[Ath-Thariq] Kejayaan Penerapan Islam Secara Praktikal (Bahagian 2/3)
Penulis: Syeikh Ahmad Athiyat
[Sambungan dari Bahagian 1/3]
Perkara ketiga yang boleh melukiskan kejayaan penerapan ideologi Islam adalah Islam tidak cukup hanya membangkitkan bangsa Arab dan melebur berbagai bangsa yang berbeza-beza dalam relau yang satu dan sebagai umat yang satu, tetapi Islam menjadikan umat yang satu itu sebagai umat tertinggi di seluruh penjuru bumi, baik dari segi hadharah, madaniah, tsaqafah, ataupun ilmu pengetahuan sepanjang jangka waktu lebih dari dua belas abad sejak pertengahan abad ke-tujuh Masihi hingga pertengahan abad ke-lapan belas Masihi. Ini merupakan rentang waktu yang hingga sekarang belum pernah ada satu bangsa atau umat pun di dunia ini yang mampu bertahan sebagai negara adidaya. Apakah setelah kejayaan seperti ini ada kejayaan lain yang mampu melebihinya?
Saya berpendapat untuk memasukkan beberapa bukti yang bersesuaian yang lebih jelas menunjukkan kebenaran pendapat kami ini. Saya akan mencuba untuk melampirkan beberapa bukti yang berasal dari pernyataan beberapa buku yang bersikap adil dan pengkaji sejarah non-muslim, dan hal itu dilakukan tiada lain agar lebih meyakinkan:
1. Dalam buku Ustad Qadri Tauqan, Yang Kekal Adalah Bangsa Arab, kita menemukan beberapa pengakuan dari kaum intelektual dan penyelidik sejarah Barat, dan ini menjadi pernyataan yang menunjukkan lebih jelas akan tahap kemajuan yang berjaya diraih oleh madaniah dan ilmu pengetahuan Islam, di antaranya:
A) Doktor George Sarton berpandangan bahawa sebahagian pengkaji sejarah berusaha untuk menyembunyikan apa yang telah disumbangkan dunia Timur terhadap peradaban, dan mereka menerangkan bahawa bangsa Arab dan kaum muslim hanya menyalin ilmu pengetahuan kuno itu saja, tanpa memberikan tambahan sesuatu pun padanya.
Beliau berkata, “Pernyataan seperti ini jelas keliru, sesungguhnya ini merupakan aktiviti yang sangat besar maknanya, bahawasanya bangsa Arab telah memindahkan pundi-pundi hikmah Yunani pada kita dan menjaganya, seandainya tidak, nescaya seluruh peradaban akan tetap terbelakang selama berabad-abad.”
2. Nicholson mengatakan, “Tidaklah berbagai penemuan yang ada saat ini akan menjadi sesuatu yang layak dikenang; seandainya kita tidak merasa berhutang budi atas semua ini daripada penyelidik bangsa Arab. Mereka telah menjadi obor yang begitu terang sepanjang abad pertengahan yang diliputi kegelapan, terutama di Eropah.
3. Defoe mengatakan, “Warisan yang ditinggalkan Yunani tidak diperlakukan dengan baik oleh Romawi, sedangkan bangsa Arab telah menekuninya dan berusaha memperbaikinya sehingga mereka berjaya menyelamatkan warisan tersebut hingga sampai ke tangan kita pada abad moden ini.”
4. Nehru menyatakan dalam bukunya Ringkasan Sejarah Dunia, “Sesungguhnya bangsa Arab memiliki keistimewaan dengan adanya jiwa untuk melakukan penyelidikan yang menjadikan mereka boleh mengundang lahirnya bapa-bapa ilmu pengetahuan moden. Mereka membuat pembesar suara pertama, kompas pertama, dan doktor serta pakar mereka terkenal di seluruh dunia termasuklah di seluruh ufuk Eropah.”
5. Dari buku Kumpulan Pembahasan Hadharah Islam karangan Ahmad Syaukat al-Syunuthi, kita ambil beberapa pengakuan berikut, yang diutarakan sebagaimana lisan pengucapnya:
A) Roger Beacon mengatakan, “Sesungguhnya Al-Kindi, Hasan, dan Ibnu Haitsam berada di barisan pertama bersama Ptolomeus. Seorang ilmuwan Itali, Gerolamo Cardano mengatakan bahawa Al-Kindi merupakan salah seorang dari 12 lelaki genius yang termasuk penghuni kelas utama dalam kepandaian.”
B) Prof. Dariber, seorang Amerika mengatakan, “Bahawasanya bangsa Arab mengetahui ilmu mekanik dan menetapkan hukum-hukum jatuhnya sesuatu, dan mereka mengetahui ilmu kinetik hingga dikatakan bahawa mereka telah menulis berbagai pembahasan tentang material yang berenang dan menyelam di bawah permukaan air.”
Inilah sebahagian pengakuan para ilmuwan Barat yang menjelaskan tahap kemajuan yang berjaya diraih Daulah Islam dalam bidang ilmu pengetahuan
Sekarang akan kami berikan beberapa contoh kebenaran-kebenaran ilmiah yang lebih dahulu ditemui oleh ilmuwan muslim dan menjadi asas kemajuan ilmu pengetahuan dan madaniah yang sekarang ini boleh dirasakan oleh Eropah dan seluruh dunia.
1. Ilmu Fizik: Al-Kindi menjadi orang pertama yang menulis ilmu optik dan visual, di antaranya buku Al-Manazhir yang dianggap sebagai batu asas berbagai karangan Roger Beacon, seorang pelopor asas “Metode Ilmiah” atau Kaedah Saintifik, yang menjadi sebab kemajuan ilmu sains. Adapun Ibnu Haitsam dalam manuskripnya Al-Manazhir telah lebih dahulu meletakkan asas kaedah saintifik dan bereksperimen dengan metode tersebut berbanding orang Eropah yang menggunakan metode tersebut 1000 tahun kemudian.
2. Pada tahun 807 M, Harun Al-Rasyid memberikan hadiah sebuah jam air pada Charlemagne.
3. Kimia: Bacon, seorang ilmuwan Inggeris menyatakan bahawa Jabir bin Hayyan merupakan guru para ilmuwan.
4. Al-Farabi dalam bukunya Uyunul Masa’il telah lebih dahulu menemukan apa yang ditemukan Einstein tentang relativiti
5. Abbas bin Farnas, telah lebih dahulu memikirkan cara untuk terbang mendahului para ilmuwan Barat.
6. Jabir bin Hayyan dikenal sebagai pengasas ilmu kimia, sebahagian aktivitinya dikatakan sebagai hasil terbaik yang pernah dibuat tangan manusia dalam bidang kimia.
7. Buku al-Ghafiqi, Al-Adawiyah al-Mufradah merupakan buku yang tiada tandingannya.
8. Muhammad bin Musa bin Syakir dianggap sebagai pengasas pertama ilmu algebra yang menjadi asas bagi para ilmuwan industri, roket, dan sebagainya.
9. Dalam bukunya, Syarh Tasyrih al-Qanun, Ibnu Nafis telah 1000 tahun menjelaskan peredaran darah sebelum ditemukan oleh William Harvey.
10. Adl-dudin Abdurrahman bin Ahmad telah mendahului Galileo, Copernicus, dan yang lainnya dalam gagasan peredaran bumi mengelilingi matahari.
Ini semua merupakan contoh sederhana yang saya kemukakan sebagai bukti akan kemajuan ilmu pengetahuan yang diraih kaum muslim di Daulah Islam, jika ingin mengetahui lebih banyak, maka tersedia buku-buku lain yang lebih lengkap.
[Bersambung ke bahagian 3/3]
Sumber artikel: Syeikh Ahmad Athiyat, Ath-Thariq (Jalan Baru Islam)