[SOAL JAWAB] Bagaimana Metode Nabi SAW dalam Meraih Kekuasaan?
Soalan:
Bagaimana Nabi saw. mendapatkan kekuasaan? Mengapa beliau menolak ketika diberi kekuasaan penduduk Mekah, tetapi menerima ketika diberi kekuasaan oleh penduduk Madinah?
Jawapan:
Dalam riwayat Ibn Hisyam, disebutkan tawaran ‘Utbah bin Rabi’ah:
يَا اِبْنَ أَخِي، إِنْ كُنْتَ إِنَّمَا تُرِيْدُ بِماَ جِئْتَ بِه مِنْ هَذَا الأَمْرِ مَالاً جَمَعْنَا لَكَ مِنْ أَمْوَالِنَا حَتَّى تَكُوْنَ أَكْثرنا مَالاً، وَإِنْ كُنْتَ تُرِيْدُ بِهِ شَرَفًا سَوَّدْناك عَلَيْنَا، حَتَّى لاَ نَقْطَعَ أَمْرًا دُوْنَكَ، وَإِنْ كُنْتَ تُرِيْدُ بِهِ مُلْكًا مَلَّكْنَاكَ عَلَيْنَا
“Wahai anak saudaraku, jika dengan apa yang engkau bawa ini, engkau memang menginginkan harta, maka kami akan mengumpulkan harta kami untuk kamu sehingga engkau menjadi orang yang paling kaya di antara kami. Jika dengan itu engkau menginginkan kemuliaan, maka kami akan menjadikan engkau sebagai tuan kami sehingga kami tidak memutuskan perkara tanpamu. Jika dengan itu engkau menginginkan kekuasaan, maka kami akan menjadikan engkau menjadi penguasa bagi kami.” [1]
Ketika Nabi saw. menolak tawaran mereka, mereka kemudian mencabar beliau:
يَا مُحَمَّدُ، فَإِنْ كُنْتَ غَيْر قَابِلٍ مِنَّا شَيْئًا مِمَّا عَرَضْنَاهُ عَلَيْك… فَسَلْ لَنَا رَبَّكَ الَّذِيْ بَعَثَكَ بِمَا بَعَثَكَ بِهِ، فَلْيُسَيِّرْ عَنَّا هَذِه الْجِبَالَ الَّتِيْ قَدْ ضَيَّقَتْ عَلَيْنَا، وَلْيَبْسُطْ لَنَا بِلَادَنَا…
“Wahai Muhammad, jika engkau tidak mahu menerima apapun dari apa yang telah kami tawarkan kepada dirimu, maka mintakanlah kepada Tuhanmu untuk kami, yang telah mengutus engkau dengan membawa apa yang engkau telah diutus dengannya; mintalah Dia untuk memindahkan gunung-gunung ini yang membuat sempit ruang kami; dan mintalah Dia untuk melapangkan untuk kami negeri kami.”[2]
Peristiwa di atas terjadi setelah Hamzah masuk Islam. Menurut Ibn Hajar, Hamzah masuk Islam pada tahun ke-2 kenabian. Setelah itu Nabi saw. melakukan aktiviti Tafaa’ul Ma’a al-Ummah (interaksi dengan umat).[3] Ertinya, tawaran ‘Utbah bin Rabi’ah, yang mewakili kaum kafir Quraisy itu disampaikan kepada Nabi saw. pada saat beliau memang menginginkannya. Akan tetapi, mengapa justeru Nabi saw. menolak dan tidak menerima tawaran tersebut?
Menjawab pertanyaan ini, Al-‘Allamah Syaikh Rawwas Qal’ah Jie, dalam kitabnya, Qiraa’ah Siyasiyyah li as-Siirah an-Nabawiyyah, menjelaskan alasannya. Intinya, kekuasaan yang ditawarkan oleh kaum kafir Quraisy itu ditolak oleh Nabi saw. kerana mereka tidak mahu mengimani risalah beliau. Andai saja kekuasaan itu diterima, kemudian Nabi saw. berkuasa, maka kekuasaan itu tidak akan berguna, kerana rakyat yang akan beliau pimpin menolak risalah yang diemban dan diterapkan kepada mereka.[4]
Sebaliknya, ketika Nabi saw. melalui Baiat ‘Aqabah Kedua, yang melalui baiat ini kaum Aus dan Khazraj memberikan kekuasaan kepada beliau, maka beliau diterima. Itu kerana mereka telah memeluk Islam dan menerima risalah beliau untuk diterapkan di tengah-tengah mereka.
Dalam dua tindakan Nabi saw. ini—yang sama-sama mendapatkan tawaran kekuasaan; satu menolak, sedangkan yang lain menerima—tidak menunjukkan adanya ta’arudh (kontradiksi). Sebab, ada keadaan yang berbeza, yang menyebabkan satu ditolak, sedangkan yang lain diterima.
Dengan demikian, keadaan—yang boleh kita sebut sebagai Sifat Mundhabithah (sifat yang mengikat), yang kerananya hukum menerima atau menolak tersebut ada—itu boleh kita sebut sebagai ‘Illat (alasan hukum) di balik penolakan dan penerimaan Nabi saw. terhadap kekuasan yang ditawarkan kepada beliau. Dari sini kita dapat memahami, mengapa kekuasaan yang diterima oleh Nabi saw. adalah kekuasaan yang utuh, bukan sebahagian. Sebab, jika kekuasaan yang ada di tangan Nabi hanyalah kekuasaan yang bersifat sebahagian, maka kekuasaan itu tidak akan bermakna.
Kerana itulah mengapa metode dan langkah yang ditempuh Nabi saw. dirancang sebegitu rupa sehingga kekuasaan yang beliau dapatkan memenuhi kriteria yang diinginkan. Bukan asal berkuasa. Pada titik ini, Allah menitahkan kepada Nabi saw.:
قُلۡ هَٰذِهِۦ سَبِيلِيٓ أَدۡعُوٓاْ إِلَى ٱللَّهِۚ عَلَىٰ بَصِيرَةٍ أَنَا۠ وَمَنِ ٱتَّبَعَنِيۖ ١٠٨
Katakanlah, “Inilah jalan (agama)-ku, aku dan orang-orang yang mengikutiku mengajak (kalian) kepada Allah dengan hujah yang nyata.” (TMQ Yusuf [12]: 108).
Kata “’alaa bashiirah” juga boleh diertikan, bahawa jalan yang dinyatakan oleh Nabi saw. ini adalah jalan yang terang-benderang. Bukan jalan yang kabur atau tidak jelas. Semuanya jelas. Termasuk langkah dan metode dakwah Nabi saw.
Langkah dan metode dakwah Nabi saw. itu dilakukan dengan cermat, tepat dan terukur. Tahap Pertama: Melakukan pembinaan (Tatsqiif). Sel pertamanya adalah Nabi saw. sendiri. Sel pertama ini adalah orang yang menemukan dan memiliki ideologi, yang akan digunakan untuk menjadi ikatan yang mengikat sel-sel yang lain sehingga menjadi sebuah halaqah. Setelah terbentuk halaqah pertama, ia berkembang menjadi halaqah kedua, ketiga, dan seterusnya. Akhirnya menjadi sebuah jemaah. Jemaah ini terbentuk jika ada dua hal: (1) ikatan yang sama, iaitu ikatan ideologi (Raabithah Mabda’iyyah); (2) kepemimpinan. Ikatan ideologi tersebut dibentuk melalui halaqah. Adapun kepemimpinan tersebut secara alami akan dipegang oleh halaqah pertama. Baru setelah semuanya ini terbentuk, maka Nabi saw. memasuki tahap kedua: Tafaa’ul Ma’a al-Ummah.
Tahap Kedua: Tafaa’ul Ma’a al-Ummah, dilakukan Nabi saw. ketika jemaah atau Hizb ar-Rasul sudah terbentuk. Kelompok ini dipimpin langsung oleh Nabi saw. Ini terjadi setelah Hamzah dan ‘Umar bin al-Khattab masuk Islam. Ketika itu Nabi saw. melakukan tawaf di Kaabah, dengan dua barisan. Satu baris dipimpin oleh Hamzah dan satu lagi oleh ‘Umar. Tujuan dari Tafaa’ul Ma’a al-Ummah adalah mengemban ideologi Islam agar menjadi ideologi umat, bukan hanya ideologi yang diemban oleh jemaah ini saja. Fasa ini adalah fasa yang paling mencabar dan sulit.
Pendek kata, saat itu dakwah Nabi saw. dan para Sahabat di Mekah benar-benar sudah menemui jalan buntu. Akhirnya, Nabi saw. memerintahkan para Sahabat untuk berhijrah ke Habsyah (Ethiopia) demi menyelamatkan akidah mereka. Nabi saw. sendiri tetap di Mekah. Puncaknya, Nabi saw. mencari nushrah (dukungan dakwah) ke sana ke mari dan semuanya ditolak. Tidak kurang dari 50 suku dan kabilah didatangi oleh Nabi saw. Ada yang mengatakan selama setahun. Ada yang mengatakan lebih. Semuanya itu menunjukkan keseriusan Nabi saw. untuk mendapatkan dukungan dakwah.
Pada fasa kedua ini, Tafaa’ul Ma’a al-Ummah, aktiviti pada fasa pertama, iaitu pembinaan, tetap dilakukan oleh Nabi saw. Ditambah akitiviti lain, seperti menerapkan kemaslahatan umat (Tabanni Mashaalih al-Ummah) dan membongkar rencana jahat kaum kafir (Kasyf al-Khuthath). Setelah kegagalan Nabi saw. melakukan nushrah di Thaif, Nabi mendapatkan Himaayah (perlindungan) dari Muth’im bin ‘Adi, yang masih kafir. Himaayah itu diterima oleh Nabi saw. untuk melindungi diri dan dakwahnya agar dapat kembali ke Mekah.
Setelah itu, Nabi saw. di-israk-mikraj-kan oleh Allah, yang menjadi bisyaarah akan datangnya pertolongan Allah, sekaligus jawapan atas doa Nabi saw. di Thaif. Tepat pada bulan Rejab Nabi saw. dipertemukan pertama kali dengan Ahl an-Nushrah dari Yatsrib. Ini adalah orang pertama yang memeluk Islam, tetapi akhirnya meninggal, sebelum Islam berkembang di sana. Sampai datang penduduk Yatsrib pada musim haji sehingga terjadilah Bai’at ‘Aqabah Pertama. Setelah itu, Nabi saw. mengirim Mush’ab bin ‘Umair ke sana untuk mengajarkan Islam kepada penduduk Yatsrib.
Di tangan Mush’ab inilah, Usaid bin Hudhair dan Saad bin Muadz, ketua Suku Bani Asyhal itu, akhirnya masuk Islam. Setelah itu, sebanyak 75 orang datang menghadap Nabi saw. bersama Mush’ab pada musim haji berikutnya, dan memberikan Bai’at ‘Aqabah Kedua. Inilah baiat yang benar-benar diinginkan oleh Nabi saw. Melalui baiat inilah Nabi saw. benar-benar mendapatkan kekuasaan yang sempurna. Kekuasaan yang utuh, bukan kekuasaan yang sebahagian. Pada akhirnya, fasa ketiga, Istilaam al-Hukm (penerimaan kekuasaan) itu benar-benar terjadi dengan damai.
Baru setelah itu, Nabi saw. pun hijrah ke Yatsrib, yang kemudian diubah namanya menjadi Madinah al-Munawwarah. Nabi saw. kemudian menjadi ketua Negara Islam pertama di sana dengan kekuasaan penuh.
Inilah langkah dan metode yang dilakukan oleh Nabi saw. Metode ini terbukti telah berjaya mengubah masyarakat di Madinah, bahkan seluruh bangsa Arab dan dunia. Dari bangsa yang terkebelakang, tidak berperadaban, menjadi bangsa terkemuka, dengan peradaban emasnya.
Persoalannya saat ini, adakah langkah dan metode Nabi saw. ini wajib diikuti? Jawapannya: wajib! Apa dalilnya? Dalilnya adalah perbuatan Nabi saw. yang dilakukan terus-menerus meski menghadapi ujian, hambatan dan cabaran yang tidak mudah, tetapi beliau tidak menghentikan langkahnya. Beliau tetap istiqamah di tengah berbagai ujian itu. Dalam konteks ini, semak penjelasan Imam as-Syafie: [5]
وَلَوْ كَانَ وَاجِبًا لَأَمَرَهُمْ بِهِ شَقَّ أَوْ لمْ يَشُقَّ
Andai perkara itu wajib, pasti Nabi akan memerintahkan mereka untuk melakukan perkara tersebut, apakah berat atau tidak.
Ertinya, ketika Nabi saw. terus-menerus melakukan aktiviti sebagaimana pada fasa-fasa di atas, baik dalam kondisi yang ringan mahupun berat, maka itu menjelaskan bahawa langkah dan metode yang ditempuh oleh Nabi saw. itu memang hukumnya wajib. Kalau tidak wajib maka pasti Nabi saw. tidak akan melakukannya terus-menerus.
WalLaahu a’lam. []
Catatan kaki:
[1] Abu al-Qasim ‘Abdurrahman bin ‘Abdullah as-Suhaili, Ar-Raudh al-Unfi wa al-Masra’ ar-Riwa, ed. Dr. Muhammad Ibrahim al-Banna, Dubai, Ja’izah Dubai ad-Duwaliyyah li al-Qur’an al-Karim, cet I, 1442 H/2021 M, Juz III, hal. 60.
[2] Abu al-Qasim ‘Abdurrahman bin ‘Abdullah as-Suhaili, Ar-Raudh al-Unfi wa al-Masra’ ar-Riwa, Juz III, hal. 61.
[3] Ibn Hajar al-Asqalani, Al-Ishabah fi Tamyiz as-Shahabah, Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, Beirut, cet. I, 1415 H/1995 M, Juz II, hal. 105.
[4] Muhammad Rawwas Qal’ah Jie, Qira’ah Siyasiyyah li as-Sirah an-Nabawiyyah, Dar an-Nafais, Beirut, cet. I, 1416 H/1996 M, hal. 51.
[5] Abu Ibrahim Isma’il bin Yahya bin Isma’il al-Mishri al-Muzani, Al-Mukhtashar al-Muzani, Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, Beirut, cet. I, 1419 H/1998 M, hal. 8.