[Ath-Thariq] Sistem Pemerintahan dalam Islam
Penulis: Syeikh Ahmad Athiyat
Sesungguhnya Daulah Islam, yang Islami tidak mungkin diterapkan dengan benar dan sempurna kecuali dengan berdirinya Daulah ini, ditegakkan di atas lima sistem (an-nidzham). Kita perlu menjelaskan hal ini agar mengetahui apakah Daulah Islam telah menerapkan Islam ataukah belum, dan agar kita mengetahui bentuk daulah tersebut—yang aktiviti untuk mewujudkannya menjadi sebuah kewajipan—demi meraih kebangkitan, kemuliaan, dan kebesaran umat. Juga untuk menghukumi—dari segi benar dan tidaknya—negara-negara yang selama ini menamakan dirinya sebagai Daulah Islam.
Sesungguhnya sistem pemerintahan di negara mana pun, merupakan sistem yang mengawasi penerapan seluruh sistem yang ada di dalam negara tersebut dan yang melakukan perbaikan dan pembetulan (correction) berbagai kekurangan yang terjadi dalam pelaksanaan bahagian-bahagian ideologi yang berkaitan dengan pemeliharaan segenap urusan umat di dalam negeri, yakni politik dalam negeri (al-siyasah al-dakhiliyah) seperti sistem pergaulan (sosial), ekonomi, pendidikan, dan sebagainya, serta pemeliharaan urusan umat di luar negeri yang berupa hubungan dengan umat dan negara-negara lain, seperti akad perjanjian, kerjasama, dan kesepakatan, dan usaha menyebarkan ideologi ke seluruh dunia untuk mengemban ideologi tersebut kepada bangsa-bangsa lain, dan ini menjadi politik luar negeri (al-siyasat al-kharijiyah).
Sistem pemerintahan dalam Islam berdiri di atas tujuh pilar (al-rukn) atau struktur/sekretariat (al-jihaz), yakni: khalifah, muawin, wali, qadhi, Amirul jihad, majlis umat, dan jihaz idari.
Khalifah
Khalifah menjadi penguasa tertinggi (al-hakim al-a’la) bagi Daulah Islam yang melaksanakan syariat Islam sebagai orang yang mewakili umat. Selanjutnya dia bertanggungjawab untuk menerapkan Islam di dalam negeri dengan cara menegakkan dan menjaganya menerusi seluruh pegawai pemerintah, dan mengawasi para pembantu pegawainya itu. Dan dia juga bertanggungjawab untuk mengemban dakwah Islam—menyebarkan Ideologi—ke seluruh dunia.
Rasulullah saw. bersabda,
“Barang siapa yang telah membaiat seseorang menjadi imam, lalu dia mengulurkan tangan dan buah hatinya, maka hendaklah dia mentaatinya.”
Juga dari Abu Said al-khudri dari Rasulullah saw.,
“Jika dibaiat dua orang khalifah, maka bunuhlah yang terakhir dari keduanya.”
Adapun syarat-syarat khalifah itu hendaklah seorang lelaki (al-rajul), muslim, adil (al-‘adil), baligh, berakal (al-aqil), dan merdeka (al-hurr), serta hendaklah merupakan seorang yang mampu melaksanakan tugas-tugas seorang khalifah. Dengan demikian, tidak boleh seorang khalifah itu berasal dari kalangan wanita kerana Rasulullah saw. bersabda,
“Tidak akan pernah beruntung suatu kaum yang menyerahkan kekuasaan (pemerintahan) mereka kepada seorang wanita.”
Juga tidak boleh seorang khalifah itu berasal dari seorang kafir kerana Allah SWT berfirman,
وَلَنْ يَّجْعَلَ اللّٰهُ لِلْكٰفِرِيْنَ عَلَى الْمُؤْمِنِيْنَ سَبِيْلًا
“Dan Allah sekali-kali tidak akan memberi jalan kepada orang-orang kafir untuk memusnahkan orang-orang mukmin.” (TMQ An-Nisa: 141)
Juga tidak boleh seorang khalifah itu berasal dari seorang fasik, kerana Allah SWT berfirman tentang dua orang saksi,
وَّاَشْهِدُوْا ذَوَيْ عَدْلٍ مِّنْكُمْ
“…….dan persaksikanlah dengan dua orang saksi yang adil di antara kamu.” (TMQ Ath-Thalaq: 2).
Jika sifat adil menjadi syarat bagi dua orang saksi, maka lebih-lebih lagi bagi seorang khalifah.
Adapun baligh dan berakal menjadi syarat bagi seorang khalifah kerana Rasulullah saw. bersabda,
“Telah diangkat pena (tidak dibebankan hukum) dari tiga orang: seseorang yang tidur hingga ia bangun, dari seorang anak kecil hingga ia baligh, dan dari seorang yang hilang kesedarannya hingga ia berakal.”
Mereka ini tidak diterima tasharuf-nya (tindakan pengelolaan) atas harta mereka sendiri, maka apatah lagi dengan tasharuf mereka atas selainnya. Adapun berkaitan dengan syarat merdeka (al-hurr), kerana seorang hamba sahaya tidak memiliki hak untuk mengatur dirinya sendiri, maka lebih-lebih lagi dengan pengurusan atas perkara-perkara lainnya. Sedangkan berkaitan dengan syarat mampu (al-qadir) untuk melaksanakan tugas-tugas khalifah, kerana hal itu menjadi tuntutan baiat, kerana seorang yang lemah (al-‘ajiz) tidak akan boleh mengurusi rakyat dengan dasar Kitab dan sunnah, sedangkan seorang khalifah dibaiat berdasarkan Kitab dan sunnah.
Semua syarat di atas merupakan syuruth in’iqad (syarat-syarat sahnya pengangkatan) seorang khalifah. Adapun syarat-syarat lainnya, seperti: hendaklah ia seorang mujtahid (pakar ijtihad), atau seorang pemberani, juga keturunan Quraisy, maka semua itu menjadi syuruth afdhaliyah (syarat-syarat keutamaan), bukan syuruth in’iqad.