[Pemikiran Politik Islam] Pemisahan Antara Umat dan Negara, serta Kewajipan untuk Memuhasabah Pemerintah
Penulis: Syeikh Abdul Qadim Zallum
Tidak dapat disangkal lagi bahawa saat ini umat sama sekali terpisah dengan negara dan pemerintahnya. Begitu pula, hubungan antara umat dan pemimpin mirip dengan hubungan dua pihak yang terpisah dan berbeza satu dengan yang lain, bukan seperti rakyat dan negaranya.
Tambahan pula, hubungan itu seringkali penuh dengan kebencian, konflik, dan pertentangan, serta tidak terdapat usaha pendekatan antara satu dengan yang lain, baik untuk kepentingan masa kini atau untuk mengjangkakan situasi pada masa yang akan datang. Hal ini menyebabkan lemahnya keberadaan umat. Ini kerana tanpa perlindungan negara, struktur umat menjadi lemah.
Sebaliknya, negara tanpa dukungan rakyatnya juga akan menjadi lemah. Akibatnya, musuh hanya memerlukan sedikit usaha untuk menyingkirkan negara, serta menjadikan negara bergantung kepada bantuan daripada musuh-musuh umat.
Pemisahan umat dan negara secara alamiah berlaku apabila negara-negara kafir menjajah dan memerintah secara langsung negeri-negeri kaum muslim semasa era kolonialisme Britain (Barat). Saat ini, kolonialisme Britain secara rasmi telah berakhir dan pemerintahan negeri-negeri kaum muslim dilakukan oleh kaum muslim sendiri. Dengan demikian, sesungguhnya tidak ada lagi alasan untuk memisahkan umat dan negara.
Hubungan antara umat dan negara sepatutnya berubah menjadi hubungan antara rakyat dengan penjaganya, serta merealisasikan penyatuan sepenuhnya antara rakyat dan pelindungnya. Namun, realiti menunjukkan bahawa pemisahan tersebut masih berlaku dan terus berlangsung sampai saat ini. Para pemimpin tetap dianggap satu kelompok tersendiri yang terpisah dari umatnya. Kedua-dua pihak masih saling bertentangan satu dengan yang lain.
Umat masih menganggap negara (pemerintah) sebagai musuh mereka, sebagaimana dulu mereka memandang pemerintah kolonial (penjajah). Bahkan tidak jarang mereka merasa dizalimi pemerintah lebih daripada kezaliman yang mereka terima dari kaum penjajah. Sementara itu, pemerintah memandang umat sebagai segolongan pemberontak yang hendak meruntuhkan kekuasaannya dan sebagai musuh negara.
Oleh kerana itu, pemerintah menyusun tipu daya untuk membungkam umat, sedangkan umat merencanakan makar untuk menggulingkan pemerintah. Hal ini menyebabkan umat dalam suatu negara tidak mempunyai harapan untuk dapat melangkah maju, walau hanya selangkah, menuju kejayaan dan ketenteraman. Hal ini juga menyebabkan pemerintah sibuk menumpukan perhatian untuk menyelamatkan kerusi kekuasaannya, walaupun untuk tujuan tersebut mereka perlu meminta dukungan dan bantuan dari negara-negara asing, bahkan dari musuh-musuh umat.
Konflik pertentangan ini juga menyebabkan pemerintah tidak cuba memperbaiki kehidupan rakyat, kecuali dengan bertopengkan kemunafikan. Pemerintah sebaliknya menggunakan segala macam cara untuk memelihara umat agar tetap berada dalam kubangan kejumudan dan dalam keadaan lemah. Dengan demikian, mereka tetap berada dalam kawalan negara.
Keadaan ini juga terjadi akibat sikap umat yang mengabaikan kewajipannya memuhasabah pemerintah. Umat juga kurang kesedarannya bahawa dirinyalah pemilik kekuasaan. Umat sepatutnya menyedari bahawa dirinya adalah pemilik kekuasaan. Umat juga perlu melaksanakan kewajipannya memuhasabah pemerintah. Dengan demikian, seorang pemimpin (yang kebetulan merupakan seorang musuh dan pengkhianat umat) tidak akan pernah dapat memimpin umat.
Demikian pula, tidak akan terjadi pemisahan antara umat dan negara yang menyebabkan umat berada dalam keadaan yang lemah, terpecah-belah, dan terbelakang. Umat juga tidak akan berada dalam pengaruh kaki tangan kaum kafir, meskipun secara nyata yang berkuasa adalah penguasa muslim.
Oleh kerana itu, agar umat menjadi satu kesatuan dengan negaranya dan memiliki kedudukan yang sama dengan pemerintahnya, umat hendaklah senantiasa memuhasabah dasar pemerintah, menyampaikan kebenaran, serta berusaha keras dan bertekad untuk mengubah situasi pemerintahan. Apabila umat tidak berusaha berbuat demikian, tidak diragukan lagi, kehidupan umat akan makin memburuk sebagaimana yang kita alami sekarang, lalu sampai pada kehancurannya.
Islam mewajibkan dan memerintahkan umatnya untuk senantiasa memuhasabah pemerintah serta menyampaikan kebenaran kepadanya. Perkara ini mesti dilakukan di mana pun mereka berada dan tanpa rasa bimbang terhadap celaan siapa pun. Dalam baiat ‘Aqabah kedua, kaum muslim berbaiat kepada Rasulullah SAW untuk menyampaikan kebenaran tanpa rasa takut.
Dalam nas baiat tersebut, kaum muslim menyatakan, “Dan hendaklah kami menyampaikan kebenaran di mana pun kami berada, tanpa rasa takut kerana Allah dari celaan orang-orang yang suka mencela.” (HR Al-Bukhari dan Muslim). Hadis ini dari ‘Ubadah ibnu ash-Shamit. Redaksi ini merupakan riwayat Muslim.
Memuhasabah atau membetulkan pemerintah, yakni dengan menyerukan kebaikan (makruf) dan melarang yang buruk (munkar), merupakan sebahagian daripada perintah Allah Taala. Ini sebagaimana tersurat dalam ayat Al-Quran yang memerintahkan kaum muslim agar menyerukan kepada yang makruf dan melarang perbuatan yang mungkar. (Lihat surah Ali ‘Imran: 104). Dengan demikian, terdapat nas yang secara jelas memerintahkan kaum muslim untuk memuhasabah pemerintahnya.
‘Athiyyah meriwayatkan dari Abu Sa’id bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Jihad yang paling utama adalah menyampaikan kebenaran (al-haq) kepada pemimpin yang zalim.” (HR Abu Dawud).
Abu Umamah meriwayatkan, “Seseorang mendatangi Rasulullah SAW ketika (melempar) jumrah yang pertama (semasa haji), lalu bertanya, ‘Wahai Rasulullah, apakah jihad yang paling utama?’ Nabi tidak menjawab. Ketika Nabi melemparkan jumrah yang kedua, orang tersebut bertanya lagi. Nabi tetap tidak menjawab. Setelah selesai melempar jumrah ‘Aqabah, sambil meletakkan kaki beliau di atas pelana untuk menaikinya, Nabi bertanya, ‘Siapa tadi yang bertanya?’ Orang tersebut menjawab, ‘Saya, ya Rasul.’ Kemudian Nabi menjawab, ‘Mengatakan kebenaran kepada penguasa yang zalim.’” (HR Ibnu Majah).
Hadis-hadis di atas merupakan dalil yang mewajibkan kaum muslim untuk menyampaikan kebenaran kepada para pemimpin dan mengawasi perjalanan pemerintahan. Tambahan pula, Rasulullah SAW turut mendorong umat Islam agar berjuang melawan pemerintah yang zalim, tanpa memikirkan akibat atau bahaya yang timbul, walaupun sampai mengakibatkan kematian.
Rasulullah SAW bersabda, “Penghulu syuhada adalah Hamzah ibnu Abdul Muthallib dan (setara dengannya) orang-orang yang berdiri di hadapan penguasa yang zalim, memerintahkannya (yang makruf) dan melarangnya (dari perbuatan yang mungkar), dand ia (pemimpin tersebut) membunuhnya.” (HR Al-Hakim dari Jabir ra.).
Hadis ini merupakan pernyataan paling ekstrem yang menekankan keberanian menghadapi bahaya kematian dalam mengawasi perjalanan pemerintahan dan berjuang melawan para rejim zalim.
Berjuang melawan tekanan para penguasa masa kini dan memuhasabah segala tindakan, pengkhianatan, dan konspirasi mereka yang menentang umat Islam merupakan kewajipan dari Allah SWT bagi setiap individu muslim. Melaksanakan kewajipan ini juga bermakna menyingkirkan penghalang antara umat dan negara.
Hal inilah yang menjadikan umat dan negara sebagai satu kesatuan, serta menjamin terjadinya perubahan situasi pemerintahan dan perubahan kepemimpinan apabila diperlukan. Perjuangan ini merupakan langkah pertama menuju kebangkitan umat.
Kebangkitan (nahdhah) tidak dapat dicapai tanpa tegaknya pemerintahan yang berdasarkan akidah Islam. Oleh sebab itu, kaum muslim mestilah menegakkan pemerintahan Islam dengan berjuang (kifah) menghadapi penguasa yang zalim dan memuhasabah perjalanan pemerintahan mereka.
Sumber: Syeikh Abdul Qadim Zallum, Pemikiran Politik Islam, Upaya Membumikan Politik Sebagai Mainstream Gerakan.