[Pemikiran Politik Islam] Vakum
Penulis: Syeikh Abdul Qadim Zallum
“Vakum” atau kekosongan adalah istilah yang digunakan dalam dunia politik antarabangsa. Istilah ini menunjukkan ketidakmampuan negara menjalankan fungsinya atau mempertahankan kestabilannya. Akibatnya, walaupun terdapat suatu pemerintahan, tetapi tidak dapat berfungsi dengan sepatutnya. Terdapat tiga jenis keadaan vakum, iaitu vakum atau kekosongan politik, ketenteraan, dan strategik.
Vakum politik bererti bahawa keseluruhan negara berada dalam keadaan yang tidak stabil dan tidak teguh. Walaupun terdapat ketua negara, perdana menteri, dan parlimen, tetapi tidak terdapat hubungan yang harmoni di antara mereka kerana kurang menyatunya pemikiran dan tindakan mereka. Hal ini mengakibatkan tidak teguhnya negara dan pemerintahan.
Begitu juga, tiada pandangan, tindakan, dan sikap yang kukuh dalam menghadapi pelbagai cabaran yang mereka hadapi. Keadaan ini menyebabkan situasi vakum. Maksudnya, negara tersebut tidak wujud di mata antarabangsa. Dalam keadaan ini, kemunculan pemerintahan atau penguasa baru merupakan suatu kewajaran, bahkan mungkin tidak dapat dielakkan.
Selanjutnya, kekuatan lain akan muncul untuk mengisi kekosongan tersebut. Kekuatan tersebut boleh berupa kekuatan yang independen (baik berasal dari dalam negeri, mahupun dari luar negeri) atau boleh jadi juga merupakan kekuatan domestik, tetapi mendapatkan dukungan dari kekuatan luar yang menjadi pendukungnya.
Sementara itu, kevakuman ketenteraan atau militer terjadi bilamana kekuatan ketenteraan suatu negara tidak cukup kuat untuk menjaga keamanan negara, serta melindungi negara dari serangan pihak luar. Dengan demikian, negara tidak mampu mempertahankan diri dari pemberontakan mahupun serangan dari luar.
Negara tidak mampu menjaga kestabilannya atau mempertahankan dirinya disebabkan salah satu dari alasan berikut ini:
Pertama, kurangnya kelengkapan, latihan, atau anggaran ketenteraan yang digunakan negara untuk menyiapkan kekuatan ketenteraan yang diperlukan. Hal ini mengakibatkan kevakuman ketenteraan. Dalam keadaan ini, muncul kekhuatiran terhadap dominasi kekuatan asing atas negara tersebut kerana situasi ini sering kali memicu cita-cita kekuatan-kekuatan asing untuk melakukan penjajahan.
Untuk mencegah penjajahan oleh suatu kekuatan asing, kekuatan asing lainnya akan berebut memberi bantuan ketenteraan kepada negara yang mengalami kevakuman ketenteraan itu. Apabila kevakuman ini tidak segera diisi dengan persenjataan dan keperluan ketenteraan lainnya, penjajahan akan terjadi dan kevakuman itu akan segera diisi sepenuhnya oleh kekuatan asing.
Kedua, kurang harmoninya hubungan di antara para komandan dan staf angkatan bersenjata. Ini berakibat pada ketidakmampuan ketenteraan menjalankan fungsi dan menjaga kestabilan negara. Pada keadaan ini, suatu kekuatan asing seringkali muncul untuk mendukung salah satu faksi (puak) atau pegawai angkatan bersenjata, baik secara moral mahupun strategik.
Hal ini bererti bahawa secara tidak langsung kevakuman telah diisi oleh kekuatan asing. Selain dengan cara tidak langsung tersebut, kevakuman juga dapat diisi secara langsung oleh kekuatan asing, sebagaimana dalam kes pertama.
Dengan demikian, kevakuman ketenteraan akan terjadi manakala kekuatan ketenteraan suatu negara menunjukkan ketidakmampuan dalam menjalankan fungsinya atau menjaga kestabilannya. Situasi ini boleh terjadi kerana kurang harmoninya hubungan di antara para komandan dan staf angkatan bersenjata atau kerana kurangnya material pertahanan dan keamanan.
Terakhir, kevakuman strategik, iaitu ketidakstabilan suatu negara akibat berbagai masalah dan cabaran yang dihadapi, internal mahupun eksternal. Sebagai contohnya adalah ketidakstabilan negara akibat berlakunya pertikaian bersenjata antara kelompok atau adanya aktiviti yang mengancam keamanan negara, seperti pengeboman di berbagai lokasi.
Kevakuman strategik juga boleh berlaku akibat beredarnya berbagai khabar angin dan isu yang menyebabkan kegelisahan di kalangan pengusaha, ahli perniagaan, bahkan para ahli politik dan penguasa. Kegelisahan ini juga boleh berlaku dalam kalangan masyarakat umum, terutama disebabkan masalah kekurangan makanan. Kadang kala, ketidakstabilan sengaja direkayasa oleh pihak-pihak luar yang bertujuan bukan untuk menjajah, tetapi sengaja membuat negara tersebut tetap bermasalah dan berada dalam kekacauan.
Situasi-situasi tersebut dapat mengakibatkan kevakuman suatu negara. Dalam keadaan seperti ini, rakyat akan mencari penguasa atau pemerintahan baru yang dapat menjamin kestabilan negara. Dengan demikian, akan muncul kekuatan-kekuatan yang berusaha mengisi kekosongan tersebut.
Kekuatan tersebut boleh berupa individu dari dalam negeri yang berusaha memerintah dan menjaga kestabilan negara secara independen atau kekuatan asing yang mengambil alih sepenuhnya kekuasaan negara dan memelihara kestabilannya. Kekuatan itu juga boleh berupa seseorang dari dalam negeri yang mendapat kekuatan dan dukungan dari luar negeri, lalu berusaha memantapkan kestabilan dan mengisi kevakuman.
Kevakuman dalam tiga bentuk di atas merupakan senjata yang kuat dan efektif. Negara-negara adidaya sering kali merekayasa ketidakstabilan di berbagai negara. Ini sebagai bentuk upaya mereka dalam menguasai dan mengendalikan negara lain. Daulah ‘Uthmaniyyah hancur setelah mengalami berbagai upaya untuk mewujudkan kevakuman, bukan akibat peperangan.
Sumber: Syeikh Abdul Qadim Zallum, Pemikiran Politik Islam, Upaya Membumikan Politik Sebagai Mainstream Gerakan.