[Kisah Inspiratif] Keimanan mutlak seorang yang bernama Mush’ab bin Umair
Ketika itu, Mus’ab berdiri di hadapan ibu dan kaum kerabatnya, serta para pembesar Mekah. Dengan hati yang mantap, beliau membacakan ayat-ayat al-Quran yang telah membersihkan hati para pengikutnya. Ketika si ibu hendak menekup mulut anaknya dengan tamparan yang kuat, tiba-tiba tangan yang bergerak laju itu jatuh lesu. Perasaan keibuannya menghalang ibu Mush’ab daripada memukul anaknya. Dia memikirkan cara lain untuk memberi pengajaran kepada anaknya yang telah mengingkari tuhan sembahannya. Akhirnya Mush’ab dikurung di dalam sebuah bilik, kemudian dikunci rapat dari luar.
Untuk beberapa waktu, Mush’ab terperangkap di dalam bilik itu sehingga dia mendengar beberapa orang sahabat Nabi telah berhijrah ke Habsyah. Mus’ab tidak mensia-siakan peluang ini. Dengan sedikit strategi, dia berjaya memperdayakan ibunya dan para pengawal. Dia berjaya melarikan diri dari kurungan, kemudian berhijrah ke Habsyah.
Pada suatu hari, dia mendekati kaum Muslimin yang sedang duduk mengelilingi Rasulullah SAW. Melihat penampilan Mus’ab, mereka menundukkan pandangan, malah ada yang menangis. Mereka melihat Mus’ab memakai jubah usang yang penuh dengan tampalan, padahal penampilannya masih segar dalam ingatan mereka sebelum dia memeluk Islam. Pakaiannya seperti bunga di taman, mengeluarkan aroma wangian. Rasulullah SAW memandangnya dengan pandangan penuh makna disertai rasa cinta dan syukur di dalam hatinya. Bibirnya tersenyum gembira dan bersabda, “Dahulu, tiada seorang pun yang dapat menandingi Mush’ab dalam mendapatkan kesenangan dari ibu bapanya. Kemudian, dia sanggup meninggalkan semua itu demi cintanya kepada Allah dan RasulNya.”
Sejak berpisah dengan Mush’ab, ibunya menghentikan semua pemberian yang biasa diberikannya kepada Mush’ab. Malah dia tidak membenarkan makanannya dimakan oleh orang yang mendustakan berhala yang mereka sembah. Perpisahan ini menunjukkan kecekalan yang luar biasa dalam mempertahankan kekufuran di pihak ibu dan mempertahankan keimanan di pihak sang anak. Ketika itu, ibunya menghalaunya keluar dari rumah, “Pergilah sesuka hatimu. Aku bukan ibumu lagi.” Mush’ab menghampiri ibunya dan berkata, “Wahai ibu, aku sangat menyayangimu. Oleh itu, bersaksilah bahawa tiada Tuhan selain Allah dan Muhammad adalah hamba dan utusanNya.” Si ibu menjawab dengan marah, “Demi bintang, aku tidak akan masuk agama itu. Otakku boleh rosak dan buah fikiranku tidak akan diendahkan oleh orang lain.”
(Khalid Muhammad Khalid, 60 Sirah Sahabat Rasulullah SAW)
Hikmah
Proses penghijrahan Mush’ab yang meninggalkan kekufuran ke jalan keimanan yang benar sesungguhnya memberikan mesej yang bermakna untuk kita ambil iktibar.
Pertama, keimanan mengembalikan visi hidup seorang hamba. Setelah beriman, Mus’ab sanggup melepaskan segala kemewahan dan kemudahan yang dinikmatinya daripada ibu bapanya demi cintanya kepada Allah dan RasulNya. Dia membuktikan keimanan yang total ini dengan sanggup hidup susah payah. Mush’ab memilih untuk hidup sederhana, menahan kelaparan, dan berjuang bersama Rasulullah dengan berdakwah untuk mendapatkan kemuliaan sebenar di hadapan Allah SWT. Pandangannya jauh menuju kampung akhirat. Dia tidak tergoda dengan kesenangan dunia yang fana ini. Hal ini sebagaimana firman Allah SWT,
“Katakanlah (wahai Muhammad): “Harta benda yang menjadi kesenangan di dunia ini adalah sedikit sahaja, (dan akhirnya akan lenyap), dan (balasan) hari akhirat itu lebih baik lagi bagi orang-orang yang bertaqwa (kerana ia lebih mewah dan kekal selama-lamanya), dan kamu pula tidak akan dianiaya sedikit pun“. [TMQ An-Nisaa’ (4): 77)
Ini juga berlaku kepada setiap orang yang mengaku beriman kepada Allah dan RasulNya. Tidak ada ketaatan dan penghambaan kepada makhluk. Walaupun ibunya meminta Mush’ab kembali kepada penyembahan berhala, dia tidak berganjak. Visi hidup seorang hamba adalah ketaatan dan ketundukan yang sepenuhnya kepada Allah dan RasulNya.
Kedua, keimanan mendorong sikap konsisten di atas jalan dakwah. Tidak tergoda dengan dunia dan sentiasa mengutamakan keperluan dakwah. Begitulah figura Mush’ab ketika Rasulullah SAW memintanya menjadi jurucakap dakwah di Madinah. Mus’ab secara konsisten menyampaikan Islam kepada tokoh dan penduduk Madinah. Hasilnya, Mush’ab berjaya mengislamkan penduduk Madinah dalam tempoh setahun. Usaha Islamisasi ini mencetuskan sinar kehidupan dan masa depan baharu bagi Rasulullah, para sahabat dan umat Islam iaitu dengan penubuhan Daulah Islam pertama di Madinah.
Merenungi sikap konsisten Mush’ab, orang yang membawa dakwah ialah orang yang mesti konsisten mengatakan kebenaran, tidak takut kepada kritikan orang yang mencelanya, dan tidak gentar walaupun dakwahnya belum diterima oleh sebahagian orang dalam masyarakat. Jadilah pendakwah yang tajam kata-katanya, ibadahnya sentiasa bertambah, dan tidak terlalai dalam kesenangan dunia. Prinsip seorang pendakwah yang komited ialah, “Jangan sekali-kali berputus asa sehingga seluruh masyarakat dunia bercakap mengenai Islam dan mengenali Islam secara kaffah.”
Ketiga, istiqamah dalam pembinaan intensif akan membentuk pola berfikir yang tajam dan pola sikap yang selari dengan ajaran Islam. Mush’ab adalah hasil pembinaan dan didikan Rasulullah SAW yang mengubah jiwanya dengan akidah yang suci dan menjadi manusia yang penuh berwibawa dan dihormati. Oleh itu, jadikan pembinaan intensif sebagai pemangkin untuk memiliki keperibadian Islam yang unik. Pola berfikir dan pola sikap Islam dalam diri seorang muslim akan menjadi peluru kepada pendakwah untuk bersedia terjun, berinteraksi, dan berjuang mendakwahkan Islam kepada sesiapa sahaja, di mana sahaja, dan pada bila-bila masa.
Dakwah adalah aktiviti dan amalan mulia yang paling dicintai oleh Allah SWT. Kata-kata dari aktivis dakwah adalah sebaik-baik perkataan. Hal ini sebagaimana firman Allah SWT dalam TMQ Fussilat: 33,
“Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: “Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)!””
Sumber: muslimahnews