itu. Komuniti manusia akan merasa berada dalam pengawasan awam. Dengan demikian, pelaksanaan keputusan-keputusan kelompok perlu diserahkan kepada opini umum dan atas kewajipan moral semata. Inilah metode bagi penerapan resolusi dan keputusan komuniti.
Sumber: Syeikh Abdul Qodim Zallum, Pemikiran Politik Islam, Upaya Membumikan Politik Sebagai Mainstream Gerakan.