[Ath-Thariq] Bolehkah Islam Diterapkan Secara Praktikal?
Penulis: Syeikh Ahmad Athiyat
Kami telah menerangkan dengan jelas pelbagai persoalan yang telah dibangkitkan tentang sifat kewujudan Islam yang telah diterapkan secara praktikal pada masa lalu, apabila ada peluang untuknya dan tentang kemungkinan Islam diterapkan semula apabila ia mendapat peluang sekali lagi.
Selepas meneliti sebab-sebab yang membawa kepada persoalan seperti ini, kami mendapati bahawa semua itu kembali—secara umum—kepada dua punca asas, iaitu:
– Serangan pemikiran, tsaqafah, dan politik yang dilakukan oleh Barat.
Serangan tersebut datang melalui penjajahan kapitalisme di negeri-negeri Islam sejak runtuhnya Daulah Khilafah Islamiah. Ia merupakan serangan yang dilakukan dengan segenap daya upaya untuk menjauhkan umat Islam dari agamanya dan menjauhkan politik Islam yang terwujud dalam bentuk Daulah Islam dari kancah kehidupan seraya menghadkannya hanya dalam masalah ibadat, berbagai model dan corak masjid, dan pusat asuhan. Walaupun penjajahan secara militer telah hilang, tetapi serangan dalam bentuk lain masih ada, yang dilakukan melalui ejen-ejen politiknya—para penguasa dan berbagai gerakan politik—juga ejen intelektual dari kalangan cendekiawan dan kaum terpelajar didikan penjajah, yang mereka bekerja sekuat tenaga merosak keindahan wajah Islam di hadapan kaum muslim dan menggambarkannya dengan gambaran kependetaan dan menghilangkan watak politik secara praktikal darinya.
– Kejahilan umat Islam secara amnya tentang intipati Islam.
Hal ini terjadi kerana sejak sekian lama mereka telah jauh dari kehidupan Islam yang hakiki, Islam yang ada di tengah penerapannya yang sahih dan bersih, yakni Islam yang tergambarkan dalam bentuk Daulah Islam, Daulah Khilafah. Jauhnya umat dari kehidupan Islam yang hakiki merupakan sebahagian hal yang menyebabkan gambaran Islam yang sahih dan bersih itu menjadi pucat dalam benak dan otak kaum muslim sehingga menggiring mereka untuk beranggapan pada kemustahilan kembalinya Islam ke tengah arena kehidupan. Semua itu akibat lamanya mereka hidup dan menyatu dengan realiti yang rosak ini.
Inilah sebab terpenting yang membawa pada timbulnya bermacam keraguan dan persoalan seputar kemungkinan penerapan Islam yang sahih dalam kancah kehidupan. Oleh kerana itu, kami ingin mengkhususkan bab ini untuk menjelaskan hakikat yang ada di depan kaum muslim dengan menghilangkan keraguan dan bermacam persoalan dari otak mereka, tiada lain dengan menjelaskan bahawa Islam pernah dan berjaya diterapkan pada masa lalu secara maksima dan kemungkinan diterapkannya kembali akan tetap ada hingga hari kiamat tiba, dan kembalinya Islam ke dalam kancah kehidupan itu lebih dekat daripada kedipan mata, ketika ada niat yang tulus dan usaha yang gigih untuk merealisasikannya.
Sebelum memasuki pembahasan yang menetapkan bahawa Islam telah diterapkan pada masa lalu dan mencapai kejayaan yang tiada tandingannya, saya melihat perlunya memperhatikan beberapa fakta penting berikut:
- Bahawa keberadaan Islam telah diterapkan atau belum pada masa lalu, tidak boleh mempengaruhi—atau dengan hal apa pun—aktiviti yang kita lakukan dalam rangka merealisasikan penerapan ideologi ini dan membangkitkan umat dengan berlandaskan asas ini. Hal itu tiada lain kerana keyakinan kita akan Islam sebagai satu-satunya ideologi yang benar yang mesti mendorong kita untuk mengerahkan segenap usaha untuk mewujudkannya dalam kehidupan nyata. Bila seseorang sudah meyakini kebenaran sebuah idea, dia tidak akan dipalingkan oleh persoalan “idea itu telah diterapkan sebelumnya atau belum”. Jika sebaliknya, aktiviti yang dijalankan demi perubahan menjadi mustahil, lebih-lebih lagi bahawa idea-idea perubahan itu biasanya merupakan idea-idea yang sangat baru. Rasulullah SAW telah mengubah dunia berlandaskan idea (fikrah) yang baru, yang sebelumnya tidak dikenali oleh manusia, yakni Islam. Bahkan banyak sekali gerakan-gerakan yang telah mengubah dunia ini di atas idea baru yang belum teruji dan diterapkan sebelumnya.
Sesungguhnya tolok ukur (al-miqyas) yang menentukan keberadaan sebuah idea, baik sudah diterapkan secara sahih atau belum, semata diambil dari idea atau ideologi (al-mabda) itu sendiri. Pada saat kita ingin mengatakan bahawa orang-orang komunis telah menyalahi atau belum menerapkan ideologi komunisme, kerana mereka melakukan politik perjanjian damai, atau kesepakatan antarabangsa, mengakui nasionalisme, dan sebagainya, maka kita mesti menetapkan hal itu berdasarkan teks atau nas yang jelas dari ideologi komunisme itu sendiri.
Begitu pula kaitannya dengan telah atau belum diterapkannya Islam oleh kaum muslim pada masa lalu. Bila kesimpulan yang diperoleh tentang tidak diterapkannya Islam berasal dari kaedah dan pemikiran-pemikiran kapitalisme atau ijtihad akal yang salah, maka hal ini tidak benar dan tidak boleh. Jika dikatakan bahawa Daulah Islam—yang dahulu ada—belum menerapkan sistem pemerintahan, contohnya, maka yang wajib dilakukan adalah agar orang yang melontarkan kenyataan demikian menetapkan hal itu dengan nas-nas syarak yang jelas, yakni bahawa hukum atas hal itu diambil dari ideologi itu sendiri, secara mutlak tidak boleh berasal dari sumber-sumber yang lain.
Sebenarnya Daulah Islam telah dan terus berdiri untuk menerapkan Islam sejak tahun 623 M, yakni sejak tahun pertama Rasulullah SAW berhijrah ke Kota Madinah dan meletakkan batu pertama pembangunan Masjid Quba. Kota tersebut menjadi pusat pemerintahan Islam pertama hingga tahun 1918 M, pada saat diruntuhkannya Daulah Islam, yakni Daulah Khilafah, oleh tangan keji Mustafa Kemal Attaturk, setelah kalahnya Daulah Islam dalam Perang Dunia pertama yang disebabkan oleh berbagai macam faktor. Faktor-faktor terpenting adalah:
– Telah tersebarnya kejahilan dan tidak adanya pemahaman yang benar atas Islam dan Bahasa Arab.
– Pengkhianatan orang-orang yang berafiliasi (menggabungkan diri) dengan Islam dengan penuh kedustaan dan kebohongan, mereka yang berkonspirasi dengan Britian untuk memukul Daulah Islam, apalagi setelah terbukanya pintu negeri-negeri Islam di depan pasukan penjajah yang berkehendak mengambil alih negeri dan menghinakan para hamba.
Untuk menjelaskan hakikat bahawa Islam telah diterapkan dan belum pernah diterapkannya ideologi selain Islam hingga diruntuhkannya Daulah Islam, kami akan memaparkan dengan ringkas beberapa pedoman global yang menentukan bentuk negara dalam ideologi Islam, kemudian kami akan membandingkan negara yang ada dengan yang ditetapkan oleh ideologi. Berdasarkan hal ini, kami akan menjelaskan secara singkat sistem-sistem yang membentuk tatacara pelaksanaan atau penerapan ideologi ini.
Tujuan dari penjelasan ini—selain untuk menghilangkan berbagai keraguan dan kebimbangan—adalah memberikan gambaran Daulah Islam yang mesti diwujudkan demi terealisasinya kebangkitan dan kebahagian umat. Dengan demikian, tujuan perubahan menjadi jelas sejelas mungkin dalam benak para aktivis (pelaku) perubahan, dan juga untuk mengembalikan gambaran Daulah Khilafah pada umat setelah bentuknya hampir dilupakan oleh umat.
Semua itu tiada lain untuk meneguhkan kepercayaan umat akan agamanya dan mendorongnya mahu beraktiviti untuk menegakkan Daulah Islam, serta menghilangkan gambaran yang salah tentang Islam dan tentang keberadaan Islam yang ditujukan hanya untuk mengatur ibadah belaka.
Untuk menetapkan bahawa Islam telah atau belum ditetapkan pada masa lalu, perlu diingat bahawa tatacara penerapan (kaifiyat al-tathbiq) yang terlahir dari asas pemikiran Islam adalah Daulah Islam yang akan menerapkan Islam dengan kelima-lima sistemnya dalam negara, yakni sistem pemerintahan, sistem ekonomi, sistem pergaulan, strategi pendidikan dan politik luar negeri.
Sedangkan yang akan mengawasi jalannya penerapan Islam oleh Daulah Islam tersebut ada dua orang, yakni qadhi yang akan meminta pertanggungjawaban atas berbagai pelanggaran dan menyelesaikan berbagai persengketaan dan pemimpin (al-Hakim) yang akan menyelia perjalanan seluruh aktiviti dalam negara.
Sumber artikel: Syeikh Ahmad Athiyat, Ath-Thariq (Jalan Baru Islam)