[Ath-Thariq] Realiti Pemerintahan Islam
Penulis: Syeikh Ahmad Athiyat
Dalam tulisan sebelumnya telah dibahas tentang pilar dan asas pemerintahan dalam Islam dan ini pula yang mesti diterapkan dalam Daulah Islam dan menjadi kewajipan kaum muslim di setiap saat dan tempat sehingga segala hukum (selain sistem Islam) dianggap bertentangan dengan Islam dan tidak boleh bagi kaum muslim untuk menerimanya atau mendiamkannya. Sistem pemerintahan dengan bentuk sebagaimana yang telah kami paparkan tadi adalah sistem yang wajib diwujudkan oleh kaum muslim dalam kancah kehidupan sehingga berbagai hukum ditegakkan agar mereka beruntung dan meraih kebangkitan, kebahagiaan, dan ketenteraman.
Dengan merujuk pada realiti Daulah Islam yang dahulu ada, kita mendapati bahawa sistem ini berjaya diterapkan. Belum pernah ada satu masa pun yang dilalui kaum muslim tanpa adanya seorang khalifah pada mereka. Kaum muslim generasi pertama telah menunda pemakaman Rasulullah SAW, padahal menunda pemakaman itu termasuk perkara makruh, demi mewujudkan seorang khalifah. Hal itu tiada lain kerana mewujudkan seorang khalifah sesegera mungkin menjadi sebuah kewajipan (fardhu) atas kaum muslim.
Kaum muslim, setelah masuknya bangsa Tartar ke Baghdad pada tahun 1256 M atau 656 H, memindahkan kekhalifahan ke Mesir, kemudian ke Istanbul, dan terus tegak di sana hingga tahun 1918 ketika Daulah Khilafah runtuh dan kaum muslim “hilang”.
Adapun berkaitan dengan pernyataan sebahagian orang bahawa Khilafah dalam Daulah Islam merupakan hak waris sebagaimana pemerintahan kerajaan atau kekaisaran, maka ketahuilah bahawa pernyataan seperti merupakan pernyataan yang batil. Khilafah—sebagaimana telah kami paparkan—mesti diwujudkan dengan baiat, jika baiat tersebut ada, kekhalifahan tersebut sah (valid). Dengan merujuk pada apa yang didapati ini boleh dimpulkan bahawasanya seorang khalifah tidak ditetapkan tanpa adanya sebuah baiat.
Adapun berkaitan dengan apa yang telah terjadi pada sebahagian khalifah yang mereka menetapkan kekhalifahan bagi anak dan kerabat mereka ketika mereka berkuasa, maka ini tidak boleh dianggap sebagai baiat yang hakiki dan juga yang menetapkan pemberi baiat itu bukanlah para khalifah. Yang menjadikan mereka sebagai khalifah hanyalah kerana umat membaiat mereka, setelah tidak adanya khalifah terdahulu.
Adapun kaum muslim menyukai orang yang disebutkan dan dicalonkan atau dipuji oleh khalifah terdahulu agar menjadi khalifah mereka, maka hal tersebut tidak bertentangan dengan keberadaan Khilafah yang hanya terwujud dengan adanya baiat, dan hal ini sama sekali tidak menunjukkan pada adanya pewarisan.
Telah kami katakan bahawa pilihan raya khalifah itu boleh terlaksana dengan berbagai cara (uslub) yang berbeza-beza; boleh melalui majlis syura, atau ahlul halli wal aqdi, atau pilihan raya umum. Tetapi yang terjadi pada masa-masa terakhir Daulah Islam, baiat itu diambil dari Syaikhul Islam, dan ini boleh disebut sebagai penerapan terburuk, tetapi bukan bermakna Islam tidak diterapkan.
Kita tidak boleh menyebut orang buruk dalam melakukan solatnya sebagai seorang yang tidak melaksanakan solat, tetapi kita cukup menyebutnya sebagai orang yang tidak baik dalam solatnya. Begitu pula dengan buruknya cara pengambilan baiat tidak boleh disebut sebagai ketiadaan baiat atau adanya pewarisan, hal ini boleh disebut sebagai penerapan yang buruk saja.
Ini berkaitan dengan Khilafah atau khalifah, adapun berkaitan dengan mu’awin (pembantu khalifah) dan para wali serta para pegawai administrasi (al-jihaz al-idariy), sesungguhnya para penjajah ketika memasuki negeri-negeri Islam ini mendapati bahawa berbagai peringkat tersebut telah tegak dan terus melakukan aktivitinya, hal ini menunjukkan secara pasti akan keberadaannya.
Adapun berkaitan dengan para qadhi, ada beberapa indikasi yang menunjukkan dengan jelas bahawa apa yang telah mereka terapkan itu adalah hukum Islam, tidak ada satu pun yang bukan dari Islam, di antaranya:
1. Bahawasanya arkib-arkib mahkamah yang ada di sebahagian besar kota-kota Islam dahulu seperti Quds, Baghdad, Damsyik, Kaherah, dan Istanbul, di dalamnya tidak terkandung satu keputusan hukum pun selain Islam.
2. Banyaknya orang Nasrani dan Yahudi yang mempelajari dan menyusun fikih Islam, seperti Salim Baz yang mentafsirkan Al-Majallah dan yang lainnya, iaitu mereka menyusun fikih dan undang-undang Islam pada masa kejatuhan khilafah, dan ini tidaklah menunjukkan sesuatu pun kecuali bahawa fikih Islam itu diterapkan sehingga jika tidak, apakah yang mendorong mereka menyusunnya?
Hingga belum lama berselang, banyak negeri-negeri yang belum dimasuki penjajah, masih menerapkan Islam dalam bidang kehakiman seperti Arab, Kuwait, dan sebahagian negeri-negeri Teluk, Afganistan, di samping negeri-negeri Islam lainnya. Hingga hari ini negeri-negeri tersebut masih menerapkan Islam dengan apa yang disebut dengan al-ahwal asy-syakhshiyyah (undang-undang sivil).
Dalil yang tetap dan pasti adalah bahawasanya kaum muslim, walaupun mereka banyak menterjemahkan falsafah, ilmu pengetahuan, dan peradaban asing seperti Parsi dan Yunani, tetapi mereka belum pernah menterjemahkan satu teks perundangan pun dari undang-undang bangsa lain tersebut, tidak dalam legislasi ataupun dalam undang-undang. Bahkan boleh dipastikan bahawa mereka tidak mengenal undang-undang paling terkenal di dunia sebelum datangnya Islam, yakni undang-undang Romawi. Ini semua menunjukkan dengan pasti bahawasanya peradilan Islam-lah yang diterapkan sepanjang masa daulah Islam berdiri.
Sedangkan apa yang masuk dari undang-undang tersebut pada masa-masa akhir Daulah Islam dan menyalahi atau bercanggah dengan Islam, maka hal itu dimasukkan berdasarkan fatwa ketua ulama yang jahil, kemudian kaum muslim mengamalkannya atas dasar anggapan bahawa undang-undang tersebut berasal dari Islam. Dengan demikian, berbeza antara orang yang mengamalkan sesuatu dengan berprasangka bahawasanya sesuatu itu berasal dari Islam dengan orang yang mengamalkan sesuatu dalam keadaan mengetahui bahawa sesuatu itu berasal dari hukum kufur.
Kemudian berbagai undang-undang seperti Undang-Undang Jenayah Kerajaan Uthmaniyah tahun 1857 M, Undang-undang Kewangan dan Perdagangan tahun 1858 M, Undang-undang Prosedur tahun 1878 M, maka semua undang-undang ini diabaikan sejurus selepas ia digubal, kerana kaum muslim merasakan undang-undang tersebut tidak penting dan tidak bermanfaat. Berdasarkan hal ini, jelaslah bahawa dalam bidang kehakiman dan perundangan, Islam telah diterapkan dalam semua aspek peradilan hinggalah runtuhnya Daulah Islam.
Adapun berkaitan dengan angkatan bersenjata, maka penamaannya dengan nama tentera yang tidak pernah boleh ditaklukkan, hingga kini masih tergambar dalam fikiran bangsa Barat. Adapun Majlis Syura, maka realitinya tidak ditunjukkan oleh banyaknya jarak waktu sebagaimana sebuah majlis independen (bebas) dan istimewa saat ini. Sesungguhnya majlis syura ini secara terus menerus bermusyawarah di sekitar khalifah yang meminta pendapat majlis dalam urusan umat. Contoh yang paling jelas dalam hal ini adalah Majlis Dua Delegasi Uthmani (majlis al-mab’utsan al-‘utsmaniy).
Sumber artikel: Syeikh Ahmad Athiyat, Ath-Thariq (Jalan Baru Islam)