[Ath-Thariq] Sistem Pergaulan dalam Islam (Bahagian 1/2)
Penulis: Syeikh Ahmad Athiyat
Sistem pergaulan (sosial) dalam Islam merupakan kumpulan hukum-hukum syarak yang menetapkan batas hubungan lelaki dan perempuan dan memberikan pemecahan (solusi) atas berbagai permasalahan yang timbul akibat dari hubungan tersebut.
Kebanyakan orang telah keliru dalam pemahaman dan pendefinisian mereka untuk sistem pergaulan ini ketika mereka menetapkan seluruh sistem kehidupan sebagai sistem pergaulan. Yang benar adalah bahawa semua itu merupakan sistem masyarakat (nidzam al-mujtama’), kerana setiap sistem memecahkan permasalahan yang ada dengan sistemnya sendiri secara khusus. Hubungan dagang seorang lelaki dengan seorang lelaki yang lain atau seorang wanita semata-mata hanya ditangani dalam sistem ekonomi. Pertikaian seorang lelaki dengan seorang lelaki yang lain atau seorang wanita menjadi bahagian dari sistem hukuman (sanksi) dan tempatnya adalah mahkamah, sedangkan ketika seorang perempuan bergaul dengan seorang lelaki dan konsekuensi yang terlahir dari pergaulan itu baik berupa pernikahan, perceraian, mahupun hadanah (pengasuhan anak), maka hal itu termasuk objek pembahasan sistem pergaulan. Oleh kerana itu, sistem pergaulan khusus menangani pergaulan seorang lelaki dengan perempuan tidak termasuk cara muamalahnya.
Beberapa kaedah penting dalam sistem pergaulan dalam Islam ini adalah sebagai berikut:
Pertama, hukum asal bagi wanita adalah menjadi ibu dan pengatur rumah tangga serta kehormatan yang harus dijaga. Rasulullah SAW bersabda, “Nikahilah oleh kalian wanita yang penyayang dan subur keturunannya, kerana sesungguhnya aku akan membanggakan banyaknya jumlah kalian di hadapan para nabi lain pada hari kiamat nanti.”
Rasulullah SAW bersabda pada seorang ibu untuk menjelaskan haknya atas pemeliharaan anak setelah dia bercerai dengan suaminya, “Engkau lebih berhak atasnya sebelum engkau menikah lagi.”
Dan diriwayatkan bahawasanya ada seorang perempuan yang ditinggal pergi oleh suaminya, sedangkan dia telah dilarang keluar rumah oleh sang suami, kemudian dikhabarkan bahawa ayah wanita itu sakit. Wanita itu lantas meminta izin dari Rasulullah SAW agar diperbolehkan untuk menjenguk ayahnya. Rasulullah SAW kemudian menjawab,
“Hendaklah engkau takut kepada Allah dan janganlah engkau melanggar pesan suamimu.”
Rasulullah SAW memerintahkan para isterinya untuk melayaninya, beliau mengatakan, “Wahai Aisyah, sediakanlah minuman untuk kami, wahai Aisyah, sediakanlah makanan untuk kami, wahai Aisyah, bawakanlah pisau cukur untuk kami dan asahlah dengan batu.”
Dari Qatadah diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Jika seorang wanita telah mencapai usia baligh, tidak patut terlihat darinya selain wajah dan kedua telapak tangannya sampai bahagian pergelangan.” Allah SWT berfirman,
“Hendaklah mereka tidak menampakkan perhiasannya, kecuali apa yang biasa tampak pada dirinya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain kerudung ke seputar dadanya. Janganlah mereka menampakkan perhiasannya selain kepada suami mereka.”(TMQ An-Nur: 31).
Rasulullah SAW bersabda,
“Tidak diperbolehkan seorang lelaki dengan seorang wanita berkhalwat (berdua-duaan) kecuali jika wanita itu disertai mahramnya.”
“Tidak diperbolehkan seorang wanita yang beriman kepada Allah dan hari akhir melakukan perjalanan selama sehari semalam, kecuali jika disertai mahramnya.”
Dalil-dalil syarak ini menunjukkan dengan sangat jelas bahawa secara asal seorang wanita itu adalah:
– Menjadi seorang ibu.
– Pengatur rumah tangga.
– Kehormatan yang harus dijaga.
Kedua, hukum asal lelaki dipisahkan dari wanita dan tidak boleh berkumpul kecuali kerana sebuah hajat (keperluan) yang dibenarkan oleh syarak seperti perdagangan yang disyariatkan dan haji. Dalil-dalil yang telah lalu cukup menjadi argumentasi dari poin kedua ini. Hal itu boleh dilihat ketika Islam menetapkan barisan wanita berada di belakang barisan lelaki dalam solat di masjid.
Ketiga, Wanita memiliki hak dan kewajipan yang sama dengan lelaki, kecuali beberapa hal yang dikhususkan oleh Islam untuk kaum wanita, atau beberapa hal yang dikhususkan oleh Islam untuk kaum lelaki. Kaum wanita berhak untuk melakukan perdagangan, industri, dan pertanian, selagi terjaminnya syarat dan keadaan atau situasi yang ditetapkan oleh syarak. Indikasi atas hal itu adalah bahawasanya syarak memulakan seruannya kepada kaum muslim dengan ungkapan, “Wahai orang-orang yang beriman,” ungkapan ini berlaku umum, baik untuk lelaki ataupun perempuan. “Wahai manusia”, “telah diwajibkan atas kalian berpuasa”, “ambillah sebahagian dari harta mereka”, “sesungguhnya shadaqah (zakat) itu menjadi hak orang-orang fakir”, dan sebagainya.
Keempat, wanita berhak untuk menjadi pegawai negara dan menduduki jawatan dalam sektor kehakiman—kecuali mahkamah madzalim—dan dia berhak untuk memilih dan dipilih menjadi anggota majlis syura, dan berhak memilih khalifah. Dalil- dalil terpenting atas hal itu adalah adanya seruan syarak yang bersifat umum, dan Rasulullah SAW telah mengajak isteri-isterinya bermusyawarah dalam beberapa masalah dan adanya pembaiatan dari kaum wanita kepada beliau,
“Dan bermusyawarahlah dengan mereka dalam urusan itu.” (TMQ Ali Imran : 159).
“Sedangkan urusan mereka (diputuskan) dengan musyawarah di antara mereka.“ (TMQ Asy-Syura: 38).
“Hai Nabi, apabila datang kepadamu perempuan-perempuan yang beriman untuk mengadakan janji setia ….”(TMQ Al-Mumtahanah: 12).
Kelima, seorang wanita tidak boleh menduduki jawatan pemerintahan, baik sebagai ketua negara, kadi madzalim, wali, atau pekerjaan lain yang menjadi bahagian pemerintahan.
Bukhari telah meriwayatkan dari Abi Bakrah dia menuturkan, ketika telah sampai berita kepada Rasulullah SAW bahawa penduduk Parsi telah diperintah oleh Puteri Kisra, beliau kemudian bersabda,
“Tidak akan pernah beruntung suatu kaum manakala urusan mereka diserahkan kepada seorang wanita.”
Dalil ini jelas menunjukkan keharaman seorang wanita untuk menduduki jawatan pemerintahan.
[Bersambung ke bahagian 2/2 ]
Sumber artikel: Syeikh Ahmad Athiyat, Ath-Thariq (Jalan Baru Islam)