[Ath-Thariq] Khalifah
Penulis: Syeikh Ahmad Athiyat
Seorang khalifah mencapai kekuasaannya dengan cara pemilihan (al-intikhab) yang dilakukan oleh umat atasnya. Pangkal kekuasaan itu sesungguhnya milik umat, maka umat mewakilkan pada siapa saja yang diinginkannya. Agar pemilihan ini berjalan sempurna, boleh dilakukan melalui tiga cara, yakni: dilakukan oleh umat secara langsung (dengan cara pemilihan umum), melalui ahlul halli wal aqdi yang dipilih oleh umat, atau melalui majlis syura yang mewakili umat.
Jawatan khalifah tidak memiliki batas waktu tertentu (tempoh masa jawatan yang ditentukan). Seseorang akan tetap menjadi seorang khalifah selagi dia memenuhi persyaratan yang menjadikan dia layak menduduki jawatan tersebut sehingga dia tidak boleh disingkirkan atau dipecat kecuali kerana salah satu dari tiga keadaan berikut:
- Jika dia melakukan kekufuran yang nyata (kufran bawwahan). Hal ini berdasarkan perkataan Rasulullah SAW dengan redaksi hadis yang panjang, “… kecuali jika kalian melihat kekufuran yang nyata.” Atau jika dia keluar (murtad) dari Islam, kerana dengan murtad dari Islam, maka dia telah menghilangkan syarat Islam dari seorang khalifah.
- Jika dia sepenuhnya ditawan oleh musuh sehingga dia tidak mungkin dapat dibebaskan dari mereka, atau terjadi sesuatu yang menghalang dia untuk melaksanakan aktivitinya, seperti dia dikuasai oleh seseorang kerana kelemahannya.
- Jika dia menjadi gila yang tidak mampu sembuh lagi. Hal ini kerana akal menjadi salah satu syarat sahnya seseorang diangkat menjadi khalifah (syuruth in’iqad).
Jika jawatan pemimpin negara mengalami kekosongan disebabkan meninggalnya sang pemimpin, atau kerana pemecatan atas dirinya, atau kerana pengasingan atas dirinya, wajib untuk memilih khalifah yang lain dan membaiatnya dalam jangka waktu tiga hari. Dalil atas hal itu adalah kesepakatan (ijmak) para sahabat, mereka meninggalkan Rasulullah SAW dan belum menguburkannya kecuali setelah mereka berjaya memilih seorang khalifah pengganti Rasulullah SAW, sedangkan salah satu tanda menghormati si mayit itu adalah dengan menyegerakan pengebumiannya, sedangkan Rasulullah SAW adalah orang yang paling utama untuk dihormati dan dimuliakan.
Seorang khalifah hendaklah memelihara urusan rakyatnya berdasarkan ijtihad dan pemahamannya terhadap hukum syarak, dan wajib bagi umat untuk mentaatinya selagi dia berkomitmen (iltizam) terhadap syarak. Telah bersabda Rasulullah SAW, “Barang siapa yang mentaati amir (pemimpin), sungguh dia telah mentaatiku, dan barang siapa yang bermaksiat pada seorang amir, maka sungguh dia telah bermaksiat terhadapku.”
Haram bagi umat untuk mentaati khalifah dalam kemaksiatan yang jelas atau perkara yang haram. Hal ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW,
“Bagi seorang muslim wajib untuk mendengar dan mentaati dalam hal yang disukai ataupun dibencinya, kecuali bila dia diperintahkan bermaksiat, maka tidak boleh mendengar dan taat.”
Dan juga berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Ubadah bin Shamit, “…Kami berbaiat pada Rasulullah SAW untuk mendengar dan mentaati perintahnya, baik dalam keadaan yang kami senangi mahupun tidak kami senangi, keadaan senang ataupun susah, serta tidak mengutamakan urusan kami, juga agar kami tidak mengambil dari yang berhak, beliau bersabda, ‘Kecuali jika kalian melihat kekufuran yang nyata yang kalian memiliki hujah atas itu di hadapan Allah.’”
Inilah huraian yang sangat ringkas berkaitan dengan struktur pertama dari Daulah Islam, yakni kepala negara atau khalifah.
Sumber artikel: Syeikh Ahmad Athiyat, Ath-Thariq (Jalan Baru Islam)