[Ath-Thariq] Kaedah Pemerintahan Islam
Penulis: Syeikh Ahmad Athiyat
Ditinjau dari segi kaedah pemerintahan Islam, maka Daulah Islam bertumpu pada empat kaedah, yakni:
- Kedaulatan ada di tangan syarak.
- Kekuasaan ada di tangan umat.
- Menetapkan (mengangkat) satu khalifah.
- Hak pengadopsian hukum syarak.
Keempat-empat kaedah ini menjadi asas sistem pemerintahan Islam, hilangnya salah satu dari keempat asas tersebut membawa makna pada ketiadaan pemerintahan Islam, atau hilangnya kekuasaan Islam.
- Kedaulatan Ada di Tangan Syarak
Maksudnya adalah bahawa hak untuk menetapkan hukum (legislatif) dan menetapkan undang-undang yang diperlukan rakyat untuk mengatur kehidupan mereka semata-mata menjadi hak syarak, bukan manusia. Hanya syarak satu-satunya yang menetapkan tatacara yang perlu dipatuhi oleh seluruh rakyat dalam memenuhi keperluan jasmani dan nalurinya. Dengan demikian, keinginan rakyat sejalan dengan perintah dan larangan Allah SWT, kerana asal setiap perbuatan itu terikat dengan hukum syarak, berdasarkan firman Allah SWT,
فَلَا وَرَبِّكَ لَا يُؤْمِنُوْنَ حَتّٰى يُحَكِّمُوْكَ فِيْمَا شَجَرَ بَيْنَهُمْ ثُمَّ لَا يَجِدُوْا فِيْٓ اَنْفُسِهِمْ حَرَجًا مِّمَّا قَضَيْتَ وَيُسَلِّمُوْا تَسْلِيْمًا
“Maka demi Tuhanmu, mereka (pada hakikatnya) tidak beriman hingga mereka menjadikan kamu hakim dalam perkara yang mereka perselisihkan, kemudian mereka tidak merasa keberatan dalam hati mereka atas putusan yang kamu berikan, dan mereka menerima dengan sepenuhnya.” (TMQ An-Nisa: 65).
dan sabda Rasulullah SAW,
لاَيُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يَكُونَ هَوَاهُ تَبَعاً لِمَا جِئْتُ بِهِ
“Tidaklah beriman salah seorang dari kamu hingga ia menjadikan keinginannya selaras dengan apa (ajaran) yang aku bawa.”
- Kekuasaan Ada di Tangan Umat
Yakni umat memiliki hak untuk memilih penguasa yang akan mewakilinya dalam menerapkan Islam.
Rasulullah SAW bersabda,
وَمَنْ مَاتَ وَلَيْسَ في عُنُقِهِ بَيْعَةٌ ، مَاتَ مِيتَةً جَاهِلِيَّةً
“Barang siapa yang mati, sedangkan di pundaknya tidak ada baiat, maka dia mati dalam keadaan jahiliah.”
Islam mewajibkan kepada umat untuk membaiat khalifah yang akan memerintahnya (mengurusnya) dengan berlandaskan Kitabullah dan sunnah Rasulullah SAW. Umat tidak boleh mewujudkan khalifah kecuali dengan cara baiat, kerana keumuman berbagai hadis yang ada yang berkaitan dengan masalah itu. Rasulullah SAW bersabda,
“Ada tiga orang yang pada hari kiamat nanti, Allah SWT tidak akan mengajak bicara pada mereka, tidak menyucikan mereka, dan mereka akan mendapatkan seksaan yang pedih. Pertama, orang yang memiliki kelebihan air di jalan, tetapi melarang ibnu sabil (musafir yang kehabisan bekal) memanfaatkannya. Kedua, orang yang telah membaiat imam, dia tidak membaiatnya kecuali kerana kepentingan keduniaannya; jika diberi apa yang diinginkan, dia menepati baiatnya, kalau tidak, dia tidak akan menepatinya. Ketiga, orang yang menjual barang dagangan kepada orang lain setelah waktu Asar, lalu dia bersumpah demi Allah dia telah diberi keuntungan dengan barang dagangan itu sekian dan sekian, orang (calon pembeli) itu memercayainya lalu membeli dagangan tersebut, padahal dia (penjual) tidak diberi keuntungan dengan dagangan itu.” (HR Bukhari dan Muslim).
Hadis ini menunjukkan atas wajibnya seorang muslim untuk mentaati khalifah dalam berbagai situasi dan keadaan. Dalam hadis Ubadah bin Shamit,
بَايَعْنَا رسول الله صلى الله عليه وسلم على السَّمع والطَّاعَة في العُسْر واليُسْر، والمَنْشَطِ والمَكْرَه
“Kami telah membaiat Rasulullah SAW untuk setia mendengarkan dan mentaati perintahnya, baik dalam keadaan susah mahupun mudah, baik dalam keadaan yang kami senangi ataupun tidak kami senangi.”
Rasulullah SAW bersabda,
مَنْ كَرِهَ مِنْ أَمِيرِهِ شَيْئًا فَلْيَصْبِرْ ، فَإِنَّهُ مَنْ خَرَجَ مِنَ السُّلْطَانِ شِبْرًا مَاتَ مِيتَةً جَاهِلِيَّةً
“Barang siapa tidak menyukai sesuatu dari pemimpinnya, hendaklah dia tetap bersabar. Sebab, tiada seorang pun keluar (memberontak) dari penguasa sejengkal saja kemudian mati dalam keadaan demikian, kecuali dia mati dalam keadaan jahiliah.”
Dari Abu Hurairah dari Nabi SAW, beliau SAW bersabda,
كانت بنو إسرائيل تَسُوسُهُمُ، الأنبياء، كلما هلك نبي خَلَفَهُ نبي، وإنه لا نبي بعدي، وسيكون بعدي خلفاء فيكثرون»، قالوا: يا رسول الله، فما تأمرنا؟ قال: «أوفوا ببيعة الأول فالأول، ثم أعطوهم حقهم، واسألوا الله الذي لكم، فإنَّ الله سائلهم عما اسْتَرْعَاهُم
“Dahulu Bani Israil selalu dipimpin dan dipelihara urusannya oleh para nabi. Setiap kali seorang nabi meninggal, diganti oleh nabi yang lain. Sesungguhnya tidak akan ada lagi nabi sesudahku. (Namun), nanti akan banyak khalifah. Para sahabat bertanya, ‘Apakah yang engkau perintahkan kepada kami?’ Beliau SAW menjawab, ‘Penuhilah baiat yang pertama dan yang pertama saja, berikanlah pada mereka haknya, kerana Allah nanti akan menuntut pertanggungjawaban mereka tentang rakyat yang dibebankan urusannya pada mereka.” (HR Muslim dari Abu Hazim).
Hadis-hadis ini menunjukkan bahawa khalifah mendapatkan kekuasaan semata-mata kerana adanya baiat. Dengan demikian, jelaslah bahawa seorang pun tidak boleh untuk menduduki jawatan khalifah tanpa adanya baiat.
- Menetapkan (Mengangkat) Satu Khalifah
Dari kaedah yang ketiga ini ada dua perkara yang boleh difahami:
Pertama, adanya kewajipan untuk mewujudkan khalifah.
وَمَنْ مَاتَ وَلَيْسَ في عُنُقِهِ بَيْعَةٌ ، مَاتَ مِيتَةً جَاهِلِيَّة
“Barang siapa yang mati, sedangkan di pundaknya tidak ada baiat, maka dia mati dalam keadaan jahiliah.”
Dan kedua, kewajipan untuk mengangkat satu orang khalifah saja (tidak berbilang) dalam Daulah Islam atau kewajipan untuk mewujudkan satu negara bagi kaum muslimin.
“Apabila telah dibaiat dua orang khalifah, maka bunuhlah yang terakhir dari keduanya.” (HR Muslim).
- Hak Pengadopsian Hukum Syarak.
Sebagaimana diketahui, bahawasanya hukum-hukum syarak yang terdapat dalam Kitab dan sunnah memiliki dua jenis dilalah. Pertama, qathiy al-dilalah (penunjukkannya pasti sehingga hanya mengandung satu pengertian), kerana itu tidak ada peluang untuk berijtihad di dalam nas tersebut.
Seperti firman Allah SWT,
وَالسَّارِقُ وَالسَّارِقَةُ فَاقْطَعُوْٓا اَيْدِيَهُمَا
“Lelaki yang mencuri dan perempuan yang mencuri, potonglah tangan keduanya.” (TMQ Al-Maidah: 38).
Kedua, dzanniy al-dilalah (nas yang penunjukannya tidak pasti sehingga mengandungi lebih dari satu pengertian), yang oleh sebab itu usaha ijtihad untuk mengetahui hukum Allah tersebut menjadi sebuah kemestian.
Seperti firman Allah SWT,
اَوْ لٰمَسْتُمُ النِّسَاۤءَ فَلَمْ تَجِدُوْا مَاۤءً فَتَيَمَّمُوْا صَعِيْدًا طَيِّبًا
“……atau kamu telah menyentuh perempuan, kemudian kamu tidak mendapat air, maka bertayamumlah kamu dengan tanah yang baik (suci).” (TMQ An-Nisa: 43).
Dalam memahami nas ini, ijtihad menjadi sebuah keperluan sehingga menimbulkan pemahaman yang beragam. Dalam hal ini, hanya di tangan khalifah saja adanya hak untuk ikhtiar (memilih) salah satu dari berbagai pemahaman tersebut—tentunya didasarkan pada kekuatan dalil (quwat al-dalil)—dan tarjih (menetapkan sesuatu kerana lebih kuat dalilnya), dan wajib bagi kaum muslim untuk beramal dengannya dan perkara tersebut berlaku secara efektif. Hanya di tangan khalifah saja adanya hak untuk mengadopsi hukum syarak.
Sumber artikel: Syeikh Ahmad Athiyat, Ath-Thariq (Jalan Baru Islam)