[Pemikiran Politik Islam] Pola Fikir Politik (Bahagian 1/3)
Penulis: Syeikh Abdul Qadim Zallum
Pola fikir politik (tafkir siyasiy/political thinking) sangat berbeza dengan pola fikir ketika menggali hukum (tafkir tasyri’iy/ legislative thinking) atau pola fikir legislatif, walaupun keduanya merupakan jenis pola fikir yang sama. Pola fikir legislatif bertujuan untuk memecahkan permasalahan manusia, sedangkan pola fikir politik bertujuan untuk mengurusi kepentingan manusia. Walaupun mirip, ada perbezaan di antara keduanya.
Pola fikir politik sangat berbeza dengan pola fikir sastera. Ini kerana pola fikir sastera berhubungan dengan ilmu bahasa dan kepuasan yang diperoleh dari penggunaan kata-kata dan frasa. Kepuasan diperoleh apabila suatu makna dapat dinyatakan dalam bentuk kata-kata yang dirangkai dengan indah.
Ada persamaan yang cukup terperinci antara pola fikir politik dengan pola fikir ilmiah. Pola fikir politik dilatih dan diasah dengan berbagai pengetahuan politik dan teks-teks hasil pengkajian. Begitu juga dengan pola fikir ilmiah. Pola fikir ilmiah memerlukan informasi pendahuluan, yang walaupun tidak harus berasal dari bidang yang sama, tetapi perlu mempunyai kaitan dengan bidang yang sedang dipelajari.
Sementara itu, pola fikir politik memerlukan bukan sekadar informasi pendahuluan dari tahap pola berfikir yang sama, tetapi juga informasi tentang topik yang sama. Informasi mengenai hal-hal yang sekadar berkaitan atau mempunyai persamaan dengan aktiviti politik tertentu, tidak akan cukup bermanfaat untuk melatih kemampuan pola fikir politik. Namun demikian, pola fikir mengenai teks-teks politik sangat mirip dengan pola fikir mengenai teks-teks ilmiah. Pola fikir politik berkaitan dengan berbagai khabar berita dan rangkaian kejadian, serta membahas kaitan antara kejadian.
Karakter ini membezakan pola fikir politik dari pola fikir lainnya. Pola fikir politik tidak mengikuti peraturan tertentu, bahkan sesungguhnya tidak ada prinsip-prinsip ilmiah yang mengaturnya. Inilah sebabnya mengapa pola fikir politik merupakan jenis pola fikir yang paling tinggi dan rumit.
Pola fikir politik merupakan jenis pola fikir yang paling tinggi kerana membahas mengenai segala sesuatu, setiap kejadian, dan segala jenis pemikiran. Landasan berfikir (qa’idah fikriyyah) yang menjadi dasar suatu pemikiran dan sumber berbagai solusi merupakan bentuk pola fikir yang paling tinggi. Landasan berfikir itu sendiri adalah fikiran dan pemikiran politik.
Apabila landasan berfikir suatu pemikiran dan sumber berbagai solusi bukan berupa suatu pola fikir dan pemikiran politik, maka landasan itu merupakan landasan yang keliru. Jadi, apabila kita menganggap pemikiran politik sebagai bentuk pola fikir yang paling tinggi, pemikiran politik tersebut layak menjadi suatu landasan berfikir.
Pola fikir politik merupakan pola fikir yang paling rumit kerana tidak adanya pedoman atau peraturan tertentu yang mengaturnya, sekaligus sebagai kerangka serta parameter untuk mengukurnya. Inilah yang menyebabkan kebingungan para pemikir politik sehingga mereka sering melakukan kesalahan, keliru menangkap kesan, dan melakukan berbagai kekeliruan lainnya.
Jika seseorang belum mempunyai pengalaman berpolitik yang memadai, kurang waspada, serta tidak mengikuti setiap kejadian dari hari ke hari, akan sukar baginya menjadi seorang pemikir politik yang berstandard. Oleh sebab itu, pola fikir politik berkaitan erat dengan khabar berita dan berbagai peristiwa. Itulah yang membezakan pola fikir politik dengan segala bentuk pola fikir lainnya, sekaligus bersilangan dengan semua bentuk pola fikir.
Berfikir mengenai teks-teks politik (termasuk berfikir tentang teks-teks pengetahuan dan kajian politik) merupakan aktiviti berfikir politik. Namun, pola fikir politik yang benar sesungguhnya berhubungan dengan berbagai rangkaian berita dan kejadian. Oleh sebab itu, cara atau metode suatu berita disajikan merupakan salah satu bentuk teks politik.
Apabila seseorang berniat melatih kemampuannya dalam pola fikir politik, dia hendaklah memusatkan perhatiannya kepada cara-cara penyajian berita, serta memahami sepenuhnya mengenai teks berita tersebut. Itulah yang dimaksudkan dengan pola fikir politik, yakni bukan sekadar berfikir tentang pengetahuan dan penyelidikan politik.
Mempelajari berbagai pengetahuan dan penyelidikan politik memang memberikan informasi, khususnya mengenai suatu kajian ilmiah yang memberikan pemahaman mendalam. Namun, hal ini tidak membuatkan seorang pemikir menjadi seorang ahli politik. Kajian ilmu politik hanya akan memberikan pengetahuan yang dapat menjadikan seseorang sebagai pengajar atau pemerhati politik yang baik, tetapi bukan sebagai ahli politik.
Ahli politik adalah seseorang yang memahami berbagai khabar berita dan kejadian beserta makna-maknanya. Dengan pemahaman tersebut, dia akan mendapatkan pengetahuan. Kemudian pengetahuan tersebut menjadi landasan bagi setiap aktivitinya. Pengetahuan politik dan penyelidikan politik memang dapat membantu seseorang memahami rangkaian khabar berita dan peristiwa. Namun, itu hanya sebatas membantunya menyaring dan memilih informasi.
Apabila tiba saatnya untuk menghubungkan satu realiti dengan realiti yang lain, maka pengetahuan tentang politik dan penyelidikan politik bukan merupakan prasyarat bagi pola fikir politik. Sejak munculnya pemikiran pemisahan agama dari urusan kenegaraan dan konsep kompromi mendominasi negara-negara sekular, Barat (iaitu negara-negara Eropah dan Amerika) memonopoli produksi literatur (kesusasteraan) dan buku-buku ilmu politik.
Literatur Barat disusun berdasarkan pandangan hidup sekularistik, konsep penyelesaian bersifat kompromi, dan formaliti yang menganjurkan penyelesaian kompromi (bersifat penyesuaian) sebagai cara untuk mewujudkan perdamaian dan mencegah konflik. Kemunculan ideologi komunis dan penerapan ideologi komunis di Rusia telah menimbulkan harapan untuk kemunculan pengetahuan politik berdasarkan pemikiran yang kuat di luar konsep kompromi.
Namun sayangnya, Rusia memilih mengikuti gagasan Barat. Hasilnya, pengetahuan dan kajian politik tetap dalam satu jalur yang sama, tetapi dengan sejumlah perbezaan hanya pada masalah-masalah permukaan. Oleh sebab itu, dapat dikatakan bahawa kajian politik yang ada saat ini validasinya (kesahannya) boleh dipersoalakan.
Ilmu politik mirip dengan ilmu psikologi yang menggunakan dasar berupa ramalan dan kebarangkalian, lebih-lebih lagi bila gagasan yang dianut menggunakan konsep kompromi. Jadi, ketika seseorang menganalisis ilmu pengetahuan ini, dia perlu senantiasa berwaspada dan berhati-hati agar tidak terjebak menggunakan pemikiran-pemikiran yang keliru.
Hal ini disebabkan ilmu politik mereka memuatkan pemikiran-pemikiran yang bertentangan dengan realiti dan mengandungi kekeliruan. Akan lebih baik apabila kita menganggap pengetahuan ini sebagai teks perundangan Barat yang tidak sepatutnya dibaca kerana sekadar berisi aspek-aspek perundangan dan bukan sebagai rujukan politik mengenai sistem pemerintahan.
Kerana bersifat ilmiah dan mengandung aspek-aspek politik, maka membaca dan mempelajari ilmu pengetahuan ini tidaklah membahayakan. Akan tetapi kita dituntut untuk selalu waspada dan hati-hati. Sebagai contoh, pembahasan dalam ilmu politik Barat adalah konsep mengenai kepemimpinan.
Menurut ilmu politik Barat, kepemimpinan bersifat kolektif yang diwakili oleh para menteri. Bangsa-bangsa Timur mengadopsi konsep ini, walaupun diwujudkan dalam bentuk yang berbeza. Konsep ini disebut kepemimpinan kolektif. Hal ini bertentangan dengan realiti dan dibangun mengikuti konsep kompromi.
Pada mulanya, pemerintahan zalim raja-raja di Eropah menyebabkan rasa tidak puas hati di kalangan rakyat. Akibatnya, rakyat mengaitkan kuasa zalim ini dengan kuasa individu, iaitu kuasa di tangan satu orang. Ini selaras dengan konsep mereka bahawa kuasa adalah milik rakyat, bukan hanya kepada satu orang. Oleh itu, mereka membentuk kabinet yang terdiri daripada menteri.
Ini adalah bentuk penyelesaian kompromi. Sebenarnya, kabinet bukanlah penjelmaan dari rakyat dan tidak dipilih secara langsung oleh rakyat. Adanya perdana menteri yang memimpin para menteri menunjukkan bahawa kepemimpinan bukan di tangan rakyat, tetapi diserahkan kepada perdana menteri atau para menteri. Oleh sebab itu, sistem ini merupakan bentuk penyelesaian kompromi antara kepemimpinan rakyat dengan kepemimpinan individu.
Adalah jelas bahawa sistem ini tidak menyelesaikan masalah kepimpinan, tetapi semata-mata penyelesaian yang memuaskan hati kedua-dua rakyat dan pemerintah individu. Tambahan pula, sejarah mendedahkan bahawa kepimpinan terus berjalan secara individualistik di negara-negara demokrasi, iaitu, di tangan presiden bagi negara-negara republikan atau di tangan perdana menteri bagi negara-negara berparlimen.
Jadi, realiti menunjukkan bahawa kepimpinan sentiasa bersifat individual, sama sekali mustahil untuk menjadikan kepimpinan bersifat kolektif. Walaupun ia dibentuk secara kolektif, cara mentadbir kerajaan akan menjadikan kepimpinan bersifat (tidak dapat dielakkan) individualistik.
Menurut konsep Barat, kedaulatan ada di tangan rakyat. Oleh sebab itu, rakyatlah yang menyusun undang-undang dan menjalankan pemerintahan. Rakyatlah yang memiliki kehendak, keputusan, dan kedaulatan untuk menentukan undang-undang, serta memerintah. Jadi, rakyat berbagi kekuasaan untuk menyusun undang-undang dan memerintah kerana menurut mereka kedaulatan ada di tangan rakyat.
Menurut konsep Barat, kuasa untuk merangka undang-undang diserahkan kepada majlis perwakilan. Walau bagaimanapun, secara realitinya, majlis itu juga tidak melakukan legislasi undang-undang. Ini kerana pihak yang sebenarnya membuat undang-undang adalah pemerintah (eksekutif).
Selanjutnya, mereka memilih perdana menteri atau presiden yang akan menjalankan pemerintahan. Walaupun perdana menteri atau presiden dipilih secara langsung oleh rakyat, tetapi bukan bermakna rakyat benar-benar berkuasa. Rakyat sekadar memilih penguasa sehingga kompromi antara rakyat dan individu yang berkuasa telah diwujudkan.
Tambahan pula, mereka menyatakan bahawa kuasa tertinggi adalah undang-undang dan kuasa yang baik adalah kuasa yang menjamin pelaksanaan kedaulatan undang-undang. Oleh itu, sistem ini adalah penyelesaian secara kompromi dan mengandungi tuntutan-tuntutan yang bercanggah. Lebih-lebih lagi, realiti perjalanan kerajaan tidak seperti itu.
Satu-satunya sistem pemerintahan yang benar ialah sistem yang meletakkan kedaulatan di tangan undang-undang dan rakyat memilih pemimpin mereka. Kedaulatan tidak boleh diserahkan kepada rakyat atau kepada raja-raja. Bagi masyarakat Barat, pemerintahan adalah satu perkara yang tidak boleh digabungkan dengan hal ehwal agama dan perkara sentimental.
Pada pandangan mereka, kuasa gereja berbeza dengan kuasa negara. Aktiviti sentimental, seperti tindakan sosial, pemeliharaan orang miskin, penjagaan orang sakit, dan sebagainya bukanlah tanggungjawab negara. Ini selaras dengan konsep sekularisme yang memisahkan agama daripada hal ehwal negara.
Pemikiran ini timbul pada masa ketika raja-raja zalim menguasai gereja. Pada masa itu, raja-raja tidak mempertahankan orang yang lemah, kurang upaya, miskin, dan tertindas menyebabkan rakyat memberontak. Akibatnya, sebagai satu bentuk penyelesaian kompromi, mereka memisahkan kuasa gereja daripada hal ehwal negara dan memisahkan tindakan kemanusiaan yang bersifat sentimental daripada tanggungjawab negara.
Oleh itu, kekuasaan negara adalah berasingan sepenuhnya daripada tanggungjawab gereja. Kemudian muncullah institusi-institusi sosial, Palang Merah, dan institusi lain. Walau bagaimanapun, realiti pemerintahan adalah untuk menjaga kepentingan rakyat, termasuk hal ehwal agama dan hal ehwal kemanusiaan yang bersifat sentimental.
Itulah sebabnya pemerintah secara langsung atau tidak langsung menyelia gereja dan institusi sosial sebagai sebahagian daripada tugas mereka. Oleh itu, teori pemerintahan tersebut bertentangan dengan realiti yang berlaku kerana secara rasmi tugas kerajaan dipisahkan daripada aspek-aspek ini.
Ketiga-tiga hal di atas, yakni masalah kepemimpinan, kedaulatan, dan pemisahan tugas negara dari urusan-urusan keagamaan merupakan contoh kekeliruan pemikiran politik yang terdapat dalam politik Barat. Kekeliruan ini tidak hanya terdapat dalam pemikiran-pemikiran politik yang berhubungan dengan sistem pemerintahan, tetapi juga dalam kajian politik yang berkaitan dengan berbagai persoalan dan realiti yang terjadi.
Walaupun sebahagian pemikiran dan kajian tersebut mengandungi kebenaran, tetapi juga berisi sejumlah percanggahan dan kesalahan. Sebagai contoh, kebijakan politik luar negeri Britain dapat dikelompokkan berdasarkan tiga perkara, iaitu hubungan Britain dan Amerika, hubungan Britain dan masyarakat Eropah, serta hubungan Britain dan negara-negara bekas jajahannya, iaitu negara-negara Komanwel.
Deskripsi kebijakan ini tidak salah kerana sekadar merupakan deskripsi suatu realiti yang tidak mungkin terjadi kekeliruan. Namun, ketika kajian politik membahas kebijakan politik Britain yang berkaitan dengan aktivitinya dalam berbagai perjanjian, kedudukannya terhadap sekutu dan musuhnya, serta cara pandang mereka terhadap bangsa dan negara lain, ditemukan bukan sekadar sejumlah kesalahan, tetapi juga berbagai percanggahan dengan kenyataan sebenar.
Kesalahan sering terjadi pada saat mereka menggambarkan kedudukan suatu negara, baik negara Barat atau bukan, secara historis mahupun kontemporer, mahupun ketika mereka membahas kejadian-kejadian yang sedang dan akan terjadi. Mereka sangat mahir dan memiliki standard dalam mengelirukan pemahaman orang ramai, mereka-reka peristiwa, dan memalsukan fakta.
Oleh kerana itu, dalam mempelajari ilmu dan kajian politik diperlukan kewaspadaan yang tinggi dan kehati-hatian.
Sumber: Syeikh Abdul Qadim Zallum, Pemikiran Politik Islam, Upaya Membumikan Politik Sebagai Mainstream Gerakan.