Ulama: Penunjuk dan Penentu Kebaikan Umat (Bahagian 1)
Ilmu didefinisikan sebagai informasi (al-ma’lûmât) dan pengetahuan (al-ma’ârif) yang diterima oleh manusia, baik dari makhluk atau dari Allah. Jika dari makhluk, ia akan banyak menyesatkan dan menipu, kerana makhluk bersifat lemah dan memerlukan yang lain. Jika dari Allah, ia pasti akan membawa manusia ke jalan yang benar dan lurus, serta memberi manusia petunjuk.
Islam sangat menggalakkan manusia untuk mencari dan memiliki ilmu. Dengan ilmu, segala urusan di dunia dan akhirat akan menjadi baik dan benar. Sebaliknya, tanpa ilmu, akan rosaklah segala tanaman dan ternakan.
Allah SWT telah mengajarkan ilmu kepada Adam. Allah SWT telah menjadikan ilmu sebagai ukuran ketakwaan, kemuliaan dan keutamaan. Allah SWT mengutamakan anak cucu Adam dengan ilmu atas seluruh alam, memuliakan mereka atas segala makhluk-Nya yang lain, seperti jin, malaikat dan syaitan, walaupun kadangkala kuasa jin atau syaitan lebih kuat daripada manusia.
Ilmu adalah untuk semua manusia, bukan khusus untuk orang tertentu sahaja. Walau bagaimanapun, terdapat pelbagai perbezaan dalam kebolehan individu. Ada orang yang cerdik pandai, cepat faham, kuat hafalannya dan mampu mengaitkan hukum Islam dengan realiti dan kelebihan lain yang membezakan seseorang individu dengan orang lain. Ilmu banyak memberi kebaikan kepada golongan ulama. Mereka tidak mempunyai monopoli ke atasnya. Ilmu adalah untuk semua. Kerana itu, para ulama ibarat kumpulan bintang yang mempunyai pelbagai sifat yang menghiasinya:
- Warak, takwa dan takut kepada Allah SWT
- Berani untuk mengatakan kebenaran. Bahkan di hadapan penguasa zalim sekalipun.
- Cinta dan kasih sayang kepada kaum Muslim serta sangat pemaaf.
- Bukan penjilat, oportunis dan pencari publisiti.
- Banyak mendekatkan diri kepada Allah dengan berbagai ketaatan, sedekah, solat, puasa dan membaca Al-Quran.
- Bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu dan mengajarkannya, membahas masalah dan dalil-dalilnya. Semua itu dilakukan demi menggali hukum syariah dari dalil-dalilnya dengan lebih terperinci.
Ilmu menjadikan dunia makmur dan bangkit. Ilmu adalah amanah (kepercayaan) dan tanggungjawab yang besar. Gunung-gunung sendiri enggan memikulnya, namun manusia sebagai makhluk yang lemah dan terbatas menerimanya.
Ulama dengan ilmunya adalah pewaris para nabi. Mereka memiliki peranan khusus untuk menghidupkan alam semesta. Mereka memiliki tugas mulia dan tanggungjawab besar, iaitu untuk meluruskan berbagai penyimpangan di tengah umat, baik yang dilakukan oleh para penguasa atau yang lainnya, serta meluruskan setiap pemikiran yang salah dan keliru.
Berkat para ulama, umat akan benar-benar bangkit pemikirannya secara menyeluruh tentang alam semesta dan kehidupan, yang membuahkan revolusi mengakar dan radikal, besar dan terus meningkat bagaikan bebola salji. Semua itu adalah kerana umat mengambil akidah Islam dan hukum-hukumnya sebagai sebuah ideologi yang diterapkan dalam kehidupan nyata dan mengarah pada pembinaan semula yang terbaik bagi alam semesta.
Ulama memiliki tugas berat dan tanggungjawab besar dalam menolak dan menyangkal setiap ideologi bathil dan setiap pemikiran yang lahir darinya. Perkara itu dilakukan dengan menjelaskan segala kerosakan dan kepalsuannya. Kemudian menghancurkannya dan mencabut pemikiran yang rosak itu dari akarnya, lalu menggantikannya dengan ideologi Islam, yang melahirkan hukum-hukum Islam untuk semua aspek kehidupan.
Banyak teladan dari sikap para ulama dalam meluruskan berbagai penyimpangan para penguasa dan dalam menasihati mereka. Beberapa di antara mereka adalah sebagai berikut :
- Syaikhul Islam Ibnu Taymiyah: Menggerakkan Tentera dalam Perang Syahab.
Pada bulan Rejab 702 Hijrah, tersebar berita tentang niat Tatar untuk memasuki negeri Syam. Orang ramai menjadi cemas dan kelihatan sangat takut. Tatar tiba di Homs dan Baalbek. Mereka membawa malapetaka untuk negara ini. Mereka mula melakukan perang psikologi (propaganda) dengan menyebarkan pelbagai berita yang menambah ketakutan, melemahkan tekad para pejuang dan membuat rakyat berputus asa. Mereka berkata: “Tidak ada kekuatan bagi orang Islam untuk memerangi Tatar, kerana bilangan orang Islam sedikit, manakala bilangan Tatar banyak.”
Namun, kerana kuatnya pengaruh dan keyakinan para ulama, mereka mampu melawan perang psikologi yang keji ini, yang bertujuan untuk ’membunuh’ umat sebelum berperang.
Para ulama bersikap seperti singa garang yang mengaum sehingga dunia melihat mereka sebagai kekuatan yang tiada tandingannya. Di antaranya adalah sikap Syaikhul Islam Ibnu Taymiyah rahimahulLah dalam melawan perang psikologi yang membuatkan kaum Muslim merasa lemah. Para ulama berjaya menyakinkan sejumlah pemimpin untuk melawan Tatar, apa pun keadaannya. Para ulama juga mendorong semangat dalam diri mereka serta rakyat untuk terus berjuang, dan meminta warga Damsyik untuk tidak meninggalkan perjuangannya. Syaikhul Islam Ibn Taymiyah Rahimahullah mempunyai pengaruh terbesar dalam membangun sikap ini.
Beliau berusaha membangkitkan emosi dan semangat umat serta mempersiapkan mereka untuk berperang. Beliau pergi menuju ketenteraan yang tiba dari Hama. Setelah bertemu mereka, beliau memberitahu mereka tentang pakatan para pemimpin untuk melawan musuh. Syaikhul Islam Ibnu Taymiyyah bersumpah kepada para pemimpin dan masyarakat dengan mengatakan, “Sungguh, kalian kali ini adalah orang-orang yang dimenangkan.”
Para pemimpin berkata kepada beliau, “Katakanlah, insya Allah.” Beliau berkata, “Insya Allah, kemenangan itu nyata bukan janji.” Dalam hal ini, beliau mentafsirkan sesuatu dari Kitabullah. Di antaranya firman Allah SWT (yang bermaksud): “Demikianlah (janji balasan Allah yang melimpah-limpah itu). Dan sesiapa yang membalas kejahatan orang, sama seperti yang dilakukan kepadanya, kemudian ia dianiaya lagi, demi sesungguhnya Allah akan menolongnya.” [TMQ al-Hajj (22): 60].
Namun, di tengah mereka muncul syubhat (keraguan) yang dapat melemahkan kekuatan mereka dalam menghadapi tentera Tatar, iaitu pernyataan: “Bagaimana kita hendak memerangi Tatar, sedangkan mereka menampakkan Islam, dan mereka bukan pemberontak kepada Imam (Khalifah). Mungkin mereka tidak taat pada waktu itu dan kemudian mereka melanggarnya?!”
Syaikhul Islam Ibnu Taymiyah rahimahulLah menjawab syubhat tersebut dengan mengatakan: “Mereka itu tidak ubahnya seperti kaum Khawarij yang memberontak terhadap Ali dan Muawiyah radhiyalLahu ‘anhuma. Mereka yakin bahawa mereka lebih berhak memimpin daripada keduanya. Mereka menganggap bahawa mereka lebih layak daripada kaum Muslim. Mereka adalah pelaku kemaksiatan dan kezaliman.”
Sikap itu begitu jelas sehingga syubhat itu pun hilang. Syaikhul Islam menegaskan sikapnya dengan mengatakan, “Jika kalian melihat saya di sisi itu—iaitu di sisi musuh—sementara di atas kepala saya ada Al-Quran, maka kalian perlu membunuh saya.”
Sikap tegas ini telah mendorong masyarakat untuk melawan Tatar dan meneguhkan hati mereka. Benteng Damsyik dipenuhi dengan orang ramai yang berdatangan sehingga jalanan menjadi sibuk. Syaikhul Islam Ibnu Taymiyah rahimahulLah keluar dari Damsyik di pagi hari Khamis, dari Bab al-Nasr dengan begitu sukar, dan diikuti dengan orang ramai dalam jumlah yang besar untuk berperang melawan Tatar.
Di sinilah pentingnya peranan para ulama ketika Khilafah Rasyidah kedua tegak kelak. Dengan izin Allah, berbagai konspirasi akan terus berlaku, sikap permusuhan dan konspirasi seperti ini akan terus ada. Bahkan akan lebih banyak lagi dimunculkan berbagai syubhat. Keadaan seperti ini tidak jauh berbeza dengan realiti kita sekarang. Kerana itu, sikap seperti inilah yang sepatutnya kita lakukan!
Kerana itu juga, para ulama memiliki tanggungjawab besar sebelum dan sesudah tegaknya Khilafah, iaitu untuk terus mendorong umat, menggalakkan semangat berperang, menyebarkan Islam, membongkar tipu daya musuh dan menguatkan akidah umat.
Wahai Ibnu Taymiyyah, anda telah melakukan kebaikan untuk umat. Semoga Allah merahmati anda dengan balasan yang lebih baik di akhirat. Anda telah menolak syubhat yang telah melemahkan umat. Seandainya bukan kerana ilmu anda, sudah pasti umat akan jatuh ke dalam jurang berbagai syubhat.
Begitulah sepatutnya para ulama kita dalam menerima nasihat dan berwaspada terhadap berbagai syubhat yang boleh menyebabkan umat menjadi lemah dan kalah.
- Imam Ahmad bin Hanbal: Teguh di Zaman Fitnah.
Imam Ahmad mempunyai sikap yang tegas dan penuh keberanian dalam menghadapi Khalifah al-Ma’mun, pengasingannya, dan kesesatan umatnya terkait iman dan kitab sucinya. Beberapa muridnya datang kepadanya dan berkata, “Mengapa Anda tidak bertakwil wahai Imam kami?” Beliau berkata “Bagaimanakah aku dapat bertakwil, sedangkan orang-orang di belakang pintu menuliskan apa yang aku katakan?”
Beliau dibelenggu, diseksa dan dipenjara selama bertahun-tahun. Namun, semua itu tidak menghalang beliau dari mengingati Allah SWT
Sikap inilah yang membawa Imam Ahmad pada kedudukan yang tinggi. Salah seorang ulama berkata, “Saya tidak melihat seorang anak muda dan ilmunya masih sedikit yang lebih teguh menjalankan perintah Allah daripada Muhammad bin Nuh. Saya berharap Allah menjadikan dia husnul khatimah. Suatu hari, dia berkata kepada saya saat kami berdua berada di tempat yang sunyi, ‘Wahai Abu Abdillah, bertakwalah kepada Allah. Sungguh anda tidak seperti saya. Anda merupakan teladan umat. Mereka telah menyerahkan beban kepada anda kerana mereka percaya kepada anda. Bertakwalah kepada Allah dan teguhlah dalam menjalankan perintah-Nya.’ Imam Ahmad berkata, ‘Saya kagum atas sokongan yang diberikan kepada saya. Begitu juga nasihatnya.’”
Ketika beliau bakal disebat di dalam penjara, seorang lelaki yang berada di penjara yang sama berkata kepada beliau, “Wahai Ahmad! Saya seorang pencuri. Setiap kali saya mencuri, saya ditangkap dan disebat. Namun, saya terus dan tetap mencuri. Pukulan itu tidak dapat mempengaruhi saya. Adapun anda, anda berada di sini demi melindungi akidah anda. Maka berhati-hatilah, jangan sampai saya justeru lebih teguh daripada anda. Bersedialah untuk disebat.”
SubhanAllah! Bagaimana keteguhan ini boleh muncul? Dari mana datangnya keteguhan itu? Dari seorang pencuri! Demi Allah, saya tidak mampu menahan tumpahan air mata saat mendengarkan pengajaran dari sikap yang agung ini.
Sepatutnya para ulama mengambil pelajaran dari sikap ini. Sepatutnya para ulama kita memiliki karakter yang mulia ini iaitu mengatakan kebenaran dan merasa bertanggungjawab terhadap umat, tidak bersifat mementingkan diri serta membangga diri demi menyelamatkan umat Islam dan negaranya.
- Imam al-Buwaithi: Aku Lebih Memilih Mati dalam Keadaam Terikat dengan Rantai-Rantai Besi Ini, Agar Suatu Hari Nanti, Orang-Orang Mengerti Bahawa Telah Mati dalam Mempertahankan Keyakinan Ini Seseorang yang Terbelenggu dalam Ikatan-Ikatan Besi.
Imam al-Buwaithi, Yusuf Abu Ya’qub bin Yahya al-Mishri, adalah seorang yang sangat alim dan pemimpin ahli fikh. Beliau merupakan murid kesayangan Imam Syafie. Beliau seorang imam dalam ilmu dan teladan dalam amal. Beliau seorang yang zuhud, rabbani dan mujtahid. Lisannya selalu basah dengan zikir kepada Allah SWT.
Ibn Abi Du’ad, seorang pemimpin Muktazilah, melalui sepucuk surat yang dihantarnya, meminta gabenor Mesir memaksa al-Buwaithi untuk mengatakan bahawa Al-Quran adalah makhluk. Al-Buwaithi enggan melakukannya. Tetapi, wali itu cuba berhelah dan berkata kepadanya, “Katakanlah ini antara kamu dan saya.” Al-Buwaithi berkata, “Di belakangku terdapat ratusan ribu orang yang tidak memahami maksud semua ini. Saya tidak mahu mereka tersesat kerana saya.” Akhirnya al-Buwaithi terpaksa meninggalkan Mesir menuju Baghdad.
Ar-Rabi’ bin Sulaiman berkata: Aku melihat dia di atas keldai, digantung dengan besi seberat 40 paun. Lehernya juga dikalung rantai besi. Kakinya juga diikat. Antara rantai besi di leher dan rantai besi di kaki dihubungkan dengan rantai besi yang berat. Dalam keadaan itu dia berkata, “Allah telah mencipkan makhluknya dengan kata, “Kun”. Jika (firman Allah “kun”) itu adalah makhluk, itu bermaksud mahkluk diciptakan oleh makhluk.” Jika aku masuk menemuinya (Al-Watsiq), aku pasti akan mengatakan kebenaran kepada dia, “Aku lebih memilih mati dalam keadaan terikat dengan rantai-rantai besi ini, agar suatu hari nanti, orang-orang mengerti bahawa telah mati dalam mempertahankan keyakinan ini seseorang yang terbelenggu dalam ikatan-ikatan besi.”
Beliau meninggal dunia dalam keadaan diikat dalam penjara di Baghdad, Iraq pada tahun 231 H.
- Imam al-Azhar: Pergi ke Pasar dengan Kain Kafan untuk Menghadapi Pem`barat’an Wanita
Ini adalah sikap tegas ulama yang terjadi baru-baru ini pada zaman kita tepatnya ketika revolusi di Mesir pada tahun 1952. Muhammad Najib, Presiden Mesir saat itu, berdiri dengan sombong dan berkata, “Kita akan menyamakan wanita dengan lelaki dalam semua hak.”
Keesokannya, semua akhbar memberitakan, “Presiden Muhammad Najib menyatakan dalam pidatonya bahawa dia akan menyamakan wanita dengan lelaki.”
Syeikh Al-Azhar saat itu adalah Muhammad al-Khidr Husain rahimahulLah, yang berasal dari Tunisia. Ketika sampai kepada beliau berita itu, beliau menghubungi Presiden Muhammad Najib, dan berkata, “Anda perlu mengingkari berita itu, atau besok saya akan pergi ke pasar dengan kain kafanku, dan menyerukan semua orang untuk menghadapi anda.”
Ahli-ahli Majlis Revolusi kemudian bertemu Syeikh Al-Azhar di pejabatnya. Mereka berkata, “Wahai Syeikh kami, ini adalah perkara yang sukar, tetapi kami memberitahu anda bahawa semua ini tidak benar.”
Syeikh berkata, “Kenyataan ini tidak berguna. Saya ingin anda mengingkarinya di depan umum, sepertimana ketika anda mengumumkannya. Jika tidak, besok, saya akan pergi dengan memakai kain kafan. Demi Allah, saya tidak akan berhenti sampai saya memenangkan pertempuran ini, atau nyawaku melayang.”
Mereka berkata, “Wahai Tuan, apakah anda akan bertegas dengan sikap anda ini?” Beliau berkata, “Ya.”
Lalu Muhammad Najib berdiri, mengumumkan penolakannya terhadap berita yang tersebar bahawa perkara itu jelas salah. “Bagaimana saya dapat mengatakan perkataan ini, sedangkan ia bertentangan dengan al-Quran dan as-Sunnah.”
Perhatikan sikap agung ini. Bagaimana seorang syeikh mempertaruhkan jiwanya menghadapi pelanggaran terhadap satu hukum syariah saja yang bermaksud untuk menghilangkan identiti umat dan para wanitanya. Apa yang kita fikirkan jika yang dilanggar adalah banyak hukum Islam, tidak hanya satu? Seandainya para ulama kita sekarang menggunakan cara ini, tidak menyimpang darinya, kami yakin dan pasti kenyataan syeikh itu bakal bergema dan memberi impak besar di tengah-tengah umat, serta di tengah kerumunan orang ramai yang berjalan di belakang para ulama rabbani … yang akan memimpin umat menuju perubahan.
Ingat! Yang paling ditakuti oleh negara adalah pendapat umum dan kesepakatan orang ramai. Sungguh semua itu merupakan senjata yang sebenarnya. Seandainya para ulama menggunakan perkara itu dengan sebaik-baiknya, sudah pasti mereka akan memimpin umat menuju perubahan yang tepat dan benar.
[Bersambung]
Sumber: Muhammad Bajuri–Abdurrahman al-Amiry, Al-Waie Arab, edisi: 397, Tahun XXXIV, Safar 1441 H./Oktober 2019 M.