[Pemikiran Politik Islam] Pola Fikir Politik (Bahagian 3/3)
Penulis: Syekh Abdul Qadim Zallum
Salah satu hal yang tidak boleh dilakukan dalam pola fikir politik adalah pemisahan, generalisasi, dan penggunaan analogi untuk memahami suatu teks politik. Suatu teks politik bagaimanapun juga tidak dapat dipisahkan dari situasinya kerana situasi merupakan bahagian dari suatu teks politik.
Begitu pula tidak boleh dibenarkan sama sekali melakukan generalisasi atau menggunakan analogi terhadap suatu teks politik. Situasi adalah bahagian dari teks politik yang berkaitan dengan suatu peristiwa atau kejadian tertentu. Dengan demikian, suatu teks politik tidak lain hanya menjelaskan peristiwa tertentu. Teks tersebut tidak boleh digeneralisasi, dibandingkan, atau disamakan dengan teks lain.
Oleh sebab itu, pemisahan teks dari situasinya, generalisasi, atau analogi menyebabkan kesalahan yang berbahaya dan kesesatan dalam pola fikir politik. Seorang pegawai kerajaan dapat membuat suatu pernyataan yang mempunyai pengertian tertentu, lalu membuat pernyataan berikutnya yang dapat memberikan pengertian lain. Makna pernyataan kedua ini boleh jadi sama sekali berbeza atau bahkan bertentangan dengan makna pernyataan pertama.
Begitu pula, seseorang boleh mengeluarkan pernyataan tentang sesuatu yang sungguh-sungguh terjadi, tetapi akan difahami orang lain sebagai suatu kebohongan apabila dia memang berniat demikian. Sebaliknya, dia dapat membuat pernyataan yang tidak benar, tetapi dia dapat membuat pernyataan tersebut akan difahami sebagai suatu yang benar. Suatu aktiviti dapat dilakukan sesuai dengan pernyataan ataupun tidak, bahkan bertentangan dengan pernyataannya.
Jadi, situasi dan keadaan yang melingkupi suatu tekslah yang menunjukkan makna sesungguhnya teks tersebut, bukan teks itu sendiri. Oleh kerana itu, pola fikir politik tidak dapat memberikan hasil yang benar, kecuali jika dilakukan secara benar, iaitu dengan menjadikan situasi sebagai bahagian yang tidak terpisahkan dari teks dan aktiviti. Demikian pula apabila setiap kejadian dan peristiwa difahami secara terpisah, serta terbebas dari generalisasi dan analogi.
Umat Islam mengalami berbagai malapetaka akibat pola fikir politik yang lemah. Daulah ‘Uthmâniyyah adalah contohnya. Ketika melawan Eropah pada abad ke-19, Khilafah ‘Uthmâniyyah melakukan lebih banyak tindakan politik berbanding tindakan militer. Meskipun Eropah menggunakan kekuatan militer, tetapi sekadar mendukung tindakan politik. Sebagai contoh adalah masalah Balkan. Masalah Balkan muncul hasil daripada rekayasa negara-negara Barat hanya melalui pernyataan-pernyataan politik.
Negara-negara Barat menyatakan bahawa bangsa Balkan perlu dibebaskan dari kekuasaan ‘Uthmâniyyah. Mereka tidak berniat langsung melawan Daulah ‘Uthmâniyyah, tetapi sekadar menghasut dan memprovokasi sehingga timbul rusuhan dan pergolakan di Balkan.
Mereka mengusung idea nasionalisme dan kemerdekaan. Bangsa Balkan kemudian mengadopsi idea-idea tersebut dan mula memberontak. Daulah ‘Uthmâniyyah melakukan operasi militer untuk memadamkan pemberontakan ini. Dengan demikian bermakna mengikuti sudut pandang negara-negara lain dan berusaha memenuhi tuntutan mereka.
Mereka sudah jelas mendukung pemberontakan tersebut dan secara tidak langsung menentang Khilafah. Merekalah yang membuatkan Khilafah tetap terfokus melawan pemberontakan. Ini dilakukan dengan maksud agar kekuatan Khilafah terus menerus berkurang. Jadi, akibat kesalahan dan kekeliruan Daulah ‘Uthmâniyyah dalam pola fikir politik, wilayah Balkan terlepas dari kekuasaan umat Islam. Selanjutnya Daulah ‘Uthmâniyyah termakan konsep nasionalisme yang pada akhirnya menghancur-leburkannya.
Pola fikir politik yang lemah menyebabkan kelemahan, bahkan kehancuran suatu bangsa, umat, dan negara. Pola fikir politik yang lemah ini menjadi penghalang antara rakyat dengan kemerdekaan dari kawalan negara-negara asing. la juga merupakan penghalang kebangkitan suatu negara. Oleh kerana itu, pemikiran mengenai teks-teks politik merupakan hal yang teramat penting. Hal ini boleh membawa kepada akibat kehancuran atau kejayaan suatu bangsa. Kesalahan dalam pola fikir politik akan menyebabkan kehancuran bangsa tersebut.
Dengan demikian, pola fikir politik mesti menjadi perhatian dan keutamaan utama sebelum mempelajari jenis-jenis pola fikir lainnya. Ini kerana pola fikir politik merupakan bahagian yang tidak dapat dipisahkan dari umat dan kehidupan.
Walaupun pola fikir politik merupakan pola fikir yang paling sukar dan paling tinggi, tetapi tidak cukup hanya dimiliki secara individu. Kemampuan pola fikir politik yang dimiliki individu tidak akan bermakna, sebanyak dan secerdas apa pun individu-individu tersebut. Apabila kesalahan dalam pola fikir politik telah menyebar ke seluruh umat dan bangsa, kegeniusan individu-individu tidak akan banyak bermakna dan bernilai.
Andai kata kesalahan pola fikir politik telah tersebar luas ke seluruh rakyat, kesalahan itu akan menyapu bersih setiap kebenaran yang muncul sehingga rakyat dan negara tersebut akan menjadi korban dari kesalahan tersebut. Akibatnya, bangsa dan rakyat itu akan mudah dihancurkan musuh-musuhnya.
Keberhasilan Mustafa Kamal menghancurkan Khilafah Islamiah pada awal abad ke-20 adalah contoh jelas akibat kelemahan pola fikir politik di kalangan rakyat pada masa itu. Begitu juga kejayaan Gemal Abdul Nasser pada 1950-an dan 1960-an dalam menghalangi kemerdekaan bangsa Arab pada akhir Perang Dunia I (pada saat mereka sedia untuk merdeka).
Individu-individu yang sangat cerdas dalam pola fikir politik, walau jumlahnya sampai ribuan orang, tidak akan banyak membantu selagi mereka tetap bersifat individu. Sebaliknya, lemahnya pola fikir politik tidak membahayakan individu-individu, tetapi akan membahayakan seluruh umat dan negara.
Dari sini dapat disimpulkan bahawa pola fikir politik mestilah menjadi perhatian utama seluruh rakyat (umat), melebihi perhatian mereka terhadap hal-hal yang lain. Kemampuan pola fikir politik yang dimiliki seseorang dengan disertai metode (kaedah) yang benar dapat membangkitkan pola fikir politik umat. Dengan demikian, umat mampu berhadapan dengan musuh-musuhnya serta menunjukkan kesalahan-kesalahan musuhnya tersebut.
Namun, hal ini hanya boleh terjadi apabila kemampuan pola fikir politik tersebut disebarluaskan ke seluruh umat dan negara. Apabila umat telah memiliki pola fikir politik yang benar dan sesuai dengan pola fikir individu-individu tersebut, pola fikir politik itu akan menjadi pola fikir seluruh umat. Individu-individu tersebut telah menjadi sebahagian dari umat, bukan sekadar individu yang berdiri sendiri-sendiri.
Jadi, seluruh umat akan menjadi umat yang cerdas, bukan sekadar individu-individunya saja. Akan tetapi, apabila pola fikir politik masih bersifat individual, pola fikir dan individu tersebut tidak akan bererti apa-apa pun. Pola fikir politik yang dimiliki oleh individu-individu, seberapa cerdik pun dan seberapa banyak pun individu tersebut, tetap tidak akan cukup kuat untuk berhadapan dengan musuh-musuhnya, serta menunjukkan kesalahan-kesalahannya.
Pola fikir politik yang mampu berhadapan dengan mereka adalah pola fikir politik yang dimiliki secara kolektif oleh seluruh umat dan bangsa. Secerdik apa pun seseorang, dia tetap manusia biasa. Dalam kehidupan, mereka tidak berbeza dengan manusia biasa lainnya.
Rakyat memandang seseorang dari perspektif awam sehingga kecerdasannya tidak dapat dilihat dan dirasakan. Ini terbukti ketika kecerdasan seseorang ditunjukkan dengan menghasilkan sesuatu, maka pada saat pertama, orang-orang tidak akan mengetahui kelebihan atau menyedari kecerdasannya.
Kalaupun dia seorang yang berpendidikan, dia akan kelihatan sebagaimana orang-orang yang berpendidikan lainnya. Perhatian kepada pemikiran-pemikirannya akan diberikan melalui orang-orang yang belajar kepadanya, mempelajari pemikirannya, atau orang-orang yang menganut pemikirannya untuk membina masyarakat atau sekadar untuk kepentingan sendiri.
Kalau pola fikir politik yang dikembangkan hanya di kalangan individu ini berterusan, pola fikir ini tidak akan berkembang dalam masyarakat. Pola fikir politik ini akan tetap bersifat individualistik meskipun dimiliki oleh banyak orang. Pola fikir politik dapat memberikan manfaat dan mampu berhadapan dengan pola fikir politik musuh.
Bila dikembangkan menjadi pola fikir kolektif, serta keluar dari sifat individualisme dan isolasi, pola fikir politik akan berubah menjadi pola fikir kolektif dan disebar-luaskan ke seluruh masyarakat. Kekuatan untuk berhadapan dengan musuh akan muncul sehingga menjadi benih unggul yang akan menumbuhkan pohon kebangkitan suatu bangsa atau umat.
Jadi, bentuk pola fikir politik yang bermanfaat bagi umat adalah pola fikir yang bersifat kolektif, iaitu pola fikir politik yang menjadi milik seluruh bangsa dan umat, bukan pola fikir individu. Oleh sebab itu, sangat perlu membina umat dengan pembinaan politik serta melatih umat dalam pola fikir politik hingga pola fikir ini menjadi pola fikir seluruh umat, bukan pola fikir individu semata.
Inilah pola fikir politik. Pola fikir yang bukan sekadar pola fikir mengenai kajian dan penelitian politik, tetapi merupakan pola fikir tentang berbagai rangkaian realiti dan peristiwa politik. Pola fikir tentang kajian dan penelitian politik tidak bermanfaat, kecuali sebagai ilmu pengetahuan semata.
Namun, pola fikir politik bermanfaat, memberi impak, dan berpengaruh sangat besar terhadap kehidupan umat. Oleh sebab itu, pemikiran politik merupakan fardhu kifayah, khususnya bagi orang-orang yang memiliki kemampuan tersebut, baik yang berpendidikan mahupun tidak.
Sumber: Syeikh Abdul Qadim Zallum, Pemikiran Politik Islam, Upaya Membumikan Politik Sebagai Mainstream Gerakan.