[Afkar] Adab adalah Perhiasan
Oleh: Ustaz Yuana Ryan Tresna
Pencarian dan penguasaan ilmu yang tidak didahulukan dengan adab akan melahirkan bencana. Masalah terbesar bagi pelajar dan ulama yang fakir adab adalah hilangnya keberkatan, timbulnya sifat takbur dan lalai terhadap amanat melaksanakan ilmu. Ini adalah musibah. Hal ini turut disampaikan oleh Syeikh al-Zarnuji ra. dalam memulakan kitabnya, Ta’lim al-Muta’allim. Dalam kitab tersebut dijelaskan bahawa pada zamannya, ramai orang yang benar-benar belajar, tetapi tidak memperoleh hasil berupa manfaat dari ilmu.
Ulama salaf yang soleh memberi perhatian yang besar kepada perkara-perkara adab. Mereka juga mengarahkan pelajarnya mempelajari adab sebelum menceburi bidang ilmu dan menemui berbagai-bagai kesalahan (perbezaan pendapat) ulama. Imam Darul Hijrah, Imam Malik bin Anas ra., pernah menyatakan kepada seorang pemuda Quraisy, “Wahai anak saudaraku, belajarlah adab, sebelum kamu menuntut ilmu.”
Itulah rahsia mengapa para ulama yang mengajarkan ilmu menjadi orang yang ‘alim lagi tawadhu’, berbuah dalam amal dan jujur menjalankan tanggungjawab mengajar serta berdakwah.
Ibn Hajar al-Asqalani ra. menyatakan:
وَاْلأَدَبُ اسْتِعْمَالُ مَا يُحْمَدُ قَوْلاً وَفِعْلاً وَعَبَّرَ بَعْضُهُمْ عَنْهُ بِأَنَّهُ اْلأَخْذُ بِمَكَارِمِ اْلأَخْلاَقِ
”Adab bermaksud menerapkan segala yang terpuji, baik berupa perkataan mahupun perbuatan. Sebagian ulama juga mendefinisikan adab adalah melakukan akhlak-akhlak yang mulia.”
Ibn al-Qayyim al-Jauziyyah mendefinisikan adab dengan:
هُوَ عِلْمُ إِصْلاَحِ اللِّسَانِ وَالْخِطَابِ، وَإِصَابَةِ مَوَاقِعِهِ، وَتَحْسِيْنِ أَلْفَاظِهِ، وَصِيَانَتِهِ عَنِ الْخَطَأِ وَالْخَلَل
”Adab adalah ilmu untuk memperbaiki lisan dan seruan serta ketepatan kedudukannya; juga memperbaiki ungkapan dan menjaganya dari kesalahan dan cacat.”
Ramai lagi ulama lain yang mentakrifkan adab. Pada hakikatnya, adab adalah perhiasan tingkah laku dan tutur kata seorang muslim. Adab berkembang dalam masyarakat Islam ketika itu. Masyarakat Islam adalah sekumpulan individu yang mempunyai pemikiran dan perasaan Islam serta syariat Islam yang mengikatnya. Oleh itu, walaupun adab tidak ditunjukkan secara langsung oleh dalil-dalil secara perinciannya, ia adalah sesuatu yang masyru’ (disyariatkan).
Adab dan Ilmu
Dalil tentang kewajipan memiliki adab terhadap ilmu dan ulama adalah firman Allah SWT:
وَمَن يُعَظِّمۡ حُرُمَٰتِ ٱللَّهِ فَهُوَ خَيۡرٞ لَّهُۥ عِندَ رَبِّهِۦۗ ٣٠
“…dan sesiapa yang menghormati hukum-hukum Allah maka yang demikian menjadi kebaikan baginya di sisi Tuhannya…” [TMQ al-Hajj (22): 30]
وَمَن يُعَظِّمۡ شَعَٰٓئِرَ ٱللَّهِ فَإِنَّهَا مِن تَقۡوَى ٱلۡقُلُوبِ ٣٢
“…dan sesiapa yang menghormati Syiar-syiar agama Allah, maka (dia lah orang yang bertakwa) kerana sesungguhnya perbuatan itu satu kesan dari sifat-sifat takwa hati orang mukmin.” [TMQ al-Hajj (22): 32]
Nabi SAW. bersabda:
إِنَّ اللهَ قَالَ: مَنْ عَادَىْ لِيْ وَلِيًّا فَقَدْ آذِنْتُه بِالْحَرْبِ
Sungguh Allah telah berfirman, “Siapa saja yang menentang wali-Ku, dia telah menyatakan perang terhadap-Ku.” (HR al-Bukhari).
Imam Syafie ra. mengatakan:
إِنْ لَمْ يَكُنِ الْفُقَهَاءَ الْعَامِلُوْنَ أَوْلِيَاءَ اللهِ فَلَيْسَ لِلَّه وَلِيٌّ
”Jika para fuqaha’ (ulama) yang mengamalkan ilmu mereka tidak disebut wali Allah, maka Allah tidak mempunyai wali.
Sudah makruf, kedudukan adab itu lebih dahulu daripada ilmu. Ibn al-Mubarak menyatakan:
قَالَ لِيْ مَخْلَدُ بْنُ الْحُسَيْنِ: (نَحْنُ إِلَى كَثِيْرٍ مِنَ اْلأَدَب أَحْوَجُ مِنَّا إِلَى كَثِيْرٍ مِنَ الْحَدِيْثِ)
Makhlad bin al-Husain berkata kepadaku, “Kami lebih memerlukan banyak adab berbanding keperluan kami terhadap banyak hadis.”
Muhammad bin Sirin menceritakan karakteristik Tabiin, “Mereka mempelajari tuntunan hidup (adab), sebagaimana mereka mempelajari ilmu.”
Imam Malik bin Anas juga menyatakan, “Hak yang menjadi kewajipan bagi siapa yang mencari ilmu adalah dia hendaklah memiliki penghormatan, ketenangan dan rasa takut (kepada Allah). Dia juga hendaklah mengikuti jejak orang-orang sebelumnya.”
Ibn an-Nakha’i mengatakan, “Mereka (generasi salaf), ketika mendatangi seseorang (ulama) untuk mengambil ilmu dari dirinya, akan memperhatikan perilakunya, solat dan keadaannya. Setelah itu, baru mereka mengambil ilmu darinya.”
Habib bin asy-Syahid berkata, “Anakku, bersahabatlah dengan fuqaha’ dan ulama. Belajarlah dari mereka dan ambillah (keutamaan) adab-adab mereka. Sebab hal itu lebih aku sukai daripada (menghafal) banyak hadis.”
- Adab Terhadap Diri
Imam Ibnu Jamaah asy-Syafie dalam kitabnya, Tadzkirah as-Sami’ wa al-Mutakallim, menyebutkan 10 adab pencari ilmu kepada dirinya sendiri. Tiga hal pertama dapat kita perincikan sebagai berikut:
Pertama, bersihkan diri dari segala bentuk penyakit hati yang boleh menghalangnya daripada memahami ilmu. Beliau menyatakan, “(Pencari Ilmu, ed.) hendaklah membersihkan hati mereka dari segala penyakit pengkhianatan, keburukan, dendam, hasad, akidah dan akhlak yang buruk; supaya hati dapat menerima dan menghafal ilmu serta memahami kedalaman maknanya dan sifat rahsianya.”
Kedua, meluruskan niat. Mencari ilmu semata-mata kerana Allah dan untuk mendapatkan keredhaan-Nya. Ilmu juga untuk diamalkan serta untuk menghidupkan dan menegakkan syariat. Dengan hidup dan tegaknya syariat, keberkahan ilmu akan terwujud secara kolektif. Beliau menjelaskan, “Hendaknya pencari ilmu berniat dalam mencari ilmu semata-mata untuk mengharap redha Allah SWT, mengamalkan ilmunya, menghidupkan syariah, menyinari hati, menghiasi batin, mendekatkan diri kepada Allah SWT pada Hari Kiamat serta menghadap pada apa yang Allah siapkan kepada pemilik ilmu berupa redha-Nya dan keagungan keutamaannya.”
Ketiga, bersegera selagi masih muda dan tidak membuang waktu. Beliau menyebutkan, “Hendaknya pencari ilmu bergegas pada masa mudanya dan pada setiap umurnya untuk memperoleh ilmu. Janganlah tertipu dengan penangguhan dan angan-angan.”
- Adab kepada Guru
Dasar adab kepada guru adalah firman Allah SWT terkait pendidikan adab Nabi Khidr kepada Musa as. sebagai berikut:
قَالَ لَهُۥ مُوسَىٰ هَلۡ أَتَّبِعُكَ عَلَىٰٓ أَن تُعَلِّمَنِ مِمَّا عُلِّمۡتَ رُشۡدٗا ٦٦
Nabi Musa berkata kepadanya: “Bolehkah aku mengikutmu, dengan syarat engkau mengajarku dari apa yang telah diajarkan oleh Allah kepadamu, ilmu yang menjadi petunjuk bagiku?”” [TMQ al-Kahfi (18): 66].
Imam Ibnu Jama’ah menyatakan bahawa terdapat 13 adab yang perlu diberi perhatian oleh penuntut ilmu. Tiga daripadanya adalah:
Pertama, mengikuti segala wasiat guru, kerana ketundukannya kepada guru adalah kebaikan dan kemuliaan. Beliau menjelaskan, “Pencari ilmu hendaklah taat kepada gurunya dalam segala urusan dan tidak keluar dari pendapat dan pengaturan gurunya. Bahkan dia bersama gurunya seperti seorang pesakit di hadapan seorang doktor pakar. Dia mempertimbangkan apa yang dia maksudkan dan memilih apa yang terbaik atas keredhaannya. Dia hendaklah secara maksimum menghormati guru dalam bentuk taqarrub kepada Allah dengan berbakti kepadanya. Dia tahu bahawa kehinaannya di hadapan gurunya adalah mulia, ketundukannya kepada gurunya adalah kebanggaan dan ketundukannya kepada gurunya merupakan keluhuran.”
Kedua, memuliakan guru dan menjaga kehormatannya dengan sepenuh keikhlasan. Dikatakan, “Pencari ilmu hendaklah melihat gurunya dengan pandangan penuh kehormatan dan percaya kepada gurunya dengan darjat kesempurnaan kerana hal itu lebih mendekatkan dirinya pada nilai manfaat. Sebahagian salaf terbiasa jika menghadap kepada gurunya, dia bersedekah dan berdoa, ‘Ya Allah, tutuplah aib guruku dariku dan janganlah hilangkan keberkatan ilmunya dariku.’”
Ketiga, mengetahui keutamaan gurunya dan menjaga haknya, kerana hal ini merupakan bahagian dari pintu keberkatan. Dikatakan, “Pencari ilmu hendaklah mengetahui hak gurunya dan tidak melupakan keutamaannya. Syu’bah berkata, ”Jika aku mendengar hadis dari seseorang maka aku menjadi hambanya selama hidupnya.’”
- Adab Terhadap Ilmu
Imam Ibnu Jama’ah juga menjelaskan 13 hal yang merupakan adab pencari ilmu terhadap ilmu yang dipelajari. Tiga hal di antaranya adalah sebagai berikut:
Pertama, dimulakan dengan belajar dari Al-Quran, menghafalkan dan memahaminya. Beliau menyebutkan, “Seorang penuntut ilmu hendaklah bermula dengan kitab Allah yang mulia, kemudian dia menguatkan hafalannya dan bersungguh-sungguh memahami tafsirnya dan seluruh ilmu-ilmunya. Sebab hal itu adalah asas segala ilmu, sumber segala ilmu dan ilmu yang paling penting.”
Kedua, belajar secara bertahap (bermula dari yang ringkas sampai yang luas), berusaha mengamalkan ilmu yang diperoleh, dan pada awal belajar tidak menyibukkan diri dalam medan perbezaan pendapat. Dikatakan, “Hendaklah dia berhati-hati dalam permulaan belajarnya dari kesibukan mempelajari ikhtilaf para ulama dalam akal atau pendengaran. Sebab hal itu akan membingungkan fikiran dan akalnya. Akan tetapi, mula-mula dia hendaklah memahami satu kitab dalam satu bidang ilmu atau beberapa kitab dalam berbagai bidang jika ianya memungkinkan dalam satu jalan yang direstui gurunya.”
Ketiga, setelah menghafal dan memahami al-Quran, bergegas mendengar periwayatan dan mempelajari hadis. Sebab hadis adalah salah satu sayap bagi seorang ‘alim selain sayap lainnya, iaitu al-Quran. Beliau melanjutkan, “Hendaklah pencari ilmu bergegas untuk mendengar hadis. Jangan lalai untuk selalu sibuk mempelajari hadis, memperhatikan sanadnya, perawinya, maknanya, hukumnya, prinsipnya, bahasanya dan sejarahnya.”
Amanah Mengemban Ilmu
Ilmu adalah amanah. Ia perlu diwujudkan dalam amal dan penyebaran (dakwah). Belajar ilmu tidak boleh ditujukan untuk kepentingan dunia. Dari Abu Hurairah ra., Rasulullah SAW. bersabda:
مَنْ تَعَلَّمَ عِلْمًا مِمَّا يُبْتَغَى بِهِ وَجْهُ اللهِ عَزَّ وَجَلَّ لاَ يَتَعَلَّمُهُ إِلاَّ لِيُصِيْبَ بِهِ عَرَضًا مِنَ الدُّنْيَا لَمْ يَجِدْ عَرْفَ الْجَنَّةِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ
”Siapa saja yang mempelajari suatu ilmu (belajar agama), yang diharapkan sepatutnya adalah wajah Allah, tetapi dia mempelajarinya hanya untuk mencari harta dunia, maka dia tidak akan mendapatkan wangi syurga pada Hari Kiamat.” (HR Abu Dawud, Ibnu Majah dan Ahmad).
Pada diri pencari ilmu perlu berkumpul tiga hal sekaligus: ilmu, amal dan ikhlas. Sahl bin Abdillah al-Tustari menerangkan, “Dunia ini adalah kejahilan dan kematian kecuali ilmu di dalamnya. Segala ilmu hanya akan dicela kepada semua makhluk kecuali yang mengamalkannya. Segala amal hanya akan disia-siakan melainkan berlandaskan keikhlasan. Keikhlasan adalah perkara besar yang tidak dapat diketahui kecuali hanya oleh Allah SWT. sehingga keikhlasan itu dibawa sampai mati.”
Akhirnya, selain berbuah amal, ilmu juga perlu disebarkan dalam pengajaran dan dakwah.
Pencari ilmu dan ahli ilmu yang benar cara memperolehnya tidak mungkin berdusta dengan apa yang dia pelajari, seperti mencampuradukkan haq dan bathil, atau menyembunyikan kebenaran. Intelektual Muslim yang memanipulasi atau menyembunyikan kewajipan berhukum pada hukum-hukum Allah, menerapkan seluruh syariat-Nya dan menegakkan Khilafah, adalah mereka yang tidak jujur dengan apa yang dia pelajari. Seorang ahli hikmah mengatakan:
إِخْفَاءُ الْعِلْمِ هَلَكَةٌ وَ إِخْفَاءُ الْعَمَلِ نَجَاة
”Menyembunyikan ilmu adalah kehancuran, sedangkan menyembunyikan amal adalah keselamatan.”
Penutup
Demikianlah adab sebagai perhiasan dalam lisan dan perilaku. Kita berlindung kepada Allah SWT. dari sifat yang digambarkan oleh Imam al-Munawi saat menjelaskan hadis terkait sifat orang munafik: “Maksudnya iaitu orang yang banyak ilmu di lidahnya, tetapi bodoh hati dan amalnya. Dia menjadikan ilmu sebagai kerjaya yang dengan itu dia mencari makan. Dia berpenampilan penuh wibawa untuk menarik perhatian orang. Dia mengajak orang lain kepada Allah, tetapi dia sendiri lari dari Allah. Dia mencela aib orang lain lalu melakukan perbuatan yang lebih buruk darinya. Dia menampakkan ibadah dan kekhusyukan di hadapan manusia, tetapi melakukan dosa-dosa besar di hadapan tuhannya saat sendirian bersama-Nya. Dia adalah seekor serigala yang memakai baju.”