[Soal- Jawab] Jenis-jenis Pemikiran
Soalan :
Dinyatakan dalam Buku Asy-Syakhshiyah al-Islâmiyah Jilid 1 dengan tajuk “Keperluan Umat Hari ini Terhadap Mufassir”, baris ke sembilan belas, “Seperti buku pemikiran yang mendalam dan pemikiran yang cemerlang.” Apakah maksud perkataan al-mustanîrah (cemerlang) itu benar?
Jawapan :
Perkataan al-mustanîrah adalah benar. Terdapat tiga jenis pemikiran: (1) pemikiran dangkal; (2) pemikiran mendalam; (3) pemikiran cemerlang. Perinciannya boleh didapati dalam Buku At-Tafkîr halaman 86-92. Berikut adalah beberapa petikan daripadanya:
Pemikiran itu ada yang dangkal, mendalam dan cemerlang.
- Pemikiran dangkal adalah pemikiran orang biasa. Pemikiran yang mendalam ada pada para ulama. Mengenai pemikiran cemerlang pada umumnya merupakan pemikiran pemimpin dan orang yang cemerlang dari kalangan para ulama dan orang biasa.
Pemikiran dangkal hanya memindahkan fakta sahaja ke otak. Tanpa membincangkan apa-apa selain itu. Juga tanpa ada sebarang usaha untuk mengindera apa yang berkaitan dengan fakta. Tanpa mengaitkan penginderaan terhadap fakta ini dengan pelbagai maklumat yang berkaitan fakta tersebut. Tanpa sebarang usaha untuk mencari jenis maklumat yang lain berkaitan dengan fakta itu. Kemudian keputusan/penilaian yang dangkal dikeluarkan. Inilah yang sering berlaku dalam banyak kelompok masyarakat.
- Kemudian pemikiran mendalam. Maknanya adalah mendalam dalam berfikir. Maksudnya, terdapat kedalaman dalam mengesan penginderaan atas fakta atau dalam memahami pelbagai maklumat yang berkaitan dengan penginderaan ini supaya faktanya dapat difahami.
Pemikiran mendalam tidak cukup sekadar mempunyai penginderaan dan sekadar mempunyai pelbagai maklumat awal yang berkaitan dengan penginderaan, seperti yang berlaku dalam pemikiran dangkal. Walau bagaimanapun, terdapat usaha untuk mengulangi penginderaan atas fakta dan usaha mengindera fakta tersebut dengan lebih daripada apa yang diindera. Kadang-kadang melalui eksperimen. Adakalanya dengan mengulangi penginderaan. Adakalanya dengan mengulangi carian tentang pelbagai maklumat lain bersama-sama dengan maklumat awal. Kadangkala dengan mengulangi perkaitan maklumat dengan fakta lebih daripada perkaitan yang berlaku. Kadang-kadang dengan pemerhatian dan pengulangan. Kadang-kadang dengan mengulangi lagi perkaitan tersebut. Kemudian dari jenis penginderaan dan jenis perkaitan ini, atau dari jenis maklumat ini, pemikiran yang mendalam muncul, sama ada hakikat atau bukan hakikat. Dengan pengulangan dan pembiasaannya, terwujudlah pemikiran mendalam.
Jadi, pemikiran yang mendalam tidak mencukupkan diri dengan penginderaan awal, maklumat awal dan perkaitan awal. Kerana itu, pemikiran mendalam merupakan tahap kedua selepas pemikiran dangkal. Ini adalah pemikiran ulama dan pemikir, tetapi tidak semestinya pemikiran orang terpelajar. Jadi pemikiran mendalam adalah kedalaman dalam penginderaan, maklumat dan perkaitan.
- Mengenai pemikiran cemerlang ialah pemikiran yang mendalam ditambah dengan usaha untuk memikirkan apa sahaja yang ada di sekeliling fakta yang diindera, juga apa sahaja yang berkaitan dengan fakta tersebut, untuk mencapai kepada keputusan yang benar. Maksudnya, pemikiran mendalam adalah kedalaman dalam pemikiran itu sendiri, ditambah dengan memikirkan tentang apa sahaja yang ada di sekeliling fakta yang diindera, serta apa sahaja yang berkaitan dengan fakta tersebut, untuk tujuan yang dimaksudkan, iaitu mencapai kepada keputusan yang benar.
Dengan demikian, setiap pemikiran cemerlang adalah pemikiran mendalam. Pemikiran cemerlang tidak dapat dicapai dengan pemikiran yang dangkal. Cuma, bukan setiap pemikiran yang mendalam adalah pemikiran yang cemerlang. Contohnya, pakar atom, apabila membincangkan pemecahan atom; ahli kimia apabila membincangkan tentang struktur zarah sesuatu; juga seorang yang faqih apabila membincangkan peng-istinbath-an hukum-hukum dan penetapan undang-undang. Mereka ini dan lain-lain seperti mereka, apabila membincangkan sesuatu, mereka membincangkannya secara mendalam. Jika tidak mendalam, mereka pasti tidak akan mencapai kepada keputusan yang begitu mengagumkan. Namun, mereka bukanlah pemikir pemikiran cemerlang. Pemikiran mereka tidak dianggap sebagai pemikiran yang cemerlang.
Oleh itu, jangan terkejut apabila anda mendapati seorang ahli atom sedang berdoa pada kayu atau salib. Padahal, kecemerlangan berfikir paling sederhana sekalipun menunjukkan bahawa kayu ini tidak memberi manfaat atau mudarat. Ia bukanlah sesuatu yang patut disembah. Jangan terkejut juga apabila anda mendapati seorang peguam berpengalaman yang mempercayai kewujudan orang suci, lalu dia menyerahkan dirinya kepada orang sedemikian agar dosa-dosanya diampuni. Sebabnya, pakar atom, pakar undang-undang dan orang seperti mereka memang berfikir secara mendalam, tetapi tidak berfikir dengan cemerlang. Seandainya pemikiran mereka cemerlang, mereka pasti tidak akan berdoa kepada kayu, tidak akan percaya akan kewujudan orang suci dan tidak akan meminta keampunan daripada orang seperti mereka.
Memang benar seorang pemikir pemikiran yang mendalam bermaksud mendalami apa yang dia fikirkan. Dia mungkin mendalam apabila berfikir tentang pemisahan atom atau pelaksanaan undang-undang. Namun, dia bodoh dalam perkara yang lain jika dia berfikir tentang perkara lain tersebut. Ini benar. Kebiasaan pemikir yang berfikir secara mendalam membuatkan dirinya mendalami apa yang difikirkan, terutama hal-hal yang berkaitan dengan kerumitan yang hebat atau pandangan hidup. Namun, kerana tidak ada kecemerlangan dalam pemikirannya, ini membuatkan dirinya terbiasa berfikir mendalam, dangkal dan juga mengarut.
Oleh itu, pemikiran yang mendalam sahaja tidak cukup untuk membangkitkan manusia dan meningkatkan taraf pemikiran mereka. Akan tetapi, hal ini mesti dicapai melalui kecemerlangan dalam berfikir untuk mencapai ketinggian dalam berfikir.
Demikian. Jika ingin lebih banyak lagi maka boleh merujuk pada buku tersebut. Semoga Allah SWT selalu bersama anda. []
[Dikutip dari Jawab-Soal Syeikh Atha’ bin Khalil Abu ar-Rasytah, tanggal 05 Sya’ban 1445 H/15 Februari 2024 M]
Sumber:
https://www.hizb-ut-tahrir.info/ar/index.php/ameer-hizb/ameer-cmo-site/93902.html