[Pemikiran Politik Islam] Tanggungjawab Umum (Bahagian 4/5)
Penulis: Syeikh Abdul Qadim Zallum
Kewajipan dan tanggungjawab para pemimpin tersebut di atas menunjukkan bahawa Allah SWT telah menentukan tanggungjawab umum dengan cara yang paling sederhana. Tanggungjawab tersebut dibebankan kepada setiap pemimpin, baik khalifah, pembantu khalifah (mu’awin), gabenor, atau pun pemimpin wilayah (‘amil).
Setiap orang di antara mereka merupakan pemimpin dan masing-masing mempunyai tanggungjawab. Kewajipan tersebut juga merupakan tanggungjawab para wali dan amir, maka demikian pula hal itu merupakan tanggungjawab para khalifah. Apabila suatu hal merupakan kewajipan seorang amir, tentu saja hal tersebut juga merupakan kewajipan seorang amir besar, iaitu khalifah.
Sabda Rasulullah SAW bahawa, “Tiada seorang hamba pun yang menerima tanggungjawab mengenai segala sesuatu …”, “Pengkhianat yang paling buruk adalah seorang pemimpin umat. …”, dan firman Allah, “Barang siapa tidak memutuskan menurut apa yang diturunkan Allah SWT, maka mereka itu adalah orang-orang yang kafir, …. zalim, …, fasik …” Seluruh seruan ini bersifat umum.
Seruan tersebut ditujukan kepada para gabenor dan para khalifah. Begitu pula seruan Rasul SAW adalah suatu seruan yang ditujukan kepada para pemimpin, baik para khalifah mahupun para gabenor. Selain itu, Rasulullah SAW juga menjelaskan tanggungjawab khalifah atas semua yang menjadi urusannya.
Imam Al-Bukhari meriwayatkan dari ‘Abdullah ibnu ‘Umar ra. bahawa Rasulullah SAW berkata, “Setiap kalian adalah pemimpin dan (setiap pemimpin) akan dimintai pertanggungjawaban (atas kepemimpinannya). Setiap imam adalah pemimpin umat dan dia bertanggungjawab atas semua urusannya. Setiap lelaki adalah pemimpin keluarga dan dia bertanggungjawab atas keluarganya. Setiap perempuan adalah pemimpin rumah tangga suaminya dan anak-anak (mereka) dan dia bertanggungjawab atas urusan tersebut. Setiap hamba sahaya adalah pemimpin atas harta benda majikannya dan dia bertanggungjawab atas harta benda majikannya tersebut. Kamu semua adalah pemimpin dan kamu akan bertanggungjawab atas urusanmu itu.”
Hadis ini menunjukkan tanggungjawab umum seorang khalifah atas semua hal yang menjadi urusannya. Dengan demikian, setiap pemimpin (termasuk di antaranya para khalifah) memiliki tanggungjawab umum itu.
Allah SWT sepenuhnya menjamin pelaksanaan tanggungjawab umum para pemimpin dengan memberikan petunjuk dan hukum-hukum yang harus dilaksanakan. Petunjuk Allah SWT diberikan kepada para pemimpin dalam bentuk peringatan mengenai hukuman bagi pemimpin yang tidak melaksanakan kewajipannya atau mengabaikan tugas-tugasnya.
Hal ini ditunjukkan dengan penjelasan tentang kehinaan dan penyesalan pada Hari Pembalasan apabila seorang pemimpin, akibat kelemahan peribadinya, tidak mampu menjalankan imarah (kepemimpinan) dengan sebaik-baiknya. Rasulullah SAW juga berdoa kepada Allah SWT agar memberikan kesulitan kepada para pemimpin yang menyebabkan kesulitan bagi kaum muslim.
Bahkan, Allah SWT mengharamkan syurga bagi pemimpin yang tidak memberikan nasihat yang tulus kepada umat. Itulah sebahagian peringatan Allah kepada para pemimpin yang menunjukkan hukuman Allah bagi pemimpin yang tidak memenuhi tanggungjawabnya.
Tidak cukup di sini saja, syariat juga memberikan tugas kepada umat untuk menjadi pengawas para pemimpin. Ini dilakukan untuk melihat apakah para pemimpin melaksanakan tanggungjawabnya dengan sepenuhnya. Bahkan, umat diwajibkan melawan pemimpin muslim yang menjalankan pemerintahan berdasarkan hukum selain dari Islam, atau apabila dia melakukan kekufuran yang nyata.
Islam menjelaskan bahawa siapa saja yang mati dalam aktiviti menentang kemungkaran para pemimpin adalah penghulu syuhada. Rasulullah SAW bersabda, “Penghulu syuhada adalah Hamzah ibnu Abdul Mutallib dan (yang setara dengannya) orang-orang yang berdiri di hadapan penguasa yang zalim, memerintahkannya (yang makruf) dan melarangnya (dari perbuatan yang mungkar), lalu ia (pemimpin tersebut) membunuhnya.” (HR Al-Hakim dari Jabir).
Islam menegaskan bahawa siapa saja yang menerima perbuatan yang salah dari seorang pemimpin dan secara sukarela mengikutinya, maka dia akan mempertanggungjawabkannya di hadapan Allah dan tidak akan bebas dari hukuman Allah Taala.
Imam Muslim meriwayatkan dari Ummu Salamah bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Akan ada para amir (penguasa), maka kalian (ada yang) mengetahui perbuatannya dan (ada pula yang) mengingkarinya. Siapa saja yang mengetahui, maka ia terlepas. Dan siapa saja yang mengingkari, maka ia akan selamat. Namun, siapa saja yang rela (dengan perbuatannya yang bertentangan dengan hukum syariat) dan mengikutinya, (maka ia telah berdosa). Para sahabat bertanya, ‘Apakah kita tidak memerangi mereka?’ Beliau menjawab, ‘Tidak, selama mereka masih solat (menerapkan hukum-hukum Islam).’”
Sumber: Syeikh Abdul Qadim Zallum, Pemikiran Politik Islam, Upaya Membumikan Politik Sebagai Mainstream Gerakan.