[Pemikiran Politik Islam] Pola Fikir Politik (Bahagian 2/3)
Penulis: Syeikh Abdul Qadim Zallum
Pola fikir politik mengenai rangkaian realiti dan peristiwa yang sedang terjadi merupakan pola fikir politik dalam erti kata sesungguhnya. Ini kerana pola fikir inilah yang akan menjadikan seorang pemikir sebagai ahli politik sejati. Agar pola fikir ini dapat dipraktikkan, paling tidak diperlukan lima syarat utama.
Pertama, usaha yang sungguh-sungguh dalam mengikuti semua kejadian dan peristiwa yang terjadi di dunia. Berbagai peristiwa berbeza-beza dalam hal urgensinya dan dapat terjadi secara kebetulan mahupun terencana. Begitu pula penyampaian berita dan bentuk penyampaiannya dapat disajikan secara ringkas mahupun diperluas. Dengan latihan yang rutin, seseorang tidak perlu lagi mengikuti semua berita dan kejadian, tetapi cukup yang perlu diketahuinya saja.
Kedua, informasi (baik primer mahupun sekunder yang terhad) mengenai intisari dari berbagai realiti dan peristiwa, iaitu makna berita dari sudut pandang geografi, sejarah, ilmiah, politik, dan sebagainya. Dengan kata lain, informasi yang memungkinkan seseorang memahami hakikat realiti atau makna sesungguhnya dari suatu peristiwa.
Ketiga, realiti-realiti tidak boleh dipisahkan dari situasi yang mengelilinginya, tetapi juga tidak boleh digeneralisasikan. Kemutlakan, generalisasi, dan analogi merupakan penghalang untuk memahami berbagai realiti dan peristiwa. Setiap peristiwa perlu dipelajari bersama dengan situasinya.
Masing-masing peristiwa tidak boleh dianggap sama atau mirip, baik dengan cara generalisasi mahupun analogi. Suatu peristiwa mesti dipelajari secara terpisah dan penilaian yang diberikan hanya untuk peristiwa tersebut.
Keempat, menyaring berbagai realiti dan peristiwa dengan menelitinya secara saksama. Oleh sebab itu, pengetahuan tentang sumber berita, tempat dan waktu kejadian, situasi, serta alasan terjadinya peristiwa tersebut merupakan suatu kemestian. Selain itu, perlu diingat kembali apakah berita tersebut disajikan secara ringkas atau terperinci, serta benar atau salah.
Itulah yang dimaksud dengan meneliti secara saksama setiap realiti, peristiwa, dan khabar berita. Hasil penelitian tersebut adalah berupa penyaringan antara kebenaran dan kesalahan suatu peristiwa. Makin lengkap dan makin dalam penelitian, makin baik penyaringan yang dihasilkan.
Tanpa saringan, suatu peristiwa tidak boleh diterima kerana boleh menimbulkan kesesatan dan kesalahan. Oleh sebab itu, saringan merupakan faktor penting dalam menerima suatu berita, bahkan walau untuk sekadar mendengarkannya.
Kelima, menghubungkan suatu realiti dan peristiwa dengan informasi atau peristiwa lainnya. Kaitan antara peristiwa akan membawa kita pada penilaian yang lebih mendekati kebenaran atas suatu peristiwa. Apabila suatu peristiwa dihubungkan dengan peristiwa lain yang tidak sesuai, kesalahan pasti terjadi.
Sebagai contoh, apabila suatu peristiwa politik lokal dikaitkan dengan politik antarabangsa atau sebaliknya. Begitu pula apabila suatu peristiwa yang berkaitan dengan masalah ekonomi dihubungkan dengan masalah ekonomi lainnya. Akan tetapi sebenarnya masalah tersebut merupakan peristiwa politik atau apabila peristiwa yang berkaitan dengan negara Jerman dihubungkan dengan politik Jerman.
Walaupun sesungguhnya peristiwa tersebut berkaitan dengan kepentingan dan kebijakan politik Amerika Syarikat, maka kesalahan akan terjadi. Jika suatu berita dihubungkan dengan peristiwa atau berita yang tidak berkaitan dengan berita tersebut, akan terjadi kekeliruan, kesesatan, dan kebohongan.
Oleh kerana itu, hubungan antara peristiwa, khabar berita, dan kejadian merupakan sesuatu yang sangat penting. Hubungan tersebut juga perlu dilakukan dengan cara yang benar. Dengan kata lain, usaha menghubungkan berbagai peristiwa perlu dilakukan demi kepentingan pemahaman yang akan digunakan sebagai landasan untuk melakukan suatu aktiviti, bukan untuk informasi belaka.
Kelima-lima hal di atas merupakan syarat terciptanya pola fikir politik. Kelima-lima persyaratan tersebut tidak sukar dipenuhi kerana hanya merupakan pengetahuan yang bersifat umum, bukan pengetahuan yang teramat terperinci. Kelima-lima persyaratan ini akan diperoleh secara bertahap sesuai waktunya, mengikuti perjalanan beberapa siri peristiwa, dan tidak diperolehi melalui kajian saintifik dan penyelidikan ilmiah.
Kajian dan penyelidikan ilmiah memang boleh meningkatkan kemampuan seseorang, tetapi bukan merupakan persyaratan bagi terbentuknya pola fikir politik atau bagi seorang ahli politik. Kajian dan penyelidikan ilmiah hanya merupakan persyaratan sekunder dan pelengkap saja.
Yang terpenting dari kelima syarat tersebut adalah usaha yang sungguh-sungguh dalam mengikuti rangkaian peristiwa. Apabila persyaratan tersebut dilakukan dengan baik, keempat-empat persyaratan lainnya akan diperoleh dengan sendirinya.
Jadi, prinsip dasar pola fikir politik adalah usaha yang sungguh-sungguh dalam mengikuti rangkaian peristiwa, kejadian, dan khabar berita. Sebaik usaha itu dilakukan, maka pola fikir politik akan terbentuk dengan sendirinya.
Walaupun pola fikir politik merupakan pola fikir yang sukar dan tinggi, tetapi kemampuan itu boleh dimiliki oleh setiap orang tanpa memandang tahap pengetahuan dan pola fikirnya. Baik seseorang dengan kemampuan sederhana, pandai, ataupun seorang genius, dia boleh memiliki kemampuan pola fikir politik dan menjadi ahli politik.
Ini kerana pada kenyataannya pola fikir politik tidak memerlukan tahap kecerdasan atau jenis pengetahuan tertentu. Pola fikir politik hanya menuntut kesungguhan dalam mengikuti rangkaian peristiwa dan khabar berita. Usaha mengikuti rangkaian peristiwa dan berita tersebut perlu dilakukan secara terus-menerus dan tidak terputus-putus.
Sesungguhnya rangkaian peristiwa dan berita bagaikan jalinan mata rantai. Apabila satu mata rantai terputus dan hilang, kaitan antara peristiwa dan berita tersebut juga hilang. Sebagai akibatnya, kepingan-kepingan peristiwa dan berita tersebut tidak dapat disusun dan difahami. Oleh sebab itu, memelihara keterkaitan antara peristiwa dan berita merupakan hal yang perlu dilakukan dalam pola fikir politik.
Dengan kata lain, kesinambungan dalam mengikuti rangkaian peristiwa dan berita merupakan syarat fundamental bagi pola fikir politik. Pola fikir politik tidak terhad hanya bagi individu-individu tertentu. Pola fikir politik dapat pula dimiliki secara kolektif, baik oleh suatu umat atau bangsa.
Pola fikir politik tidak seperti pola fikir kesusasteraan atau pola fikir legislatif yang boleh jadi hanya dimiliki oleh individu-individu tertentu sehingga bersifat individualistik. Di pihak lain, pola fikir politik boleh bersifat individualistik kerana dapat dimiliki oleh setiap individu, misalnya ahli politik atau penguasa. Namun, pola fikir politik juga dapat bersifat kolektif, yakni dapat dimiliki oleh kelompok-kelompok masyarakat atau bangsa-bangsa.
Bahkan sesungguhnya, pola fikir politik tidak cukup hanya dimiliki secara individual, tetapi perlu hadir di tengah-tengah umat dan bangsa. Tanpa kehadiran pola fikir politik di tengah-tengah umat, pemerintahan yang baik dan kebangkitan masyarakat tidak dapat diwujudkan.
Demikian pula, tanpa adanya pola fikir politik di tengah-tengah umat atau suatu bangsa, maka umat atau bangsa tersebut tidak akan dapat menyampaikan pesan-pesan dan misinya ke seluruh umat manusia.
Dengan demikian, kehadiran pola fikir politik di tengah umat merupakan hal yang sangat vital (penting) kerana kekuasaan adalah milik umat. Tidak seorang pun mendapatkan kekuasaan, kecuali apabila umat memberikannya. Apabila seseorang merampas hak tersebut secara paksa, kekuasaannya hanya sementara saja. Cepat atau lambat, umat akan memutuskan untuk memberikan kekuasaan kepadanya atau merebut kembali hak tersebut darinya yang berakibat terjadinya pergantian kekuasaan.
Kekuasaan adalah milik umat, maka umat perlu berkemampuan pola fikir politik. Bahkan umat lebih memerlukan kemampuan pola fikir politik daripada sang penguasa. Dengan demikian, sangat penting untuk membina umat dengan tsaqafah politik agar mereka berkemampuan pola fikir politik.
Dengan kata lain, sangat penting untuk membekalkan umat dengan berbagai informasi dan berita politik. Akses untuk mendapatkan dan memahami informasi perlu dipermudah. Namun, ini mestilah dilakukan secara wajar, bukan dengan jalan rekayasa dan dibuat-buat. Umat perlu dibiasakan untuk mendapatkan tsaqafah politik yang benar, serta informasi dan berita yang jujur sehingga mereka tidak terjebak dalam kekeliruan.
Dengan demikian, politik dan pola fikir politiklah yang menjadikan umat ini hidup. Sebaliknya tanpa politik, umat bagaikan sesosok tubuh tanpa nyawa yang tidak mampu bergerak, tumbuh, dan berkembang.
Kesalahan dan kekeliruan dalam memahami politik hanya akan terjadi manakala seseorang memahami teks-teks politik dengan cara sebagaimana halnya memahami teks-teks sastera, ilmiah, dan hukum (tasyriy). Jadi, ia sekadar memahami kata-kata dan frasa sebagaimana adanya.
Dengan kata lain, dia memahami makna suatu kejadian, berita, atau peristiwa politik hanya berdasarkan kata-kata dan frasa yang tersurat atau dia memahaminya dari makna kata-kata dan frasa yang digunakan. Akibatnya, kesalahan dan kekeliruan seringkali terjadi kerana memahami politik sangat berbeza dibandingkan dengan memahami teks-teks lainnya.
Kesalahan yang terjadi dalam pola fikir politik hampir selalu terjadi akibat ketidak-mampuan membezakan teks-teks politik dengan teks-teks lainnya. Dalam teks-teks politik, makna dapat tersirat dari dalam mahupun dari luar teks atau dari susunan kata-kata. Sebagaimana terdapat dalam dokumen perjanjian dan dokumen-dokumen rasmi lainnya.
Makna teks politik dapat pula terkandung di luar susunan kata-kata atau tersembunyi disebalik makna yang tersurat. Dengan demikian, tentu saja makna teks politik boleh jadi bertentangan dengan maksud dan susunan kata-kata yang digunakan.
Apabila seseorang tidak dapat menggali makna suatu teks, muatannya, dan makna yang terdapat di luar teks, dia tidak akan dapat memahami sama sekali teks politik tersebut. Dengan demikian, besar kemungkinannya dia akan menjadi mangsa dari suatu kesalahan dalam memahami teks-teks politik.
Sumber: Syeikh Abdul Qadim Zallum, Pemikiran Politik Islam, Upaya Membumikan Politik Sebagai Mainstream Gerakan.