[Pemikiran Politik Islam] Kesedaran Politik (Bahagian 1/2)
Penulis: Syeikh Abdul Qadim Zallum
Negara Islam adalah suatu negara berideologi. Fungsi utama negara Islam hendaklah memiliki kedudukan antarabangsa dan mampu memberikan pengaruh dalam pergaulan antarabangsa. Dengan demikian, konsep politik yang dibawa para ahli politiknya adalah konsep yang berkaitan dengan politik antarabangsa.
Mereka tidak boleh membawa konsep politik yang berkaitan dengan politik dalam negeri atau regional saja. Dengan kata lain, para ahli politik muslim hendaklah membawa konsep politik dari sudut pandang antarabangsa, bukan dari sudut pandang lokal dan regional semata. Ini kerana fungsi utama negara Islam adalah menyampaikan dakwah Islam ke seluruh dunia.
Mereka tidak mempunyai pilihan lain, kecuali perlu memiliki kesedaran berpolitik yang lengkap. Mereka tidak cukup sekadar memiliki kesedaran politik, tetapi kesedaran politik tersebut mestilah lengkap, iaitu meliputi masalah-masalah politik lokal, regional, dan antarabangsa.
Kesedaran politik bukan hanya bermakna kesedaran terhadap politik dan situasi antarabangsa, berbagai peristiwa politik, atau senantiasa mengikuti politik dan aktiviti-aktiviti politik. Akan tetapi lebih dari itu, kesedaran politik bermakna mengamati dunia melalui sudut pandang tertentu. Bagi kaum muslim, sudut pandang itu adalah akidah Islam, iaitu kalimat La ilaha illa Allah Muhammadur Rasulullah.
Rasulullah SAW bersabda, “Aku diperintahkan untuk memerangi umat manusia sampai mereka bersaksı bahawa, ‘Tidak ada yang berhak disembah, kecuali Allah dan Muhammad adalah utusan Allah (La ilaha illa Allah Muhammadur Rasûlullah), menegakkan solat, dan membayar zakat. Apabila mereka melakukan itu, darah dan harta mereka akan aman dariku, kecuali yang sesuai dengan hak Islam Sedangkan perhitungan amal mereka diserahkan kepada Allah.’” (HR Bukhari).
Inilah kesedaran politik. Mengamati dunia tanpa melalui sudut pandang tertentu merupakan sikap yang dangkal dan bukan merupakan kesedaran politik. Malah, membataskan pemerhatian hanya pada urusan lokal dan regional saja merupakan tindakan melulu, bukan kesedaran berpolitik yang sempurna.
Kesedaran politik tidak dapat dicapai kecuali dengan dua hal. Pertama, menjadikan seluruh dunia sebagai objek pemerhatiannya. Kedua, pemerhatian itu perlu berdasarkan sudut pandang yang khas, baik berupa ideologi tertentu, pemikiran, asas manfaat, dan sebagainya.
Inilah realiti kesedaran politik. Sudut pandang yang khas bagi seorang muslim adalah akidah Islam. Selagi realiti kesedaran politik semacam ini, maka memerlukan secara alamiah bagi para ahli politik untuk terjun dalam perjuangan membangun pemahaman khas tersebut dalam kehidupan semua manusia.
Pembentukan pemahaman ini merupakan tanggungjawab pokok yang dibebankan di pundak orang yang memiliki kesedaran politik tersebut. Agar berhasil, dia perlu mengerahkan segenap kemampuan tanpa mengenal lelah dan istirehat. Seseorang yang sedar politik perlu berjuang melawan semua visi yang tidak sesuai dengan visinya dan menentang semua konsep yang tidak sejalan dengan konsep-konsepnya.
Pada masa yang sama, dia juga perlu berjuang memantapkan dan menegakkan konsep-konsepnya. Kedua perjuangan ini merupakan hal yang tidak dapat dipisahkan kerana sesungguhnya keduanya merupakan satu kesatuan. Dengan demikian, dia menghancurkan dan membangun konsep pada masa yang sama.
Dia menyingkirkan kegelapan sekaligus memberi cahaya penerangan dan bersikap seperti api yang membakar setiap kerosakan dan memberi penerangan menuju jalan kebenaran. Dengan demikian, dia berjuang membangun konsep dalam visi tersebut menggunakan pemikiran-pemikirannya untuk memberikan solusi terhadap berbagai persoalan sebenar. Ini dilakukan dengan tidak memisahkan persoalan-persoalan tersebut dari situasinya dan akal sihat.
Dia juga berjuang ke setiap penjuru dunia, berhadapan dengan konsep-konsep lain tentang kehidupan dan konsep-konsep yang mengakar di kalangan masyarakat dunia yang memasuki masa-masa kemunduran. Selanjutnya, dia juga berjuang melawan pengaruh-pengaruh menyesatkan yang disebarluaskan oleh musuh-musuhnya, dan melawan percubaan untuk mengubah cita-cita mulia dan matlamat jangka panjang strategik menjadi cita-cita separa dan pencapaian yang sementara cuma.
Dengan demikian, dia berjuang pada dua baris hadapan, iaitu di dalam negeri dan di luar negeri (antarabangsa), dengan dua arah, iaitu menghancurkan dan membangun konsep. Pada dua tahap, politik dan pemikiran. Ringkasnya, dia melibatkan dirinya dalam urusan-urusan kehidupan yang merupakan kegiatan paling mulia dan paling luhur.
Sebagai konsekuensinya, konfrontasi antara seseorang yang sedar politik dengan realiti, antara rakyat dengan masalah-masalah kehidupan yang merupakan sebuah kenescayaan. Konfrontasi ini terjadi di dalam dan di luar negeri. Dalam konfrontasi seperti ini, pesan-pesan yang dibawa serta sudut pandang yang dimiliki seseorang akan mewarnai setiap konsep yang dirumuskan, landasan yang dibangun, kriteria-kriteria yang disusun, serta tujuan-tujuan yang diperjuangkan.
Namun demikian, kerana dia memiliki sudut pandang, perasaan, dan kecenderungan tertentu, baik secara semulajadi atau ideologis, maka dia dapat mewarnai setiap realiti berdasarkan keinginannya dan mentafsirkan suatu pemikiran sesuai yang dikehendakinya. Kemudian, memahami suatu peristiwa atau berita sesuai dengan hasil yang ingin dicapai.
Ahli politik muslim perlu berwaspada agar kecenderungannya tidak mempengaruhi pandangannya. Kecintaan diri terhadap sesuatu, parti, atau ideologi boleh menyebabkan dia berkemungkinan salah dalam memahami suatu kejadian atau berita. Dengan demikian, seorang yang sedar politik perlu yakin sepenuhnya terhadap pernyataan yang diucapkan dan tindakan yang dilakukannya.
Seseorang yang sedar politik perlu memahami realiti-realiti atau peristiwa-peristiwa berdasarkan penginderaan, rasa, dan akal sihat mereka, bukan hanya sesuai keinginannya. Setiap pemikiran perlu difahami sesuai konteks realitinya, iaitu realiti yang diungkapkan suatu pemikiran.
Dia perlu memahami pemikiran tersebut sesuai realitinya, bukan berdasarkan keinginannya. Memang benar, pengungkapan tersebut mungkin saja bersifat kiasan semata atau berupa suatu kalimat yang perlu difahami secara keseluruhan, bukan secara sepotong-sepotong. Namun, persoalan tersebut tidak boleh menghalanginya daripada melihat realiti sebenarnya.
Seseorang yang sedar politik perlu beraktiviti sesuai kebenaran, yakni kebenaran yang sesuai sudut pandang yang diyakininya. Dia perlu melihat realiti apa adanya sesuai penginderaan dan visi intelektualnya. Dengan demikian, kesedarannya menjadi lengkap kerana indera dan kemampuan intelektualnya digunakan dengan baik.
Namun demikian, kesedaran, persepsi, dan penglihatannya tersebut perlu berlandaskan sudut pandang khas yang dimilikinya untuk mengamati masalah-masalah dunia. Suatu pertanyaan mungkin timbul, yakni bagaimana seseorang dapat bersikap objektif memandang setiap fakta sementara mereka perlu mengamati dunia dari sudut pandang tertentu?
Pertanyaan ini muncul akibat kajian yang dangkal. Apabila sesorang mempelajari secara mendalam, pertanyaan ini tidak akan timbul. Ini kerana terdapat perbezaan antara mengamati realiti dan memberikan pendapat atas realiti tersebut. Realiti tentang suatu hal tidak akan menjadi objek yang diperselisihkan di antara manusia.
Apabila realiti dapat dilihat dengan mata, siapa pun yang dapat melihat akan melihat realiti tersebut apa adanya, kecuali apabila dia teperdaya atau tertipu. Apabila realiti dapat diindera, setiap orang yang dapat mengindera akan dapat merasakan manis atau pahitnya, merasakan kelembutan dan teksturnya, mendengar suaranya, atau mencium aromanya.
Oleh sebab itu, setiap orang akan dapat mengetahui realiti suatu objek sesuai apa adanya. Namun demikian, pendapat tentang suatu hal dapat berbeza-beza antara seseorang dengan orang yang lain. Pemberian pendapat mengenai suatu hal atau suatu tindakan berkaitan dengan sudut pandang yang dimiliki seseorang. Sementara itu, pemerhatian atas berbagai kenyataan sesuai apa adanya berkaitan dengan penginderaan dan perasaannya.
Oleh sebab itu, seseorang perlu melihat realiti sesuai dengan apa adanya dan tetap berpihak pada kebenaran. Namun, dia juga perlu mengamati dunia serta berbagai objek dan peristiwa sesuai sudut pandangnya yang khas. Berkenaan dengan hal-hal di atas dalam hubungannya dengan politik antarabangsa, beberapa contoh menunjukkan bahawa pemerhatian atas berbagai peristiwa politik dilakukan berlandaskan sudut pandang tertentu.
Berikut ini disajikan beberapa contoh kehidupan politik Rasulullah SAW pada masa abad pertengahan dan beberapa peristiwa politik kontemporer. Sudut pandang Rasulullah SAW dalam kehidupan politik antarabangsa adalah menyampaikan dakwah. Bangsa Quraisy merupakan kekuatan adidaya di Semenanjung Arab dan pelopor kaum kafir yang menentang dakwah Rasulullah. Oleh kerananya, beliau membatasi aktiviti-aktiviti politik dan militer kepada mereka.
Beliau mengutus sejumlah mata-mata untuk memantau aktiviti bangsa Quraisy, menyerang kafilah-kafilah dagang mereka, serta melawan tindakan militer mereka. Sementara itu, kepada bangsa-bangsa lain yang tidak menentang dakwah, Rasulullah SAW menerima sikap neutral mereka. Demikianlah, tindakan-tindakan politik dan militer Rasulullah SAW muncul dari sudut pandang beliau dalam mengamati dunia dari sudut pandang yang khas.
Sumber: Syeikh Abdul Qadim Zallum, Pemikiran Politik Islam, Upaya Membumikan Politik Sebagai Mainstream Gerakan.