[Soal Jawab] Haram Penguasa Membiarkan Pembantaian Umat Islam Di Gaza, Dsb
Oleh: KH. Hafidz Abdurrahman
Soalan:
Apakah hukum terhadap penguasa umat Islam yang membiarkan pembantaian yang dilakukan oleh orang Kafir terhadap umat Islam di Gaza dan sebagainya?
Jawapan:
Allah SWT. telah berfirman:
إِنَّ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَهَاجَرُواْ وَجَٰهَدُواْ بِأَمۡوَٰلِهِمۡ وَأَنفُسِهِمۡ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ وَٱلَّذِينَ ءَاوَواْ وَّنَصَرُوٓاْ أُوْلَٰٓئِكَ بَعۡضُهُمۡ أَوۡلِيَآءُ بَعۡضٖۚ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَلَمۡ يُهَاجِرُواْ مَا لَكُم مِّن وَلَٰيَتِهِم مِّن شَيۡءٍ حَتَّىٰ يُهَاجِرُواْۚ وَإِنِ ٱسۡتَنصَرُوكُمۡ فِي ٱلدِّينِ فَعَلَيۡكُمُ ٱلنَّصۡرُ إِلَّا عَلَىٰ قَوۡمِۢ بَيۡنَكُمۡ وَبَيۡنَهُم مِّيثَٰقٞۗ وَٱللَّهُ بِمَا تَعۡمَلُونَ بَصِيرٞ ٧٢
”Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad dengan harta dan jiwa mereka di jalan Allah, juga orang-orang yang memberikan tempat tinggal dan pertolongan (kepada kaum muhajirin), mereka itu saling melindungi satu sama lain. (Terhadap) orang-orang yang beriman, tetapi belum berhijrah, tidak ada kewajipan sedikit pun atas kalian melindungi mereka sebelum mereka berhijrah. (Akan tetapi) jika mereka meminta pertolongan kepada kalian dalam (urusan pembelaan) agama, kalian wajib memberikan pertolongan, kecuali terhadap orang yang telah ada perjanjian antara kalian dan mereka. Allah Maha Melihat apa yang kalian kerjakan.” [TMQ al-Anfal (8): 72].
Ayat ini menjelaskan tentang tiga golongan orang beriman.
Pertama, orang-orang mukmin yang telah berhijrah dari Darul Kufur ke Darul Islam, berjihad dengan harta dan jiwa mereka.
Kedua, orang mukmin yang memberikan tempat hijrah dan nusrah (pertolongan) kepada mukmin yang pertama. Kedua-dua kelompok ini adalah teman setia dan pelindung antara satu sama lain.
Ketiga, orang mukmin yang belum berhijrah dari Darul Kufur ke Darul Islam. Bagi mukmin ketiga ini, baik mukmin yang pertama atau kedua, hukum asalnya tidak wajib memberi perlindungan atau pertolongan, sehingga mukmin yang ketiga ini berhijrah dari Darul Kufur ke Darul Islam.
Namun demikian, pada bahagian akhir ayat ini, Allah membuat pengecualian dengan takhshîsh bi as-syarth (pengecualian dengan syarat): [1]
وَإِنِ ٱسۡتَنصَرُوكُمۡ فِي ٱلدِّينِ فَعَلَيۡكُمُ ٱلنَّصۡرُ إِلَّا عَلَىٰ قَوۡمِۢ بَيۡنَكُمۡ وَبَيۡنَهُم مِّيثَٰقٞۗ ٧٢
”(Tetapi) jika mereka meminta pertolongan kepada kalian dalam (urusan pembelaan) agama, kalian wajib memberikan pertolongan, kecuali terhadap orang yang telah ada perjanjian antara kalian dan mereka [TMQ al-Anfal (8): 72].
Ini dikecualikan dari keadaan sebelumnya:
وَٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَلَمۡ يُهَاجِرُواْ مَا لَكُم مِّن وَلَٰيَتِهِم مِّن شَيۡءٍ حَتَّىٰ يُهَاجِرُواْۚ ٧٢
”(Terhadap) orang-orang yang beriman, tetapi belum berhijrah, tidak ada kewajipan sedikitpun atas kalian melindungi mereka, sebelum mereka berhijrah.”
Ibn ‘Asyur dalam kitab tafsirnya, At-Tahriir wa at-Tanwiir, menjelaskan frasa:
وَإِنِ ٱسۡتَنصَرُوكُمۡ فِي ٱلدِّينِ ٧٢
”(Tetapi), jika mereka meminta pertolongan kepada kalian dalam (urusan pembelaan) agama.”
Zharaf yang ditunjukkan pada kalimah fii dalam firman Allah “wa in istansharuukum fii ad-diini” ialah zharaf majaz (kiasan), yang boleh ditakwilkan pada makna ta’liil (alasan hukum). Dengan kata lain, “Mereka meminta pertolongan kepada kalian agar kalian menolong mereka untuk mempertahankan agama mereka, iaitu untuk menghindari fitnah dalam agama mereka terhadap diri mereka.” Ketika kaum musyrik berusaha mengembalikan mereka kepada agama syirik, maka wajib hukumnya menolong mereka kerana faktor agama itu tidak termasuk menjaga diri mereka, tetapi termasuk menjaga dan menolong agama. Itu hukumnya wajib bagi mereka, sama ada mereka telah dibantu oleh seseorang atau tidak. Jika faktor-faktor yang menyebabkan peperangan tersebut wujud, maka Allah menjadikan permintaan pertolongan daripada umat Islam yang belum berhijrah itu sebagai sebahagian daripada faktor perintah jihad. [2]
Ibnu ‘Asyur melanjutkan:
“Wa ‘alaykum an-nashr” (kalian wajib menolong mereka) adalah salah satu bentuk redaksi yang berkonotasi wajib. Maksudnya, kalian wajib menolong mereka. Khabar (predikat) didahulukan, iaitu “alaykum”, untuk menarik perhatian. Adapun huruf “Al” dalam kata an-Nashr berkonotasi, “ahd dzikri” (mengingatkan saat), ketika mereka meminta pertolongan. Kerana frasa “istansharuukum” (mereka meminta tolong kepada kalian) menunjukkan adanya permintaan tolong. Maksudnya, “Kalian wajib menolong mereka.” [3]
Imam al-Qurthubi menjelaskan:
Firman Allah “wa in istansharuukum fii ad-diini” (Jika mereka meminta pertolongan kepada kalian kerana agama) bermaksud: ketika orang-orang mukmin yang belum berhijrah dari darul kufur meminta pertolongan kalian, baik dengan menggerakkan tentera atau harta benda, untuk menyelamatkan mereka dan menolong mereka, maka itu hukumnya fardu bagi kalian, dan janganlah kalian menghina mereka. Kecuali jika mereka meminta pertolongan kepada kalian untuk memerangi orang-orang kafir yang antara kalian dengan mereka ada perjanjian, maka janganlah kalian menolong mereka, dan janganlah kalian menodai perjanjian tersebut sehingga tamat tempoh masanya. Ibn al-‘Arabi berkata, “Kecuali mereka menjadi tawanan dan lemah, maka menolong mereka adalah sah, dan memberi pertolongan kepada mereka adalah wajib. Dengan itu tidak akan ada lagi mata yang berkedip di antara kita sehingga kita keluar untuk menyelamatkan mereka, jika jumlah kita mengizinkannya, atau kita menggunakan semua harta kita untuk menghantar mereka sehingga tidak ada satu dinar pun yang tinggal.” Demikian juga Malik dan semua ulama berkata, “Inna lilLaahi wa inna ilayhi raaji’uun” atas apa yang menimpa makhluk. Ini kerana mereka meninggalkan saudara mereka menjadi tawanan musuh, sementara di tangan mereka banyak harta yang disimpan dan mempunyai pelbagai kelebihan, baik dari segi keadaan, kemampuan, bilangan, kekuatan dan ketahanan.” [4]
Dari penjelasan para ulama di atas, jelas dapat disimpulkan bahawa hukum menolong umat Islam adalah wajib. Sama ada di Palestin, Rohingya, India atau lain-lain, yang meminta pertolongan kerana faktor agama mereka. Umat Islam yang mempunyai harta, kemampuan, kekuatan dan juga tentera wajib menolong mereka. Membiarkan mereka diserang dan dibantai, malah dibakar habis-habisan, seperti yang berlaku di Gaza hari ini, sedangkan banyak penguasa umat Islam—terutama yang hampir dengan wilayah itu, seperti Mesir, Jordan, Syria, Saudi, Kuwait, Bahrain, Emiriah Arab Bersatu, Qatar, Turkiye, dan sebagainya—diam, maka mereka semua telah melakukan keharaman dan dosa.
Jika kerana wujudnya alasan perjanjian antara entiti Yahudi dan mereka, seperti yang dinyatakan di dalam ayat di atas, maka alasan itu adalah batil. Ia sama sekali tidak mempunyai nilai dalam pandangan syariat. Sebabnya, entiti Yahudi ini adalah penceroboh. Mereka menjajah, merompak, merogol dan membunuh serta melakukan kebiadaban yang luar biasa. Bagaimana mungkin boleh berdamai dengan mereka. Apatah lagi mengekalkan perjanjian dengan mereka. Padahal mereka sendiri sudah banyak kali mengkhianati perjanjian tersebut. Malah mereka tidak pernah mempedulikan sebarang perjanjian.
WalLaahu a’lam
Nota kaki:
[1] Takhshîsh bi as-syarth di sini dengan menggunakan huruf, “In” al-Khafifah (yang tidak ditasydid), didahului dengan huruf ‘Athaf, “wau” yang bersambung ke kalimat sebelumnya, “Wa aladzina amanu wa lam yuhajiru..” (orang-orang yang beriman dan belum berhijrah). Lebih jauh, silahkan dibaca dalam pembahasan kitab ushul fikih. Lihat, ‘Atha’ bin Khalil, Taisir al-Wushul il al-Ushul, Dar al-Ummah, Beirut, cet. III, 1421 H/2000 M, hal. 214-215.
[2 ] Muhammad At-Thahir bin ‘Asyur, At-Tahrir wa at-Tanwir, Dar Ibn Hazm, Beirut, cet. I, 1443 H/2021 M, Juz V, hal. 71.
[3] Muhammad At-Thahir bin ‘Asyur, At-Tahrir wa at-Tanwir, Juz V, hal. 72.
[4] Abu ‘Abdillah Muhammad bin Ahmad al-Anshari al-Qurthubi, al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an, Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, Beirut, cet. IV, 1435 H/2014 M, Juz VIII, hal. 37.
#SoalJawab